Surah 52: At-Tur (44 – 47)

Pelbagai Azab Akan Ditimpakan kepada Orang yang Zalim

Surah 52: At-Tur (44 – 47)


Ayat 44

وَإِن يَرَوْا۟ كِسْفًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ سَاقِطًا يَقُولُوا۟ سَحَابٌ مَّرْكُومٌ

Jika mereka melihat sebahagian dari langit gugur, mereka akan berkata, “Itu adalah awan yang bertompok-bertompok.”

Allah Swt menerangkan sikap pembangkangan orang-orang kafir musyrik, keras kepala dan keangkuhan mereka terhadap kebenaran.

Ini kerana sekiranya mereka melihat sendiri bencana turun dari langit, mereka tetap juga akan menyombongkan diri dan melakukan kekufuran. Malahan mereka mengejek-ngejek dan mempermainkan dengan mengatakan bahawa itu hanyalah awan yang bertompok-tompok sahaja.

Ayat 45

فَذَرْهُمْ حَتَّىٰ يُلَـٰقُوا۟ يَوْمَهُمُ ٱلَّذِى فِيهِ يُصْعَقُونَ

Maka biarkanlah mereka hingga mereka menemui hari (yang dijanjikan kepada) mereka yang pada hari itu mereka dibinasakan.

Ayat 46

يَوْمَ لَا يُغْنِى عَنْهُمْ كَيْدُهُمْ شَيْـًٔا وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

(Iaitu) hari ketika tidak berguna bagi mereka sedikitpun tipu daya mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan.

Oleh itu, Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw membiarkan mereka dalam kesesatan sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka. Pada hari itu mereka akan dibinasakan.

Balasan itu datang pada hari ketika tipu daya yang mereka lakukan tidak berguna sedikit pun bagi mereka, dan pada hari itu mereka juga tidak akan diberi pertolongan.

Ayat 47

وَإِنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ عَذَابًا دُونَ ذَٰلِكَ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim masih ada azab selain itu tetapi kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui.

Allah Swt menyatakan bagi orang-orang yang zalim, Dia akan mengazab mereka di dunia dan juga di akhirat. Dia mengazab mereka di dunia dengan memberikan ujian berupa pelbagai musibah agar mereka kembali ke jalan-Nya. Manakala azab di akhirat lebih besar lagi.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya Kami pasti menimpakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).”

As-Sajdah 32:21