Surah 53: An-Najm (19 – 26)

Allah Swt Mencela Orang Musyrik kerana Menyembah Berhala

Surah 53: An-Najm (19 – 26)


Ayat 19

أَفَرَءَيْتُمُ ٱللَّـٰتَ وَٱلْعُزَّىٰ

Maka apakah patut kamu (wahai orang-orang musyrik) menganggap (berhala) Al-Lata dan Al-‘Uzza.

Ayat 20

وَمَنَوٰةَ ٱلثَّالِثَةَ ٱلْأُخْرَىٰٓ

Dan Manat, yang ketiga dan yang paling akhir (sebagai anak perempuan Allah).

Dalam ayat 19 dan ayat 20 ini, Allah Swt mengecam perbuatan orang-orang musyrik kerana mereka menyembah berhala-berhala dan sekutu-sekutu yang mereka ada-adakan bagi-Nya. Mereka membuat rumah-rumah untuk berhala-berhala itu bagi menandingi Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim as.

▪️  Lata dan ‘Uzza asalnya adalah dua orang alim. Apabila mereka mati, orang-orang musyrik yang memuja mereka itu telah mengunjungi kubur mereka. Pada mulanya hanya ke kubur itu untuk memberi salam sahaja. Namun kemudiannya mereka membuat gambar dan seterusnya mengukir patung dan memuja patung tersebut sebagai tuhan.

▪️  Pada masa jahiliyah, kabilah Khuza’ah, Aus dan Khazraj yang tinggal di Yathrib sangat mengagungkan Manat. Mereka mengucapkan talbiah dari sana ketika hendak mengerjakan haji menuju Kaabah.

Di Jazirah Arab, selain tiga nama berhala ini terdapat juga berhala lain yang mereka sembah selain Allah Swt. Semuanya diagungkan oleh orang-orang Arab sama seperti mereka mengagungkan Kaabah. Ketiga-tiga berhala ini disebutkan secara khusus, kerana lebih terkenal dibandingkan dengan yang lainnya.

Ayat 21

أَلَكُمُ ٱلذَّكَرُ وَلَهُ ٱلْأُنثَىٰ

Apakah (patut) untuk kamu (anak) lelaki dan untuk-Nya (anak) perempuan?

Orang-orang musyrik mengatakan bahawa berhala-berhala itu adalah anak-anak perempuan Allah. Lalu dalam ayat ini, Allah Swt mengecam mereka kerana mereka mengatakan demikian, padahal mereka sendiri memilih anak lelaki untuk diri mereka.

Ayat 22

تِلْكَ إِذًا قِسْمَةٌ ضِيزَىٰٓ

Yang demikian itu tentulah suatu pembahagian yang tidak adil.

Sekiranya mereka menetapkan anak lelaki untuk Allah Swt pun sudah menjadi satu kesalahan yang besar, apatah lagi jika mereka menisbahkan anak perempuan kepada-Nya. Tentulah perbuatan mereka tidak masuk akal kerana mereka menisbahkan kepada Allah Swt apa yang mereka sendiri tidak menyukainya.

Ayat 23

إِنْ هِىَ إِلَّآ أَسْمَآءٌ سَمَّيْتُمُوهَآ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَـٰنٍ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَمَا تَهْوَى ٱلْأَنفُسُ ۖ وَلَقَدْ جَآءَهُم مِّن رَّبِّهِمُ ٱلْهُدَىٰٓ

Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan nenek-moyang kamu mengada-adakannya, Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun untuk (menyembah)nya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka daripada Rabb mereka.

Sebenarnya mereka telah mengadakan berhala dan menamakannya sebagai ilah (tuhan), sedangkan Allah Swt tidak pernah menurunkan keterangan bagi membenarkan hal ini. Sesungguhnya mereka tidak mempunyai sandaran selain prasangka baik mereka terhadap nenek moyang mereka yang menempuh jalan yang batil sebelum mereka. Selain itu, mereka hanya bercita-cita untuk mempertahankan kedudukan dan mengagung-agungkan nenek moyang mereka terdahulu.

Ayat 24

أَمْ لِلْإِنسَـٰنِ مَا تَمَنَّىٰ

Atau apakah manusia akan mendapat segala yang dicita-citakannya?

Ayat 25

فَلِلَّهِ ٱلْـَٔاخِرَةُ وَٱلْأُولَىٰ

(Tidak), maka hanya bagi Allah kehidupan akhirat dan kehidupan dunia.

Seterusnya, Allah Swt menjelaskan bahawa perkara itu tidak cukup dengan hanya sekadar harapan dan angan-angan. Berhala-berhala itu sama sekali tidak berguna bagi mereka dalam memberikan syafaat di sisi-Nya mahupun dalam hal-hal yang lain.

Ayat ini mengingatkan orang-orang yang meminta atau mengharapkan sesuatu kepada selain Allah Swt tidak akan mendapat apa yang diinginkan.

Segala sesuatu dan kerajaan adalah milik Allah Swt, Dia-lah Raja di dunia dan di akhirat. Dia memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Pahala daripada Allah) itu bukanlah angan-anganmu dan bukan (pula) angan-angan ahli kitab……….”

An-Nisa’ 4:123

Kemudian Allah Swt menafikan dengan mengatakan bahawa segala urusan makhluk-Nya adalah milik-Nya, maka sesungguhnya Dia-lah pengatur kehidupan di dunia dan di akhirat, apa yang Dia kehendaki pasti terjadi dan apa yang tidak dikehendaki-Nya tidak akan terjadi.

Ayat 26

وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ لَا تُغْنِى شَفَـٰعَتُهُمْ شَيْـًٔا إِلَّا مِنۢ بَعْدِ أَن يَأْذَنَ ٱللَّهُ لِمَن يَشَآءُ وَيَرْضَىٰٓ

Dan berapa banyaknya malaikat di langit, syafaat mereka sedikitpun tidak berguna, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi orang yang dikehendaki dan diredhai-(Nya).

Allah Swt menjelaskan tentang syafaat. Walaupun para malaikat yang hampir dengan-Nya, mereka juga tidak mampu memberikan syafaat melainkan dengan izin-Nya. Maka bagaimana mungkin orang-orang musyrik ini boleh mengharapkan syafaat daripada berhala-berhala dan musuh-musuh-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya……….”

Al-Baqarah 2:255