Surah 53: An-Najm (27 – 30)

Allah Swt Mengecam Tuduhan Orang Musyrik bahawa Para Malaikat adalah daripada Jenis Perempuan

Surah 53: An-Najm (27 – 30)


Ayat 27

إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ لَيُسَمُّونَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ تَسْمِيَةَ ٱلْأُنثَىٰ

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, mereka benar-benar menamakan para malaikat dengan nama perempuan.

Ayat 28

وَمَا لَهُم بِهِۦ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ ۖ وَإِنَّ ٱلظَّنَّ لَا يُغْنِى مِنَ ٱلْحَقِّ شَيْـًٔا

Dan mereka tidak mempunyai ilmu tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah mengikut persangkaan sahaja, sedangkan sesungguhnya persangkaan itu tidak berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran.

Dalam ayat 27 dan 28 ini, Allah Swt menyatakan orang-orang musyrik yang tidak percaya kepada Hari Kebangkitan mengatakan bahawa para malaikat adalah daripada jenis perempuan dan menganggap sebagai anak-anak perempuan-Nya.

Walhal mereka sama sekali tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara itu kerana mereka tidak menyaksikan bagaimana para malaikat itu dicipta dan juga mereka tidak mempunyai bukti daripada Allah Swt tentang apa yang mereka katakan. Sebenarnya mereka hanya membuat persangkaan disebabkan oleh kebodohan dan kesesatan mereka sahaja.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan mereka menjadikan malaikat-malaikat yang juga adalah hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah sebagai orang-orang perempuan. Apakah mereka menyaksikan penciptaan malaikat-malaikat itu? Kelak akan dituliskan persaksian mereka dan mereka akan diminta bertanggungjawab.”

Az-Zukhruf 43:19

Rasulullah saw bersabda:

“Jauhilah prasangka kerana prasangka adalah perkataan yang paling dusta.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 29

فَأَعْرِضْ عَن مَّن تَوَلَّىٰ عَن ذِكْرِنَا وَلَمْ يُرِدْ إِلَّا ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا

Maka berpalinglah engkau (wahai Muhammad) daripada orang yang meninggalkan peringatan Kami, dan tidak mengingini kecuali kehidupan dunia.

Lalu Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw meninggalkan dan tidak menghiraukan orang-orang musyrik yang membenci keimanan dan Al-Quran yang merupakan peringatan daripada-Nya.

Ini kerana mereka hanya menginginkan kehidupan di dunia semata-mata. Sekiranya mereka diajak juga kepada Islam, itu hanya akan menambahkan kedegilan dan mereka berterusan dalam kebatilan.

Ayat 30

ذَٰلِكَ مَبْلَغُهُم مِّنَ ٱلْعِلْمِ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ ٱهْتَدَىٰ

Demikianlah kesudahan pengetahuan mereka. Sesungguhnya Rabbmu, Dia-lah yang lebih mengetahui orang yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia jugalah yang paling mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.

Sesungguhnya perkara dunia dan mencari keduniaan adalah batas hujung terjauh pengetahuan yang mereka capai. Mereka sama sekali tidak mahu memikirkan tentang agama dan Hari Akhirat.

Sesungguhnya Allah Swt yang menciptakan seluruh makhluk dan yang mengetahui segala kemaslahatan ciptaan-Nya. Dia-lah juga yang memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki dan menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Semua itu berdasarkan kekuasaan, pengetahuan dan hikmah-Nya. Dia Maha Adil dan tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.