Hari Pembalasan Pasti Terjadi dan Orang Kafir Pasti Akan Diazab
Surah 51: Az-Zariyat (1 – 14)
Ayat 1
وَٱلذَّٰرِيَـٰتِ ذَرْوًا
Demi (angin) yang menerbangkan debu dengan kuat.
Dalam ayat 1 hingga ayat 4 ini, Allah Swt bersumpah dengan menyebutkan nama empat makhluk-Nya, iaitu:
▪️ Angin yang menerbangkan dan menyebarkan debu.
Ayat 2
فَٱلْحَـٰمِلَـٰتِ وِقْرًا
Dan awan yang mengandungi (hujan).
▪️ Awan mendung yang mengandungi air di dalamnya.
Air yang terkandung dalam awan itu akan turun sebagai hujan dan selalunya dirujuk sebagai sumber rezeki daripada Allah Swt atau sumber kehidupan manusia, haiwan serta tumbuh-tumbuhan. Angin pula diperlukan untuk mengarak awan yang mengandungi air hujan dan membawanya ke kawasan yang telah ditetapkan-Nya.
Ayat 3
فَٱلْجَـٰرِيَـٰتِ يُسْرًا
Dan (kapal-kapal) yang berlayar dengan mudah.
▪️ Kapal-kapal itu berlayar di permukaan laut dengan mudah membawa manusia dan bekalan-bekalan mereka.
Ayat 4
فَٱلْمُقَسِّمَـٰتِ أَمْرًا
Dan (malaikat-malaikat) yang membahagi-bahagi urusan.
▪️ Para malaikat yang menjalankan tugas yang diarahkan oleh Allah Swt kerana Dia-lah yang menentukan segala perintah dan syariat serta penentuan agihan rezeki ke tempat-tempat tertentu dengan ukuran-ukuran yang ditetapkan.
Ayat 5
إِنَّمَا تُوعَدُونَ لَصَادِقٌ
Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu pasti benar.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan Dia bersumpah dengan semua nama makhluk-Nya dalam ayat-ayat di atas adalah untuk menyatakan bahawa sesungguhnya kiamat yang dijanjikan itu pasti akan berlaku.
Ayat 6
وَإِنَّ ٱلدِّينَ لَوَٰقِعٌ
Dan sesungguhnya (Hari) Pembalasan pasti terjadi.
Selepas berlaku kiamat, mahkamah pengadilan akan ditegakkan dan amalan makhluk akan dibentangkan. Setiap amalan mereka akan diberikan balasan iaitu baik akan dibalas dengan kebaikan dan amalan buruk akan dibalas dengan keburukan.
Ayat 7
وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلْحُبُكِ
Demi langit yang mempunyai jalan-jalan.
Kemudian Allah Swt bersumpah dengan makhluk-Nya yang besar, iaitu langit yang terbentang luas di atas kepala dan dapat dilihat dengan nyata serta memiliki keindahan dan kesempurnaan.
Ada beberapa pendapat tentang maksud jalan-jalan dalam ayat ini, antaranya ialah:
▪️ ‘Jalan’ atau orbit bintang-bintang dan planet-planet. Semuanya bergerak mengikut peredaran orbit masing-masing. Sekiranya terkeluar sedikit sahaja dari orbit, maka akan berlanggaranlah segala planet-planet dan bintang-bintang tersebut.
▪️ Ibnu Kathir pula menjelaskan maksudnya ialah langit yang mempunyai keindahan dan kemegahan. Keindahannya termasuklah ketinggian, pemandangan yang cantik, kukuh serta luas cakerawalanya. Langit dihiasi dengan bintang-bintang baik yang kelihatan diam mahupun yang terus bergerak tidak berhenti serta dihiasi dengan matahari dan bulan.
Ayat 8
إِنَّكُمْ لَفِى قَوْلٍ مُّخْتَلِفٍ
Sesungguhnya kamu (orang-orang musyrikin) dalam keadaan berbeza-beza pendapat.
Allah Swt menyatakan sesungguhnya orang-orang musyrik yang mendustakan Rasulullah saw benar-benar berbeza pendapat antara menerima dan menentang Al-Quran. Mereka adalah orang-orang yang tertipu dan tenggelam dalam kebodohan dan keraguan.
Ayat 9
يُؤْفَكُ عَنْهُ مَنْ أُفِكَ
Dipalingkan darinya (rasul dan Al-Quran) bagi orang-orang yang dipalingkan.
Sifat dan sikap orang-orang musyrik yang ingkar terhadap Rasulullah saw dan Al-Quran, menyebabkan mereka dipalingkan daripada kebenaran sehingga mereka semakin jauh dan benar-benar menjadi orang-orang yang terpesong dari jalan yang lurus. Mereka lebih mengutamakan bisikan hawa nafsu daripada tuntunan Allah Ta’ala dan rasul-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“ ……………Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah pesongkan hati mereka (daripada mendapat petunjuk) dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.”
As-Saff 61:5
Ayat 10
قُتِلَ ٱلْخَرَّٰصُونَ
Terkutuklah orang-orang yang banyak berdusta.
Ayat 11
ٱلَّذِينَ هُمْ فِى غَمْرَةٍ سَاهُونَ
Iaitu orang-orang yang terbenam dalam kebodohan lagi lalai.
Binasa dan terkutuklah orang-orang yang banyak berdusta dan sering berkata sesuatu tanpa dalil sehingga menyesatkan orang lain. Mereka yang bersikap seperti inilah yang terbenam dalam kebodohan, kesesatan dan sering kali berada dalam kelalaian, sehingga tidak memerhatikan bukti-bukti tentang kekuasaan Allah Swt dan petunjuk-petunjuk-Nya dan melupakan Hari Akhirat.
Ayat 12
يَسْـَٔلُونَ أَيَّانَ يَوْمُ ٱلدِّينِ
Mereka bertanya, “Bilakah Hari Pembalasan itu?”
Apabila diberitahu tentang Hari Kiamat, orang-orang musyrik selalu bertanya dengan nada yang mendustakan, angkuh dan mengejek tentang bilakah kiamat itu akan berlaku. Pertanyaan ini menunjukkan keraguan mereka terhadap Hari Kiamat dan bertujuan mempersenda-sendakan Rasulullah saw.
Ayat 13
يَوْمَ هُمْ عَلَى ٱلنَّارِ يُفْتَنُونَ
(Hari Pembalasan itu ialah) pada hari (ketika) mereka diazab di dalam api neraka.
Oleh itu dalam ayat ini, Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw mengatakan bahawa sesungguhnya Hari Pembalasan itu adalah hari orang-orang kafir diazab dan dihina dalam Neraka Jahannam.
Ayat 14
ذُوقُوا۟ فِتْنَتَكُمْ هَـٰذَا ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تَسْتَعْجِلُونَ
(Dikatakan kepada mereka), “Rasakanlah azabmu itu. Inilah azab yang dahulu kamu minta supaya disegerakan.”
Allah Swt menyatakan ketika berlaku kiamat nanti, malaikat penjaga neraka akan berkata kepada orang-orang yang tidak mempercayai Hari Kiamat bahawa itulah azab yang dahulunya selalu mereka persendakan dan permainkan. Ini merupakan satu penghinaan atau cemuhan kepada mereka.