Surah 52: At-Tur (29 – 34)

Pembelaan Allah Swt terhadap Rasulullah saw

Surah 52: At-Tur (29 – 34)


Ayat 29

فَذَكِّرْ فَمَآ أَنتَ بِنِعْمَتِ رَبِّكَ بِكَاهِنٍ وَلَا مَجْنُونٍ

Maka tetaplah memberi peringatan, dan engkau (Muhammad) disebabkan nikmat Rabbmu bukanlah seorang tukang tenung dan bukan pula seorang gila.

Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw menyampaikan risalah-Nya kepada semua hamba-Nya dan memberikan peringatan kepada mereka sebagaimana yang diwahyukan kepadanya.

Kemudian Allah Swt mengecam dan menyangkal tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh para pendusta lagi penderhaka terhadap kekasih-Nya, Rasulullah saw.

Sesungguhnya baginda bukanlah seorang tukang tilik, tidak seperti yang dikatakan oleh orang-orang kafir Quraisy. Ini kerana tukang tilik biasanya didatangi jin, lalu menyampaikan berita-berita yang dicuri dengar dari langit dan kebanyakan berita yang disampaikan adalah dusta. Baginda juga bukanlah seorang gila yang berkelakuan seperti orang yang tidak terkawal.

Ayat 30

أَمْ يَقُولُونَ شَاعِرٌ نَّتَرَبَّصُ بِهِۦ رَيْبَ ٱلْمَنُونِ

Bahkan mereka mengatakan, “Dia adalah seorang penyair yang kami tunggu-tunggu kecelakaan menimpanya.”

Mereka bukan sahaja menuduh Nabi Muhammad saw sebagai seorang ahli sihir atau seorang yang gila, tetapi mereka juga mengatakan bahawa mereka menanti-nanti kejadian atau peristiwa berupa mala petaka menimpa baginda dan maut menjemputnya. Oleh itu, mereka akan terbebas daripada urusan baginda.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa sesungguhnya kaum Quraisy ketika berkumpul di Darun Nadwah untuk berbincang tentang Rasulullah saw, seseorang daripada mereka mengatakan, “Kita kurung dia dalam keadaan terikat, lalu kita tunggu kematian menjemputnya sehingga binasa sebagaimana nasib yang telah dialami oleh orang-orang terdahulu daripada kalangan penyair, seperti Zuhair dan Nabighah. Sesungguhnya dia (Muhammad) adalah sama seperti mereka.” Kemudian Allah Swt menurunkan firman-Nya, “Bahkan mereka mengatakan, ‘Dia adalah seorang penyair yang kami tunggu-tunggu kecelakaan menimpanya.’”

Ayat 31

قُلْ تَرَبَّصُوا۟ فَإِنِّى مَعَكُم مِّنَ ٱلْمُتَرَبِّصِينَ

Katakanlah (Muhammad), “Tunggulah, maka sesungguhnya aku pun termasuk orang yang menunggu bersama-sama kamu.”

Kemudian Allah Swt mengancam dan mengejek mereka dengan memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada mereka tunggulah kematian atau kehancurannya selama mana mereka mahu menunggu dan sesungguhnya baginda juga sedang menunggu bersama-sama mereka. Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan mendapat kesudahan yang baik dan pertolongan di dunia serta di akhirat.

Ayat 32

أَمْ تَأْمُرُهُمْ أَحْلَـٰمُهُم بِهَـٰذَآ ۚ أَمْ هُمْ قَوْمٌ طَاغُونَ

Apakah mereka diperintahkan oleh akal fikiran mereka untuk membuat tuduhan-tuduhan ini atau apakah mereka kaum yang melampaui batas?

Allah Swt mengemukakan pertanyaaan apakah mereka diperintahkan oleh akal fikiran mereka sendiri untuk mengucapkan pertuduhan-pertuduhan yang batil tersebut. Sedangkan mereka sendiri mengetahui bahawa semua tuduhan mereka itu adalah dusta.

Sebenarnya mereka adalah kaum yang melampaui batas, sesat dan mengingkari kebenaran sehingga mendorong mereka melemparkan tuduhan palsu kepada Nabi Muhammad saw.

Ayat 33

أَمْ يَقُولُونَ تَقَوَّلَهُۥ ۚ بَل لَّا يُؤْمِنُونَ

Atau apakah mereka mengatakan, “Dia (Muhammad) mereka-rekanya.” Tidak! Sebenarnya mereka tidak beriman.

Ayat ini merupakan pertanyaan Allah Swt yang seterusnya kepada orang-orang musyrik iaitu adakah mereka menuduh bahawa Nabi Muhammad saw telah mereka-reka Al-Quran dan bukan daripada-Nya.

Kemudian Allah Swt membantah tuduhan ini dengan mengatakan sebenarnya mereka tidak beriman dan kekufuran mereka itulah yang mendorong mereka mengatakan perkara dusta tersebut.

Ayat 34

فَلْيَأْتُوا۟ بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِۦٓ إِن كَانُوا۟ صَـٰدِقِينَ

Maka hendaklah mereka mendatangkan kata-kata yang sebanding dengannya (Al-Quran) itu jika mereka orang-orang yang benar.

Pembesar-pembesar Quraisy ketika itu disebut sebagai orang-orang yang pandai, memiliki akal yang pintar, pakar dan fasih dalam semua bentuk gaya bahasa. Lalu dalam ayat ini, Allah Swt mencabar mereka agar mendatangkan sesuatu yang serupa dengan Al-Quran.

Cabaran seperti ini telah dikemukakan oleh Allah Swt beberapa kali di dalam Al-Quran dan bukan sahaja kepada kaum Quraisy Mekah bahkan kepada sesiapa sahaja yang tidak mempercayai bahawa Al-Quran itu adalah wahyu-Nya.

Namun seandainya mereka itu bersatu dengan semua penduduk bumi daripada bangsa manusia dan jin, nescaya mereka pasti tidak akan mampu untuk membuat sesuatu yang serupa dengan Al-Quran, bahkan untuk mendatangkan satu surah sahaja pun mereka tidak akan mampu.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Atau (patutkah) mereka mengatakan ‘Muhammad mereka-rekanya?’ Katakanlah, ‘(Kalau benar yang kamu katakan itu), maka cubalah datangkan sebuah surah seumpamanya dan panggillah sesiapa yang dapat kamu panggil (untuk membuatnya) selain Allah, jika kamu orang yang benar.’”

Yunus 10:38

“Katakanlah, ‘Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang sama (dengan) Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan mampu membuat yang sama dengannya, walaupun mereka saling membantu.’”

Al-Isra’ 17:88