Antara Kekuasaan Allah Swt terhadap Hamba-hamba-Nya
Surah 53: An-Najm (42 – 55)
Ayat 42
وَأَنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلْمُنتَهَىٰ
Dan bahawasanya kepada Rabbmu-lah kesudahan (segala sesuatu).
Ayat-ayat seterusnya adalah sambungan daripada apa yang terdapat dalam lembaran-lembaran (suhuf) Nabi Musa as dan Nabi Ibrahim as.
▪️ Tempat kembali dan kesudahan pada Hari Akhirat adalah kepada Allah Swt.
Semua makhluk ciptaan-Nya akan dikembalikan kepada Allah Swt pada Hari Kiamat nanti.
Daripada Al-Hakim daripada Ibnu Abu Hatim, meriwayatkan daripada ‘Amr bin Maimun Al-Audi yang mengatakan bahawa Mu’az bin Jabal berdiri di tengah-tengah kami, sambil berkata, “Wahai Bani Aud! Sesungguhnya aku adalah utusan Rasulullah saw kepada kalian. Kalian hendaklah mengetahui bahawa tempat kembali kepada Allah Swt boleh jadi ke syurga atau ke neraka.”
Ayat 43
وَأَنَّهُۥ هُوَ أَضْحَكَ وَأَبْكَىٰ
Dan bahawasanya Dia-lah yang menjadikan orang ketawa dan menangis.
▪️ Allah Swt membuat sesiapa sahaja di dunia dengan menjadikan mereka bahagia atau sengsara.
Dia menciptakan hamba-hamba-Nya dapat tertawa dan menangis. Dia juga menciptakan penyebab kedua-duanya.
Ayat 44
وَأَنَّهُۥ هُوَ أَمَاتَ وَأَحْيَا
Dan bahawasanya Dia-lah yang mematikan dan menghidupkan.
▪️ Allah Swt menciptakan kematian dan kehidupan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Yang menciptakan mati dan hidup……….”
Al-Mulk 67:2
Ayat 45
وَأَنَّهُۥ خَلَقَ ٱلزَّوْجَيْنِ ٱلذَّكَرَ وَٱلْأُنثَىٰ
Dan bahawasanya Dia-lah yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan.
Ayat 46
مِن نُّطْفَةٍ إِذَا تُمْنَىٰ
Daripada air mani, apabila dipancarkan.
▪️ Allah Swt menjadikan ciptaan-Nya dua jenis berpasang-pasangan daripada manusia mahupun binatang.
Inilah permulaan kehidupan ciptaan Allah Swt daripada dua jenis jantina iaitu lelaki atau perempuan dan jantan atau betina. Semuanya berpunca daripada air mani yang dipancutkan ke dalam rahim perempuan atau betina.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Apakah manusia menyangka bahawa dia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa dipertanggungjawabkan)? Bukankah dia dahulu (diciptakan) daripada setitis air mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim). Kemudian (air mani itu) menjadi sesuatu yang melekat (segumpal darah), lalu Allah ciptakannya dan menyempurnakannya. Lalu Dia menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan. Bukankah (Allah yang berbuat) demikian berkuasa menghidupkan orang yang telah mati?”
Al-Qiyamah 75:36-40
Maka dalam ayat ini, Allah Swt mengingatkan tentang asal kejadian makhluk-Nya dan Dia-lah juga yang memberikan pelbagai kurniaan kepada semua jenis kehidupan di dunia ini.
Ayat 47
وَأَنَّ عَلَيْهِ ٱلنَّشْأَةَ ٱلْأُخْرَىٰ
Dan bahawasanya Dia-lah yang menetapkan kejadian yang lain (kebangkitan sesudah mati).
▪️ Allah Swt mengembalikan penciptaan mereka sesudah kematian iaitu kehidupan baru pada Hari Kiamat.
Sebagaimana Allah Swt berkuasa menciptakan makhluk pada kali pertama, maka Dia mampu pula membangkitkan kembali pada Hari Kiamat.
Ayat 48
وَأَنَّهُۥ هُوَ أَغْنَىٰ وَأَقْنَىٰ
Dan bahawasanya Dia-lah yang memberikan kekayaan dan kecukupan.
▪️ Allah Swt yang memberikan kekayaan dan mendatangkan kemiskinan kepada sesiapa yang Dia kehendaki sesuai dengan hikmahnya.
Dia-lah yang memberikan harta kepada hamba-hamba-Nya, dan ini merupakan nikmat-Nya yang diberikan kepada mereka.
