Orang yang Ingkar Pasti Akan Dibalas dengan Seksaan yang Telah Dijanjikan Allah Swt
Surah 52: At-Tur (1 – 8)
Ayat 1
وَٱلطُّورِ
Demi bukit (Tursina).
Dalam ayat 1 hingga ayat 6, terdapat sumpah Allah Swt yang menyebut nama 5 jenis makhluk ciptaan-Nya bagi membuktikan kekuasaan-Nya yang agung, iaitu:
(1) Bukit Tursina.
Tur adalah gunung yang mempunyai pokok-pokok seperti bukit tempat Nabi Musa as diajak berbicara secara langsung oleh Allah Swt. Bukit atau gunung yang tidak ada pokok bukanlah dinamakan Tur tetapi dinamakan Jabal.
Ayat 2
وَكِتَـٰبٍ مَّسْطُورٍ
Dan demi kitab yang ditulis.
(2) Kitab.
Ada yang mentafsirkan ayat, “Kitab yang ditulis” ini adalah Lauh Mahfuz. Ada juga yang mentafsirkan maksudnya ialah kitab-kitab yang diturunkan yang tertulis untuk dibacakan kepada manusia secara terang-terangan.
Ayat 3
فِى رَقٍّۢ مَّنشُورٍ
Pada lembaran yang terbuka.
Kalimah ر ق ق bermaksud tempat tulis yang lembut seperti kertas atau kulit nipis dan ia dibentangkan.
Ayat 4
وَٱلْبَيْتِ ٱلْمَعْمُورِ
Demi Baitul Ma’mur.
(3) Baitul Ma’mur.
Kalimah مَعمورِ bermaksud tempat yang ramai menghuninya.
Ada pendapat ia merujuk kepada Kaabah yang makmur dan dikunjungi ramai oleh para jemaah haji, para pengunjung dan orang-orang yang tinggal sekitarnya. Mereka pergi ke Mekah untuk beribadah.
Ada pula berpendapat Baitul Ma’mur ialah tempat para malaikat melakukan ibadah dan bertawaf di sekelilingnya. Sebagaimana penduduk bumi bertawaf mengelilingi Kaabah, begitulah penduduk langit mengelilingi Baitul Ma’mur.
Dalam kitab Sahihain tentang Isra’ dan Mi’raj disebutkan bahawa sesudah melepasi langit yang ketujuh Rasulullah saw dinaikkan ke Baitul Ma’mur. Baginda bersabda menceritakan hal tersebut:
“Kemudian aku dinaikkan ke Baitul Ma’mur, dan ternyata Baitul Ma’mur itu setiap harinya dimasuki oleh 70,000 (malaikat) yang tidak kembali lagi kepadanya sampai yang terakhir daripada mereka.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 5
وَٱلسَّقْفِ ٱلْمَرْفُوعِ
Demi atap yang ditinggikan (langit).
(4) Langit yang tinggi.
Kedudukan langit seperti atap kepada bumi. Apa yang ada di langit berupa matahari, bulan, bintang-bintang dan planet-planet yang lainnya serta pelbagai lapisan yang tidak mampu dihitung oleh manusia kecuali Allah Swt.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Kami menjadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara, namun mereka tetap berpaling dari segala tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.”
Al-Anbiya’ 21:32
Ayat 6
وَٱلْبَحْرِ ٱلْمَسْجُورِ
Dan laut yang di dalamnya ada api.
(5) Laut.
Laut yang di dalam perutnya terdapat api yang menyala-nyala. Ini terbukti apabila berlaku gegaran atau gempa bumi disebabkan terdapat tekanan gas di dalam perut bumi yang tidak dapat keluar ke permukaan bumi. Selain itu terbukti dengan adanya gunung-gunung berapi yang mengakibatkan gegaran.
Menurut Ibnu ‘Abbas ra dan beberapa mufassir yang lain, apabila berlaku Hari Kiamat, lautan dinyalakan menjadi api sehingga panasnya menggelegak dan melimpah keluar meliputi semua manusia.
Ayat 7
إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ لَوَٰقِعٌ
Sungguh azab Rabbmu pasti terjadi.
Ayat ini merupakan jawapan kepada sumpah di atas iaitu azab yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang ingkar itu pasti akan ditimpakan tanpa ada sedikitpun keraguan.
Ayat 8
مَّا لَهُۥ مِن دَافِعٍ
Tidak sesuatu pun yang dapat menolaknya.
Ketika Allah Swt telah menetapkan azab kepada orang-orang yang mendustakan para rasul dan mendustakan Hari Kiamat, tidak ada sebarang kuasa pun yang dapat menyelamatkan mereka daripada azab tersebut dan tidak ada sesiapa pun yang boleh menahannya daripada berlaku.