Surah 54: Al-Qamar (1 – 5)

Peristiwa Bulan Terbelah

Surah 54: Al-Qamar (1 – 5)


Ayat 1

ٱقْتَرَبَتِ ٱلسَّاعَةُ وَٱنشَقَّ ٱلْقَمَرُ

Telah dekat (datangnya) saat itu dan telah terbelah bulan.

Allah Swt memulai surah ini dengan menyatakan bahawa waktu kedatangan Hari Kiamat itu makin hampir dan dunia akan berakhir.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Telah pasti datangnya ketetapan Allah, maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangan)nya……….”

An-Nahl 16:1

“Sudah semakin dekat kepada manusia (hari) perhitungan segala amal mereka, sedangkan mereka dalam keadaan lalai lagi berpaling (daripadanya).”

Al-Anbiya’ 21:1

Hari Kiamat sudah semakin hampir jika dilihat daripada perbandingan antara masa yang berbaki setelah kenabian Nabi Muhammad saw dengan masa yang telah berlalu.

Daripada Ibnu ‘Umar ra, dia berkata kami sedang duduk berhampiran dengan Rasulullah saw ketika matahari berada di atas Qu’aiqi’an iaitu salah satu gunung yang berhadapan dengan Gunung Abu Qubais di Mekah, selepas waktu Asar lalu baginda bersabda:

“Tidaklah usia kalian apabila dibandingkan dengan usia orang-orang sebelum kalian melainkan seperti waktu yang berbaki dari siang hari ini dibandingkan dengan waktu yang telah berlalu.”

(HR. Ahmad)

Daripada Sahal bin Sa’ad, dia berkata Rasulullah saw bersabda:

“Aku diutus sedangkan aku dan Hari Kiamat adalah seperti ini.” Baginda mengisyaratkan dengan dua jari iaitu jari tengah dan jari telunjuk.

(HR. Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Kemudian Allah Swt menyatakan terbelahnya bulan sebagai sebuah mukjizat bagi Nabi Muhammad saw. Ini sekali gus merupakan tanda yang nyata bahawa Hari Kiamat sudah dekat dan terjadinya Hari Kiamat itu adalah sesuatu yang pasti.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas bin Malik ra, dia berkata bahawa penduduk Mekah meminta Rasulullah saw memperlihatkan salah satu daripada tanda kenabian. Lalu bulan pun terbelah dua. Anas membaca ayat 1 surah ini.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar ra, tentang ayat,

“Telah dekat (datangnya) saat itu dan telah terbelah bulan,” dia berkata, “Peristiwa itu terjadi semasa Rasulullah saw. Bulan terbelah menjadi dua bahagian. Satu bahagian di depan gunung ini dan satu bahagian lagi di belakang gunung ini.” Kemudian Rasulullah saw bersabda:

“Ya Allah, saksikanlah.”

(HR. Ahmad, At-Tirmizi dan Muslim)

Ayat 2

وَإِن يَرَوْا۟ ءَايَةً يُعْرِضُوا۟ وَيَقُولُوا۟ سِحْرٌ مُّسْتَمِرٌّ

Dan jika mereka (orang-orang musyrikin) melihat suatu tanda (mukjizat), mereka berpaling dan berkata, “(Ini adalah) sihir yang terus menerus.”

Allah Swt memberitahu tentang sikap orang-orang kafir yang begitu keras kepala dan angkuh terhadap mukjizat tersebut walaupun mereka sendiri telah melihatnya dengan jelas. Malah mereka menuduh semua itu adalah sihir.

Ayat 3

وَكَذَّبُوا۟ وَٱتَّبَعُوٓا۟ أَهْوَآءَهُمْ ۚ وَكُلُّ أَمْرٍ مُّسْتَقِرٌّ

Dan mereka mendustakan (Muhammad) dan mengikuti hawa nafsu mereka sedangkan setiap urusan itu telah ada ketetapannya.

Sesungguhnya telah datang kebenaran kepada mereka, namun mereka mendustakan, mengingkari, menolak dan tidak mahu mempercayainya. Mereka sebenarnya hanya mengikut hawa nafsu yang menyebabkan mereka menyimpang daripada kebenaran dan menjerumuskan mereka ke dalam kesesatan.

Sesungguhnya setiap perkara atau urusan itu akan berakhir dengan ketetapan sama ada baik atau buruk. Oleh itu, tetaplah baik bagi orang yang berbuat baik dan tetaplah buruk bagi orang yang melakukan kejahatan.

Ayat 4

وَلَقَدْ جَآءَهُم مِّنَ ٱلْأَنۢبَآءِ مَا فِيهِ مُزْدَجَرٌ

Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka beberapa kisah yang di dalamnya terdapat cegahan (daripada kekafiran).

Sesungguhnya telah sampai kepada orang-orang kafir musyrik dan orang-orang seperti mereka, kisah-kisah dalam Al-Quran tentang umat-umat yang mendustakan para rasul mereka dan akibat daripada pendustaan tersebut.

Kisah-kisah tersebut sepatutnya sudah cukup sebagai peringatan, nasihat dan petunjuk yang dapat mencegah mereka daripada terus berada dalam kekufuran dan kesyirikan kepada Allah Swt sekiranya mereka mahu menerimanya.

Ayat 5

حِكْمَةٌۢ بَـٰلِغَةٌ ۖ فَمَا تُغْنِ ٱلنُّذُرُ

Itulah suatu hikmah yang sempurna tetapi peringatan-peringatan itu tidak berguna (bagi mereka).

Berita-berita yang terdapat dalam Al-Quran atau Al-Quran itu sendiri adalah suatu hikmah yang agung dan mencapai puncak tertinggi dalam segala bidang termasuk kesempurnaannya. Namun peringatan-peringatan di dalamnya tidak berguna buat mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“………Tidaklah bermanfaat tanda-tanda (kebesaran Allah) dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman.”

Yunus 10:101