Surah 50: Qaf (21 – 29)

Penyaksian Malaikat pada Hari Akhirat

Surah 50: Qaf (21 – 29)


Ayat 21

وَجَآءَتْ كُلُّ نَفْسٍ مَّعَهَا سَآئِقٌ وَشَهِيدٌ

Setiap orang akan datang bersama (malaikat) pengiring dan (malaikat) saksi.

Di akhirat kelak setiap orang akan ada satu malaikat yang akan mengiringinya ke mahsyar dan yang satu lagi akan menjadi saksi terhadap segala amal baik dan amal buruk yang pernah dia kerjakan ketika di dunia dahulu.

Ayat 22

لَّقَدْ كُنتَ فِى غَفْلَةٍ مِّنْ هَـٰذَا فَكَشَفْنَا عَنكَ غِطَآءَكَ فَبَصَرُكَ ٱلْيَوْمَ حَدِيدٌ

Sesungguhnya kamu dahulu lalai tentang hari ini, maka Kami bukakan penutup (yang menutupi) matamu, sehingga penglihatanmu pada hari itu sangat tajam.

Ketika itu Allah Swt mengingatkan kepada manusia yang kafir yang dahulunya derhaka. Mereka dahulu semasa di dunia telah diperingatkan tentang Hari Kiamat tetapi mereka lalai dan mengingkarinya.

Pada hari itu setiap orang mempunyai penglihatan yang tajam sehingga orang-orang kafir semasa di dunia dahulu pun berada pada jalan yang lurus iaitu setelah kebenaran jelas di hadapan mata mereka. Namun hal itu tidak dapat memberi manfaat sedikit pun kepada mereka kerana alam akhirat adalah bukan lagi alam ujian, melainkan alam pembalasan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Alangkah tajamnya pendengaran mereka dan alangkah terangnya penglihatan mereka pada hari mereka datang kepada Kami……….”

Maryam 19:38

“Dan (alangkah ngerinya) jika kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala mereka di hadapan Rabb mereka, (mereka berkata), ‘Wahai Rabb kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.’”

As-Sajdah 32:12

Ayat 23

وَقَالَ قَرِينُهُۥ هَـٰذَا مَا لَدَىَّ عَتِيدٌ

Dan Qarin (teman yang menyertainya iaitu malaikat) berkata, “Inilah (catatan) yang tersedia pada sisiku.”

Kelak pada Hari Kiamat malaikat yang ditugaskan oleh Allah Swt mencatat segala amal perbuatan manusia semasa di dunia akan menjadi saksi atas segala perbuatan mereka.

Ayat 24

أَلْقِيَا فِى جَهَنَّمَ كُلَّ كَفَّارٍ عَنِيدٍ

(Allah berfirman), “Lemparkanlah olehmu berdua ke dalam Neraka Jahannam setiap orang yang sangat ingkar dan keras kepala.

Ayat 25

مَّنَّاعٍ لِّلْخَيْرِ مُعْتَدٍ مُّرِيبٍ

Yang enggan melakukan kebajikan, melampaui batas lagi ragu-ragu.

Ayat 26

ٱلَّذِى جَعَلَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ فَأَلْقِيَاهُ فِى ٱلْعَذَابِ ٱلشَّدِيدِ

Yang menyekutukan Allah dengan tuhan lain, maka lemparkanlah dia ke dalam azab yang keras.

Allah Swt memerintahkan kedua-dua malaikat mencampakkan orang-orang yang ingkar ke dalam Neraka Jahannam. Ketika di dunia dahulu mereka sombong dan angkuh terhadap kebenaran.

Dua malaikat ini ialah pengiring yang membawa mereka ke tempat penghisaban dan yang menjadi saksi.

Ayat 27

قَالَ قَرِينُهُۥ رَبَّنَا مَآ أَطْغَيْتُهُۥ وَلَـٰكِن كَانَ فِى ضَلَـٰلٍۭ بَعِيدٍ

Yang menyertai dia (pula) berkata, “Wahai Rabb kami, aku tidak menyesatkannya tetapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh.”

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Qatadah, dan lain-lainnya mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan قَرِينُ ialah syaitan yang ditugaskan menemani manusia. Pada Hari Kiamat nanti syaitan yang selalu menemani mereka itu akan mengatakan bahawa ia tidak menyesatkan mereka, tetapi mereka sendirilah yang sesat dan menerima perkara yang batil serta menentang kebenaran.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan, ‘Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu.’ Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.”

Ibrahim 14:22

Ayat 28

قَالَ لَا تَخْتَصِمُوا۟ لَدَىَّ وَقَدْ قَدَّمْتُ إِلَيْكُم بِٱلْوَعِيدِ

(Allah berfirman), “Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku, dan sesungguhnya dahulu Aku telah memberikan ancaman kepadamu.

Kemudian Allah Swt berfirman kepada orang-orang kafir dan syaitan yang menyesatkannya, agar mereka tidak bertengkar di hadapan-Nya. Ini kerana semua itu sudah tidak berguna lagi. Dia telah mengutuskan para rasul untuk memberi peringatan dan ancaman ketika di dunia dahulu namun mereka mendustakannya.

Ayat 29

مَا يُبَدَّلُ ٱلْقَوْلُ لَدَىَّ وَمَآ أَنَا۠ بِظَلَّـٰمٍ لِّلْعَبِيدِ

Keputusan-Ku tidak akan berubah dan Aku tidak menganiayai hamba-hamba-Ku.”

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah membuat keputusan dan perintah-Nya itu tidak akan berubah dan janji-Nya tidak akan diingkari.

Sesungguhnya Allah Swt tidak menghukum hamba-hamba-Nya secara teraniaya tanpa dosa dan kesalahan yang dilakukannya setelah tertegaknya hujjah atas dirinya.