Mujahid dan Qatadah mengatakan maksud أَغْنَىٰ (aghna) dalam ayat ini ialah Allah Swt memberikan harta, sedangkan أَقْنَىٰ (aqna) bermaksud memberikan pelayanan (kemudahan).
Manakala Ibnu ‘Abbas ra dan juga Mujahid mengatakan bahawa أَغْنَىٰ (aghna) bermaksud Allah Swt memberi, sedangkan أَقْنَىٰ (aqna) bermaksud Dia meredhai.
Ayat 49
وَأَنَّهُۥ هُوَ رَبُّ ٱلشِّعْرَىٰ
Dan bahawasanya Dia-lah Rabb (yang memiliki) bintang Syi’ra.
▪️ Allah Swt Yang Menciptakan, Memiliki dan Mengendalikan bintang Syi’ra.
Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Qatadah, Ibnu Zaid, dan lain-lain mengatakan bahawa bintang ini adalah bintang bercahaya terang. Bintang ini juga dikenali dengan nama Mirzam Al-Jauza (Venus) yang disembah oleh segolongan orang Arab pada masa jahiliyah.
Ayat 50
وَأَنَّهُۥٓ أَهْلَكَ عَادًا ٱلْأُولَىٰ
Dan bahawasanya Dia telah membinasakan kaum ‘Aad yang pertama.
▪️ Allah Swt membinasakan kaum ‘Aad yang pertama.
Mereka adalah kaum Nabi Hud as, yang juga dikenali sebagai kaum ‘Aad bin Iram bin Sam bin Nuh as. Mereka termasuk manusia yang paling keras lagi kuat menentang Allah Swt dan rasul-Nya, maka mereka pun dibinasakan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Tidakkah engkau (Muhammad) memerhatikan bagaimana Rabbmu melakukan terhadap (kaum) ‘Aad? Iaitu penduduk Iram (ibu kota kaum ‘Aad) yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Yang belum pernah didirikan seperti itu, di negeri-negeri lain.”
Al-Fajr 89:6-8
“……….dengan angin taufan yang sangat sejuk. Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam lapan hari berturut-turut……….”
Al-Haqqah 69:6-7
Ayat 51
وَثَمُودَا۟ فَمَآ أَبْقَىٰ
Dan kaum Thamud. Maka tidak ada seorang pun yang ditinggalkan-Nya (hidup).
▪️ Allah Swt juga membinasakan kaum Thamud.
Allah Swt binasakan mereka semua, tanpa ada seorang pun daripada mereka yang tersisa.
Ayat 52
وَقَوْمَ نُوحٍ مِّن قَبْلُ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ هُمْ أَظْلَمَ وَأَطْغَىٰ
Dan (juga) kaum Nuh sebelum itu. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang paling zalim dan paling derhaka.
▪️ Allah Swt membinasakan kaum Nabi Nuh as sebelum kaum ‘Aad dan kaum Thamud.
Kaum Nabi Nuh as sebelum kaum Thamud sangat derhaka, lebih keras daripada orang-orang yang sesudah mereka.
Ayat 53
وَٱلْمُؤْتَفِكَةَ أَهْوَىٰ
Dan negeri (kaum Lut) yang telah ditunggang terbalikkan dan dijatuhkan (ke bumi).
Ayat 54
فَغَشَّىٰهَا مَا غَشَّىٰ
Lalu Allah menimpakan atas negeri itu azab yang besar.
▪️ Allah Swt membinasakan kaum Nabi Lut as.
Negeri-negeri kediaman kaum Nabi Lut as itu diterbalikkan sehingga bahagian atas berada di bawah dan bahagian bawah berada di atas mereka. Allah Swt menghujani mereka bertubi-tubi dengan batu-batu daripada tanah yang terbakar.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Kami hujani mereka (dengan hujan batu), maka betapa buruk hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu.”
Asy-Syu’ara’ 26:173
Ayat 55
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكَ تَتَمَارَىٰ
Maka terhadap nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu ragu-ragukan?
Dalam ayat-ayat di atas, Allah Swt telah menyebutkan pelbagai kenikmatan yang dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya berupa nikmat diciptakan, dijadikan kaya, diciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya serta menyebutkan seksaan sebagai peringatan untuk menyelamatkan diri mereka.
Maka dalam ayat ini, Allah Swt menyoal pula nikmat yang manakah yang mereka ragu-ragukan. Ini kerana semuanya telah jelas dan tidak mungkin boleh didustakan atau disembunyikan dengan apa cara sekali pun.