Kebinasaan Kaum yang Kufur kepada Para Rasul
Surah 51: Az-Zariyat (38 – 46)
Ayat 38
وَفِى مُوسَىٰٓ إِذْ أَرْسَلْنَـٰهُ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ بِسُلْطَـٰنٍ مُّبِينٍ
Dan pada Musa terdapat (tanda-tanda kekuasaan Allah) ketika Kami mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.
Allah Swt menyatakan pada kisah Nabi Musa as terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya. Baginda diutuskan kepada raja yang zalim lagi angkuh iaitu Firaun dengan membawa mukjizat iaitu tongkat yang membawa bukti yang kuat dan jelas tentang kekuatan dan kebenaran ajaran-Nya.
Ayat 39
فَتَوَلَّىٰ بِرُكْنِهِۦ وَقَالَ سَـٰحِرٌ أَوْ مَجْنُونٌ
Maka dia (Firaun) bersama bala tenteranya berpaling dan berkata, “Dia adalah seorang ahli sihir atau seorang gila.”
Namun Firaun berpaling daripada kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Musa as padahal kebenaran itu sudah jelas dan terang. Ini adalah disebabkan kesombongan dan keingkarannya.
Malah Firaun menghina dan meremehkan Nabi Musa as dengan mengatakan baginda adalah seorang ahli sihir atau seorang yang gila.
Ayat 40
فَأَخَذْنَـٰهُ وَجُنُودَهُۥ فَنَبَذْنَـٰهُمْ فِى ٱلْيَمِّ وَهُوَ مُلِيمٌ
Maka Kami seksa dia dan bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut sedang dia melakukan pekerjaan yang tercela.
Maka Allah Swt menyeksa Firaun dan tenteranya dengan menenggelamkan mereka di dalam laut dan mati ketika mereka mengejar Nabi Musa as dan Bani Israil yang dalam perjalanan meninggalkan Mesir.
Ayat 41
وَفِى عَادٍ إِذْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ ٱلرِّيحَ ٱلْعَقِيمَ
Dan (juga) pada (kisah kaum) ‘Aad ketika Kami kirimkan kepada mereka angin yang membinasakan.
Dalam kisah kaum ‘Aad yang mendustakan Nabi Hud as juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah Swt sebagaimana yang terdapat dalam kisah Nabi Musa as.
Ayat 42
مَا تَذَرُ مِن شَىْءٍ أَتَتْ عَلَيْهِ إِلَّا جَعَلَتْهُ كَٱلرَّمِيمِ
(Angin itu) tidak membiarkan suatu apa pun yang dilandanya, melainkan dijadikannya seperti debu.
Angin yang dihantarkan oleh Allah Swt untuk menghancurkan kaum ‘Aad itu sangat dahsyat sehingga tidak membiarkan sesuatu pun tertinggal baik jiwa mahupun harta benda padahal kaum ‘Aad tinggal di kawasan yang terdapat bangunan yang kukuh lagi hebat. Ini disebabkan oleh angin yang terlalu kencang sehingga semuanya hancur seperti habuk.
Ayat 43
وَفِى ثَمُودَ إِذْ قِيلَ لَهُمْ تَمَتَّعُوا۟ حَتَّىٰ حِينٍ
Dan pada (kisah kaum) Thamud ketika dikatakan kepada mereka, “Bersenang-senanglah kamu sampai suatu waktu yang ditentukan.”
Ayat 44
فَعَتَوْا۟ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ وَهُمْ يَنظُرُونَ
Maka mereka berlaku angkuh terhadap perintah Rabbnya, lalu mereka disambar petir sedang mereka melihatnya.
Kemudian Allah Swt menceritakan kisah kemusnahan kaum Thamud iaitu kaum Nabi Saleh as yang angkuh dan ingkar terhadap perintah-Nya. Mereka bahkan menyembelih unta betina yang merupakan mukjizat Nabi Saleh as.
Akibat kederhakaan ini maka mereka disambar petir yang datang dari arah awan hitam. Mereka binasa kerananya, sedangkan ketika itu mereka melihat sendiri saat seksaan yang menimpa mereka itu.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan adapun kaum Thamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) daripada petunjuk, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan.”
Fussilat 41:17
Ayat 45
فَمَا ٱسْتَطَـٰعُوا۟ مِن قِيَامٍ وَمَا كَانُوا۟ مُنتَصِرِينَ
Maka mereka sekali-kali tidak dapat bangun dan juga tidak mendapat pertolongan.
Petir itu menyambar dengan dahsyat, maka mereka tidak mampu untuk menyelamatkan diri dan juga tidak mendapat pertolongan daripada sesiapa pun.
Ayat 46
وَقَوْمَ نُوحٍ مِّن قَبْلُ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا فَـٰسِقِينَ
Dan (Kami membinasakan) kaum Nuh sebelum itu. Sesungguhnya, mereka adalah kaum yang fasik.
Allah Swt menyatakan itulah kisah umat-umat terdahulu yang derhaka kepada para rasul. Sedangkan sebelumnya telah Dia binasakan kaum Nabi Nuh as disebabkan keingkaran mereka. Sesungguhnya mereka semua adalah kaum yang fasik, derhaka dan enggan beriman.