Surah 50: Qaf (41 – 44)

Gambaran tentang Suasana Hari Kiamat

Surah 50: Qaf (41 – 44)


Ayat 41

وَٱسْتَمِعْ يَوْمَ يُنَادِ ٱلْمُنَادِ مِن مَّكَانٍ قَرِيبٍ

Dan dengarkanlah seruan pada hari penyeru (malaikat) menyeru dari tempat yang dekat.

Allah Swt menyatakan apabila sangkakala ditiup, setiap orang yang mendengar bunyi itu akan terasa sangat dekat dengan suara pemanggil. Panggilan itu akan menyebabkan seluruh makhluk yang telah mati akan dibangkitkan semula.

Ayat 42

يَوْمَ يَسْمَعُونَ ٱلصَّيْحَةَ بِٱلْحَقِّ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمُ ٱلْخُرُوجِ

(Iaitu) pada hari mereka mendengar pekikan dengan sebenar-benarnya itulah hari keluar (dari kubur).

Manusia pasti akan mendengar pekikan yang amat dahsyat dan menakutkan. Sememangnya hal ini pasti benar-benar akan berlaku.

Ini berlaku sewaktu manusia dikeluarkan dari kubur masing-masing. Roh akan dimasukkan ke dalam tubuh makhluk yang telah mati dan dengan itu mereka akan hidup kembali.

Ayat 43

إِنَّا نَحْنُ نُحْىِۦ وَنُمِيتُ وَإِلَيْنَا ٱلْمَصِيرُ

Sesungguhnya Kami menghidupkan dan mematikan dan hanya kepada Kami-lah tempat kembali (semua makhluk).

Seterusnya, Allah Swt memberi peringatan bahawa Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan serta hanya kepada-Nya-lah semua makhluk dikembalikan untuk menjalani hisab dan menerima pembalasan.

Ayat 44

يَوْمَ تَشَقَّقُ ٱلْأَرْضُ عَنْهُمْ سِرَاعًا ۚ ذَٰلِكَ حَشْرٌ عَلَيْنَا يَسِيرٌ

(Iaitu) pada hari bumi terbelah-belah menampakkan mereka (lalu mereka keluar) dengan cepat. Yang demikian itu adalah pengumpulan yang mudah bagi Kami.

Allah Swt menyatakan apabila berlakunya kiamat, bumi akan terpecah dan semua manusia akan keluar dari alam kubur dan bergegas memenuhi seruan menuju mahsyar. Mereka adalah terdiri daripada manusia yang pertama dihidupkan hinggalah kepada manusia yang terakhir dimatikan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Mereka datang dengan cepat kepada penyeru itu. Orang-orang kafir berkata, ‘Ini adalah hari yang berat (sukar).’”

Al-Qamar 54:8

Menghidupkan kembali, mengiringi dan mengumpulkan semua manusia sangatlah mudah bagi Allah Swt.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Luqman 31:28