Surah 54: Al-Qamar (41 – 42)

Kisah Kehancuran Firaun dan Kaumnya

Surah 54: Al-Qamar (41 – 42)


Ayat 41

وَلَقَدْ جَآءَ ءَالَ فِرْعَوْنَ ٱلنُّذُرُ

Dan sesungguhnya telah datang kepada kaum Firaun ancaman-ancaman.

Ini adalah kisah kelima yang disebutkan secara ringkas dalam surah ini selepas Allah Swt menceritakan kisah-kisah sebelumnya iaitu kisah kaum Nabi Nuh as, kaum ‘Aad, kaum Thamud dan kaum Nabi Lut as.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengutuskan Nabi Musa as dan Nabi Harun as kepada Firaun dan kaumnya, dengan membawa berita gembira jika mereka mahu beriman dan ancaman jika mereka kafir.

Ayat 42

كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا كُلِّهَا فَأَخَذْنَـٰهُمْ أَخْذَ عَزِيزٍ مُّقْتَدِرٍ

Mereka mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, maka Kami azab mereka dengan azab daripada Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa.

Namun Firaun dan pengikut-pengikutnya tidak mahu menerima dakwah Nabi Musa as dan Nabi Harun as serta mukjizat-mukjizat yang ditunjukkan kepada mereka. Itulah maksud كُلِّهَا (semuanya) itu. Semua mukjizat itu mereka tolak walaupun sudah banyak yang telah mereka saksikan.

Dalam Al-Quran telah disebut sebanyak sembilan mukjizat yang mereka tolak. Selain mukjizat-mukjizat itu, mereka juga tidak mahu menerima ayat-ayat daripada Allah Swt. Mereka juga menuduh apa yang dibawakan oleh Nabi Musa as adalah sihir belaka.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya Kami telah perlihatkan kepadanya (Firaun) tanda tanda kebesaran Kami semuanya, ternyata dia mendustakan dan enggan menerima kebenaran.”

Taha 20:56

“Dan mereka berkata (kepada Musa), ‘Bukti apapun yang engkau bawa kepada kami untuk menyihir kami, kami tidak akan beriman kepadamu.’”

Al-A’raf 7:132

Oleh sebab mereka mendustakan apa yang disampaikan oleh para rasul itu, mereka dihukum oleh Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa. Dia menenggelamkan mereka ke dalam laut sehingga tiada seorang pun daripada mereka yang terselamat.