Surah 53: An-Najm (62)

Perintah supaya Tunduk kepada Allah Swt

Surah 53: An-Najm (62)


Ayat 62

فَٱسْجُدُوا۟ لِلَّهِ وَٱعْبُدُوا۟

Maka bersujudlah kepada Allah dan sembahlah (Dia).

Pada akhir surah ini, Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya tunduk kepada-Nya, mengikuti ajaran Rasulullah saw, bertauhid dan mengikhlaskan niat semata-mata kerana-Nya agar mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Rasulullah saw bersujud (tilawah) ketika membaca Surah An-Najm, lalu kaum muslimin, musyrikin, jin dan manusia ikut sujud bersama dengan baginda.”

Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud ra, dia mengatakan, “Surah yang pertama diturunkan yang terdapat di dalamnya ayat sajdah adalah Surah An-Najm. Rasulullah saw pernah sujud (ketika membacanya) dan orang-orang yang di belakang baginda juga ikut sujud, kecuali seorang yang aku melihatnya mengambil segenggam tanah, lalu sujud di atasnya (iaitu dengan meletakkan dahinya ke atas tanah itu). Kemudian setelah beberapa waktu aku melihatnya sebagai seorang yang terbunuh dalam keadaan kafir, iaitu Umayyah bin Kholaf.”

Imam Ahmad dan An-Nasa’i meriwayatkan daripada Jaafar bin Muttalib bin Abi Wada’ah daripada ayahnya, dia berkata, “Ketika di Mekah, Rasulullah saw membaca surah An-Najm, lalu baginda pun melakukan sujud tilawah dan orang-orang yang berada di sekitar baginda pun ikut sujud, namun aku mengangkat kepalaku dan aku tidak mahu bersujud. Waktu itu Al-Muttalib belum masuk Islam. Kemudian setelah itu Al-Muttalib tidak mendengar seorang pun membaca surah An-Najm melainkan dia (Al-Muttalib) pasti melakukan sujud tilawah.”