Pelajaran daripada Kebinasaan Umat-umat Terdahulu yang Mendustakan Para Rasul
Surah 50: Qaf (12 – 15)
Ayat 12
كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَأَصْحَـٰبُ ٱلرَّسِّ وَثَمُودُ
Sebelum mereka telah mendustakan (juga) kaum Nuh dan penduduk Rass dan Thamud.
Ayat 13
وَعَادٌ وَفِرْعَوْنُ وَإِخْوَٰنُ لُوطٍ
Dan kaum ‘Aad, kaum Firaun dan kaum Lut.
Ayat 14
وَأَصْحَـٰبُ ٱلْأَيْكَةِ وَقَوْمُ تُبَّعٍ ۚ كُلٌّ كَذَّبَ ٱلرُّسُلَ فَحَقَّ وَعِيدِ
Dan penduduk Aikah serta kaum Tubba’ semuanya telah mendustakan para rasul maka sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan.
Dalam ayat 12 hingga ayat 14 di atas, Allah Swt mengancam orang-orang kafir Quraisy bahawa mereka akan ditimpakan azab sekiranya mereka mendustakan Nabi Muhammad saw.
Mereka layak menerima seksaan yang telah diancamkan kepada mereka sebagaimana yang telah Dia timpakan kepada kaum Nabi Nuh as, penduduk Rass dan Thamud, kaum ‘Aad, kaum Firaun dan kaum Nabi Lut as, penduduk Aikah serta kaum Tubba’ yang telah mendustakan rasul-rasul mereka.
Ayat 15
أَفَعَيِينَا بِٱلْخَلْقِ ٱلْأَوَّلِ ۚ بَلْ هُمْ فِى لَبْسٍ مِّنْ خَلْقٍ جَدِيدٍ
Maka apakah Kami letih dengan penciptaan yang pertama? Sebenarnya mereka dalam keadaan ragu-ragu tentang penciptaan yang baru.
Ayat ini merupakan celaan kepada orang-orang yang mengingkari adanya Hari Kebangkitan dan mendakwa bahawa Allah Swt tidak berdaya mengembalikan penciptaan itu pada kali yang kedua. Sangkaan mereka itu tidak benar kerana Dia sedikitpun tidak berasa penat atau lemah untuk mengulangi lagi ciptaan-Nya dan ini adalah jauh lebih mudah daripada penciptaan pada kali pertama.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Dia-lah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya…………….”
Ar-Rum 30:27
Dalam hadis Qudsi telah disebutkan, daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Allah Swt berfirman, ‘Anak Adam menyakiti-Ku, dia mengatakan bahawa Aku tidak akan dapat mengembalikannya (hidup lagi) seperti pada permulaan Aku menciptakannya, padahal permulaan penciptaan itu tidaklah lebih mudah daripada mengembalikannya.’”
(HR. Al-Bukhari)