Kisah Kehancuran Kaum Nabi Nuh as
Surah 54: Al-Qamar (9 – 17)
Ayat 9
كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ فَكَذَّبُوا۟ عَبْدَنَا وَقَالُوا۟ مَجْنُونٌ وَٱزْدُجِرَ
Sebelum mereka, telah mendustakan (juga) kaum Nuh, maka mereka mendustakan hamba Kami (Nuh) dan mengatakan, “Dia seorang gila.” Dan dia pernah diberi ancaman.
Allah Swt menyatakan sebelum Nabi Muhammad saw didustakan oleh orang-orang Quraisy, terlebih dahulu Nabi Nuh as telah didustakan oleh kaumnya. Mereka secara terang-terangan menghalang, mengancam, mencaci dan menuduh Nabi Nuh as sebagai orang gila.
Mujahid mengatakan maksud perkataan ٱزْدُجِرَ (uzdujir) ialah dipenuhi kegilaan. Ada juga yang mentafsirkan ayat ini sebagai kaum Nabi Nuh as mengherdik, mencegah dan mengancam baginda iaitu sekiranya baginda tidak menghentikan dakwah baginda, nescaya mereka benar-benar akan merejamnya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Mereka berkata, ‘Sungguh jika kamu tidak (mahu) berhenti wahai Nuh, nescaya benar-benar kamu akan termasuk orang-orang yang direjam.’”
Asy-Syu’ara’ 26:116
Ayat 10
فَدَعَا رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَغْلُوبٌ فَٱنتَصِرْ
Maka dia (Nuh) mengadu kepada Rabbnya, “Bahawasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan, maka tolonglah (aku).”
Setelah sekian lama Nabi Nuh as berdakwah dan menghadapi pelbagai dugaan dan pendustaan daripada kaumnya, baginda mengadu dan memohon pertolongan daripada Allah Swt.
Ayat 11
فَفَتَحْنَآ أَبْوَٰبَ ٱلسَّمَآءِ بِمَآءٍ مُّنْهَمِرٍ
Lalu Kami bukakan pintu-pintu langit dengan (menurunkan) air yang mencurah-curah.
Allah Swt memperkenankan doa Nabi Nuh as dan memerintahkan baginda membuat sebuah bahtera. Kemudian Dia menenggelamkan kaum yang ingkar itu dalam banjir besar yang amat dahsyat.
Ibnu Juraij telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan maksud ayat ini ialah Allah Swt menurunkan hujan yang sangat lebat. Langit tidak pernah menurunkan hujan yang sangat lebat seperti itu sebelumnya. Biasanya hujan turun dari awan bukan dari langit, tetapi kali ini semua pintu langit dibuka sehingga menurunkan hujan tanpa melalui awan.
Ayat 12
وَفَجَّرْنَا ٱلْأَرْضَ عُيُونًا فَٱلْتَقَى ٱلْمَآءُ عَلَىٰٓ أَمْرٍ قَدْ قُدِرَ
Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air, maka bertemulah (air-air) itu untuk satu urusan yang sungguh telah ditetapkan.
Allah Swt juga memancarkan air dari seluruh muka bumi, sehingga tannur iaitu alat memasak roti yang dibuat daripada tanah liat dan diletakkan di dalam tanah pun telah memancarkan air, padahal ia adalah sumber api. Dengan kekuasaan-Nya, air dari langit dan dari bumi yang banyak itu bertemu lalu terjadilah banjir yang besar.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Lalu Kami wahyukan kepadanya, ‘Buatlah bahtera di bawah pengawasan dan petunjuk Kami, maka apabila perintah Kami telah datang dan tannur telah memancarkan air, maka masukkanlah ke dalam bahtera itu sepasang daripada tiap-tiap (jenis), dan (juga) keluargamu, kecuali orang yang telah lebih dahulu ditetapkan (akan ditimpa azab) di antara mereka. Dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang-orang yang zalim, kerana sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.’”
Al-Mu’minun 23:27
Ayat 13
وَحَمَلْنَـٰهُ عَلَىٰ ذَاتِ أَلْوَٰحٍ وَدُسُرٍ
Dan Kami angkut dia (Nuh) ke atas (bahtera) yang diperbuat daripada papan dan paku.
Ayat 14
تَجْرِى بِأَعْيُنِنَا جَزَآءً لِّمَن كَانَ كُفِرَ
Yang berlayar dengan pemeliharaan (pengawasan) Kami sebagai balasan bagi orang yang telah diingkari (kaumnya).
Ayat 15
وَلَقَد تَّرَكْنَـٰهَآ ءَايَةً فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan sesungguhnya telah Kami jadikan bahtera itu sebagai pelajaran, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?
Dalam rangkaian ayat-ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menyelamatkan Nabi Nuh as berserta orang-orang yang beriman bersamanya dengan mengangkut mereka di atas bahtera yang dibuat daripada papan dan paku.
Bahtera itu berlayar di bawah pengawasan, pengawalan dan penjagaan Allah Swt.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan suatu tanda (kebesaran Allah) bagi mereka adalah Kami bawa keturunan mereka dalam kapal yang penuh dengan muatan.”
Yasin 36:41
Pada akhir ayat ini, Allah Swt bertanya adakah sesiapa yang mahu mengambil pelajaran daripadanya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung) Kami bawa (nenek moyang) kamu, ke dalam bahtera, agar Kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.”
Al-Haqqah 69:11-12
Ayat 16
فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِى وَنُذُرِ
Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.
Kemudian Allah Swt mengingatkan kepada semua manusia tentang betapa dahsyatnya azab yang Dia timpakan kepada kaum Nabi Nuh as yang ingkar. Mereka telah dimatikan semua sekali dalam banjir besar itu.
Ayat 17
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
Allah Swt menegaskan bahawa sesungguhnya Dia benar-benar telah memudahkan Al-Quran untuk dijadikan pelajaran dan nasihat kepada mereka yang ingin mengambil pengajaran daripadanya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pelajaran.”
Sad 38:29
“Maka sesungguhnya, telah Kami mudahkan Al-Quran itu dengan bahasamu (Muhammad), agar dengan itu engkau dapat memberi khabar gembira kepada orang-orang yang bertakwa, dan agar engkau dapat memberi peringatan kepada kaum yang membangkang.”
Maryam 19:97