Setiap Manusia Akan Menerima Ganjaran Atas Apa yang Diusahakannya
Surah 53: An-Najm (36 – 41)
Ayat 36
أَمْ لَمْ يُنَبَّأْ بِمَا فِى صُحُفِ مُوسَىٰ
Atau apakah belum diberitakan (kepadanya) apa yang ada dalam lembaran-lembaran Musa?
Ayat 37
وَإِبْرَٰهِيمَ ٱلَّذِى وَفَّىٰٓ
Dan (lembaran-lembaran) Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji?
Allah Swt menanyakan adakah mereka yang sememangnya ingkar ataukah belum diberitakan kepada mereka apa yang ada dalam lembaran-lembaran kitab suci yang diwahyukan kepada Nabi Musa as.
Selain itu, apakah mereka juga mengingkari tuntunan wahyu yang terdapat pada lembaran-lembaran yang diwahyukan kepada Nabi Ibrahim as yang selalu menyempurnakan janji kepada Allah Swt.
Sa’id bin Jubair, Ath-Thauri, Qatadah dan Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud ayat ini ialah Nabi Ibrahim as selalu menunaikan apa yang diperintahkan Allah Swt kepadanya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Rabbnya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu dia melaksanakannya dengan sempurna. Dia (Allah) berfirman, ‘Sesungguhnya Aku menjadikan engkau pemimpin bagi seluruh manusia’……..”
Al-Baqarah 2:124
“Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), ‘Ikutilah agama Ibrahim yang lurus, dan dia tidak termasuk orang-orang musyrik.’”
An-Nahl 16:123
Ayat 38
أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ
Iaitu seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.
Ayat 39
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَـٰنِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Dan bahawasanya seorang manusia tidak memperolehi selain apa yang telah diusahakannya.
Kemudian Allah Swt menjelaskan apa yang ada dalam lembaran-lembaran Nabi Musa as dan Nabi Ibrahim as iaitu:
▪️ Seseorang yang berdosa kerana perbuatan dan keingkarannya tidak akan memikul dosa orang lain.
Firman Allah Swt dalam ayat lain:
“……….Dan jika seseorang yang dibebani dosa yang berat mahukan (orang lain) untuk memikul bebannya sekali pun, dia tidak akan dipikulkan sedikit pun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya……….”
Fatir 35:18
▪️ Seseorang tidak mendapat manfaat daripada perbuatan baik orang lain.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Jika manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: anak soleh yang mendoakannya, sedekah jariah dan ilmu yang dimanfaatkan.”
(HR. Muslim)
Hadis di atas diperkuatkan lagi dengan hadis berikut,
Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya makanan terbaik seseorang adalah yang berasal daripada hasil kerjanya (sendiri), dan sesungguhnya anaknya adalah daripada hasil kerjanya.”
(HR. An-Nasa’i)
Ayat 40
وَأَنَّ سَعْيَهُۥ سَوْفَ يُرَىٰ
Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).
Ayat 41
ثُمَّ يُجْزَىٰهُ ٱلْجَزَآءَ ٱلْأَوْفَىٰ
Kemudian akan diberikan balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna.
▪️ Segala usaha akan diperlihatkan.
▪️ Diberikan balasan dengan sempurna.
Ayat-ayat di atas adalah bermaksud segala usaha seseorang itu semasa di dunia akan diperlihatkan di akhirat. Dia akan diberikan balasan yang baik dan dimuliakan dengan sebab usaha baiknya. Manakala seseorang yang melakukan kejahatan akan dihinakan dan diberikan hukuman yang setimpal dengan amalan kejahatannya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan katakanlah, ‘Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat perlakuanmu, begitu juga rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.’”
At-Taubah 9:105
“Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”
Al-Zalzalah 99:7