Surah 51: Az-Zariyat (31 – 37)

Tetamu Nabi Ibrahim as Sebenarnya Diutus untuk Membinasakan Kaum Nabi Lut as

Surah 51: Az-Zariyat (31 – 37)


Ayat 31

قَالَ فَمَا خَطْبُكُمْ أَيُّهَا ٱلْمُرْسَلُونَ

Dia (Ibrahim) berkata, “Apakah urusanmu wahai para utusan?”

Ayat ini dan ayat-ayat seterusnya merupakan sambungan daripada kisah Nabi Ibrahim as yang dikunjungi oleh tetamu-tetamunya daripada kalangan malaikat-malaikat.

Nabi Ibrahim as bertanya kepada malaikat tentang tujuan kedatangan mereka ke tempatnya.

Ayat 32

قَالُوٓا۟ إِنَّآ أُرْسِلْنَآ إِلَىٰ قَوْمٍ مُّجْرِمِينَ

Mereka menjawab, “Sesungguhnya kami diutus kepada kaum yang berdosa (kaum Lut).

Ayat 33

لِنُرْسِلَ عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن طِينٍ

Agar kami timpakan mereka dengan batu-batu daripada tanah (yang keras).

Ayat 34

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ لِلْمُسْرِفِينَ

Yang ditandai di sisi Rabbmu untuk (membinasakan) orang-orang yang melampaui batas.”

Mendengar pertanyaan daripada Nabi Ibrahim as ini, para malaikat menjawab bahawa mereka diutuskan kepada kaum Nabi Lut as yang sebahagiannya adalah orang-orang berdosa dan secara terang-terangan tanpa rasa malu melakukan homoseksual.

Mereka datang untuk menimpakan seksaan dan membinasakan orang-orang yang berdosa serta melampaui batas terhadap ajaran Allah Ta’ala.

Kalimah مُّسَوَّمَةً dalam ayat ini bermaksud yang diberi tanda. Pada setiap batu ditandakan dengan nama orang yang akan menjadi korbannya. Semuanya dilakukan sebelum batu itu dijatuhkan ke bumi.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Ketika telah hilang perasaan takut dalam hati Ibrahim dan khabar gembira pula datang kepadanya, dia pun bersoal jawab dengan (para malaikat) Kami tentang kaum Lut. Sesunguhnya, Ibrahim adalah seorang penyantun, lembut hati dan suka kembali (kepada Allah). Wahai Ibrahim, tinggalkanlah (perbincangan) ini, sesungguhnya ketetapan Rabbmu telah datang, dan mereka itu akan ditimpa azab yang tidak dapat ditolak.”

Hud 11:74-76

Ayat 35

فَأَخْرَجْنَا مَن كَانَ فِيهَا مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Lalu Kami akan keluarkan orang-orang yang beriman yang berada di dalamnya (negeri kaum Lut) itu.

Ketika kaum Nabi Lut as hendak dibinasakan, orang-orang beriman kepada baginda terlebih dahulu dikeluarkan dari negeri tersebut agar terselamat daripada ditimpa seksaan.

Ayat 36

فَمَا وَجَدْنَا فِيهَا غَيْرَ بَيْتٍ مِّنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Dan Kami tidak mendapati dalam negeri itu, kecuali sebuah rumah daripada orang-orang yang berserah diri.

Setelah diperiksa keseluruhannya, tidak terdapat sebarang rumah yang didiami oleh orang-orang beriman kecuali rumah Nabi Lut as.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Ibrahim berkata, ‘Sesungguhnya di kota itu ada Lut.’ Mereka (para malaikat) berkata, ‘Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami pasti akan menyelamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya. Dia termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan).’”

Al-‘Ankabut 29:32

Ayat 37

وَتَرَكْنَا فِيهَآ ءَايَةً لِّلَّذِينَ يَخَافُونَ ٱلْعَذَابَ ٱلْأَلِيمَ

Dan Kami tinggalkan pada negeri itu suatu tanda bagi orang yang takut kepada seksaan yang pedih.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia meninggalkan tanda kebinasaan bagi penduduk negeri tersebut selepas diterbalikkan permukaan atas menjadi di bawah.

Negeri tempat tinggal mereka yang diterbalikkan itu berubah menjadi danau yang airnya berbau busuk lagi kotor yang sekarang ini dikenali sebagai Laut Mati. Ini bertujuan menjadi petunjuk kepada orang-orang yang takut akan seksaan-Nya.