Kaum yang Melampaui Batas Mendustakan Para Rasul
Surah 51: Az-Zariyat (52 – 55)
Ayat 52
كَذَٰلِكَ مَآ أَتَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِم مِّن رَّسُولٍ إِلَّا قَالُوا۟ سَاحِرٌ أَوْ مَجْنُونٌ
Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan, “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila.”
Allah Swt menyatakan bahawa bukan Nabi Muhammad saw sahaja yang didustakan oleh kaumnya, malah para rasul terdahulu juga mengalami tentangan yang sama. Kaum yang ingkar pasti akan menolak dengan mengatakan para rasul yang diutuskan kepada mereka adalah ahli sihir atau orang gila dan sebagainya.
Ayat ini juga merupakan ayat untuk menenangkan hati Rasulullah saw yang mengalami kesedihan dalam menghadapi penentangan dan pendustaan umatnya.
Ayat 53
أَتَوَاصَوْا۟ بِهِۦ ۚ بَلْ هُمْ قَوْمٌ طَاغُونَ
Apakah mereka saling berpesan tentang apa yang dikatakan itu? Sebenarnya mereka adalah kaum yang melampaui batas.
Pertanyaan dalam ayat ini mengandungi makna menidakkan atau mengingkari bahawa mereka saling berpesan dengan ungkapan yang sama iaitu menuduh para rasul adalah ahli sihir dan sebagainya. Ini kerana perbezaan jarak masa antara mereka adalah jauh.
Namun ungkapan yang sama keluar daripada mulut mereka adalah kerana mereka merupakan kaum yang melampaui batas dan hati mereka sama sahaja mengingkari ajaran para rasul, sehingga orang-orang yang datang kemudian pun menuduh dan mengatakan hal yang sama terhadap para rasul seperti yang dikatakan oleh generasi terdahulu.
Ayat 54
فَتَوَلَّ عَنْهُمْ فَمَآ أَنتَ بِمَلُومٍ
Maka berpalinglah engkau daripada mereka dan kamu sekali-kali tidak tercela.
Lalu dalam ayat ini, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menjauhi mereka dan tidak menghiraukan semua ucapan dan tuduhan serta tingkah laku mereka kerana baginda telah pun menyampaikan risalah dan menunaikan tanggungjawabnya.
Ayat 55
وَذَكِّرْ فَإِنَّ ٱلذِّكْرَىٰ تَنفَعُ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.
Rasulullah saw juga diperintahkan agar terus memberi peringatan kepada kaumnya. Sesungguhnya peringatan itu akan memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman kerana hati orang-orang beriman akan mudah menerima peringatan dan pengajaran. Keimanan dan kesabaran mereka akan semakin bertambah.