Gambaran Penyeksaan pada Hari Kiamat
Surah 52: At-Tur (9 – 16)
Ayat 9
يَوْمَ تَمُورُ ٱلسَّمَآءُ مَوْرًا
Pada hari (ketika) langit benar-benar bergoncang.
Allah Swt menyatakan beberapa perkara yang akan berlaku pada Hari Kiamat, iaitu:
▪️ Langit bergoncang dan bergetar dengan dahsyat.
Apabila kiamat sudah bermula, langit yang sekarang ini kelihatan begitu kuat, teguh dan tetap di tempatnya akan bergoncang dengan sangat kuat.
Mujahid mengatakan, maksud ayat ini ialah langit berputar dengan hebat. Manakala Ad-Dhahhak mengatakan langit bergerak-gerak dan berputar kerana diperintahkan oleh Allah Swt dan sebahagiannya menggoncang sebahagian yang lain. Pendapat inilah yang dipilih oleh Ibnu Jarir, kerana yang dimaksudkan dengan ‘mauran’ (مَوْرًا) ialah gerakan yang berputar-putar.
Ayat 10
وَتَسِيرُ ٱلْجِبَالُ سَيْرًا
Dan gunung benar-benar berjalan.
▪️ Gunung-gunung bergerak dan bergeser dari tempatnya.
Gunung-ganang yang sekarang ini menjadi pasak atau paku kepada bumi akan bergoncang dan berlanggar antara satu dengan yang lain. Semuanya akan hancur berhamburan dan lenyap menjadi debu yang berterbangan. Ini memberi gambaran yang amat menakutkan.
Ayat 11
فَوَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِّلْمُكَذِّبِينَ
Maka celaka besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan (rasul).
Wail (وَيْلٌ), iaitu kalimah azab atau sebuah lembah di Neraka Jahannam. Ungkapan ini biasanya dilemparkan kepada orang yang celaka. Kecelakaan dan kesengsaraan yang besar bagi orang-orang yang mendustakan para rasul dan tenggelam dalam kebatilan.
Ayat 12
ٱلَّذِينَ هُمْ فِى خَوْضٍ يَلْعَبُونَ
(Iaitu) orang-orang yang bermain-main dalam kebatilan (perbuatan dosa).
Orang-orang yang celaka dan akan ditimpakan seksaan itu ialah orang-orang semasa hidup di dunia dahulu selalu bercakap perkara yang tidak benar. Mereka bermain-main dan menjadikan agama sebagai bahan olok-olok serta sibuk dengan kerja-kerja kekufuran sehingga melupakan Hari Perhitungan.
Ayat 13
يَوْمَ يُدَعُّونَ إِلَىٰ نَارِ جَهَنَّمَ دَعًّا
Pada hari itu mereka ditolak-tolak ke Neraka Jahannam dengan sekuat-kuatnya.
Oleh itu, Allah Swt menyatakan bahawa pada Hari Kiamat mereka benar-benar akan diseret dengan keras ke dalam neraka.
Ulama tafsir menyatakan bahawa para malaikat penjaga neraka membelenggu tangan, leher dan kaki penghuni neraka, menyeret mereka menuju neraka dan menghumbankan mereka ke dalamnya.
Ayat 14
هَـٰذِهِ ٱلنَّارُ ٱلَّتِى كُنتُم بِهَا تُكَذِّبُونَ
(Dikatakan kepada mereka), “Inilah neraka yang dahulunya kamu dustakan.”
Ini adalah ucapan malaikat Zabaniyah sebagai penghinaan dan ejekan kepada penghuni neraka. Mereka dicerca, dicemuh dan dikecam sebelum mereka diazab dalam neraka.
Wal’iyazubillahi min zalik!
Ayat 15
أَفَسِحْرٌ هَـٰذَآ أَمْ أَنتُمْ لَا تُبْصِرُونَ
Maka apakah ini sihir atau apakah kamu tidak melihat?
Allah Swt menyatakan malaikat Zabaniyah dengan nada menyindir bertanya kepada mereka adakah azab yang mereka lihat dan saksikan itu adalah sihir sebagaimana yang mereka pernah menuduh bahawa para rasul itu adalah ahli sihir dan kitab-kitab yang dibawa mereka adalah semuanya sihir.
Ayat 16
ٱصْلَوْهَا فَٱصْبِرُوٓا۟ أَوْ لَا تَصْبِرُوا۟ سَوَآءٌ عَلَيْكُمْ ۖ إِنَّمَا تُجْزَوْنَ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Masukklah kamu ke dalamnya (rasakanlah panas apinya), maka sama ada kamu bersabar atau tidak, sama sahaja bagimu, sesungguhnya kamu diberi balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan.
Kemudian para malaikat itu memerintahkan orang-orang yang ingkar itu masuk ke dalam neraka dan merasakan pedihnya azab neraka sama ada mereka dapat bersabar dengan azab tersebut atau tidak, semuanya adalah sama sahaja buat mereka.
Sesungguhnya Allah Swt tidak pernah menzalimi seseorang pun dan setiap orang akan mendapat balasan sesuai dengan amalan masing-masing.