Surah 52: At-Tur (48 – 49)

Anjuran supaya Bersabar, Bertasbih dan Mendirikan Solat Malam

Surah 52: At-Tur (48 – 49)


Ayat 48

وَٱصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ فَإِنَّكَ بِأَعْيُنِنَا ۖ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ حِينَ تَقُومُ

Dan bersabarlah (Muhammad) dalam menunggu ketetapan Rabbmu, maka sesungguhnya kamu berada dalam pengawasan Kami, dan bertasbihlah dengan memuji Rabbmu ketika kamu bangun berdiri.

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw bersabar atas segala gangguan orang-orang kafir tersebut sehingga tiba ketetapan daripada-Nya. Ini kerana baginda sentiasa berada dalam penjagaan dan perlindungan-Nya.

Ada beberapa pendapat tentang maksud ayat, “Dan bertasbihlah dengan memuji Rabbmu ketika kamu bangun berdiri,” iaitu:

▪️  Adh-Dhahhak mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah bangun berdiri untuk mengerjakan solat sambil membaca tasbih,

”سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلاَ إِلَهَ غَيْرُكَ.“

“Maha Suci Engkau, ya Allah, aku memuji-Mu, Maha Suci nama-Mu dan Maha Tinggi Keagungan-Mu, tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar selain Engkau.”

Manakala Abu Sa’id Al-Khudri dan lain-lain mengatakan Rasulullah saw pernah mengucapkan bacaan tersebut dalam permulaan solat (doa iftitah).

▪️  Abul Jauza’ mengatakan maksudnya ialah bertasbihlah ketika bangun dari tempat tidur. Pendapat ini disokong oleh Ibnu Jarir dan diperkuatkan dengan apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al-Bukhari. Rasulullah saw bersabda:

“Sesiapa yang bangun di tengah malam, lalu mengucapkan, ‘Tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar melainkan Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala puji, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah. Dan tidak ada ilah yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah,’ kemudian dia mengucapkan, ‘Wahai Rabbku berilah keampunan bagiku,’ atau kemudian dia berdoa, nescaya akan diperkenankan baginya. Dan jika dia berkeinginan kuat untuk bangun, lalu berwudhuk, kemudian solat, maka solatnya diterima.”

(HR. Ahmad)

▪️  Ath-Thauri meriwayatkan daripada Abul Ahwash, beliau mengatakan apabila hendak berdiri meninggalkan sesuatu majlis dianjurkan supaya bertasbih. Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesiapa duduk dalam sesuatu majlis dan di dalamnya banyak melakukan kesalahan (perkara sia-sia), kemudian saat berdiri sebelum pulang dari majlis tersebut dia membaca doa,

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلهَ إِلَاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

‘Maha Suci Engkau wahai Allah dan dengan memuji-Mu aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Engkau. Aku memohon keampunan dan bertaubat kepada-Mu.’ Maka dosa-dosa yang dia lakukan dalam majlis tersebut akan diampuni.”

(HR. At-Tirmizi)

Ayat 49

وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَسَبِّحْهُ وَإِدْبَـٰرَ ٱلنُّجُومِ

Dan pada sebahagian malam bertasbihlah kepada-Nya dan (juga) pada waktu terbenamnya bintang-bintang (pada waktu fajar).

Seterusnya pada akhir surah ini, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw berzikir dan beribadah kepada-Nya dengan membaca Al-Quran dan mendirikan solat pada tengah malam.

Dalam hadis Ibnu ‘Abbas ra disebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah dua rakaat sunnah sebelum solat Subuh. Ini kerana solat sunnah tersebut disyariatkan pada saat terbenamnya semua bintang iaitu saat ia menghilang pada waktu fajar.

Daripada ‘Aisyah ra, dia berkata:

“Tidak ada satu solat sunnah pun yang lebih dijaga (untuk sentiasa dilakukan) oleh Rasulullah saw melainkan solat sunat Fajar (Subuh).”

(HR. Al-Bukhari)

Rasulullah saw bersabda:

“Dua rakaat fajar lebih baik daripada dunia dan seisinya.”

(HR. Muslim)

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan pada sebahagian malam, dirikanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.“

Al-Isra’ 17:79