Surah 50: Qaf (1 – 5)

Kaum Musyrikin Mengingkari Kerasulan Nabi Muhammad saw dan Hari Akhirat

Surah 50: Qaf (1 – 5)


Ayat 1

قٓ ۚ وَٱلْقُرْءَانِ ٱلْمَجِيدِ

Qaf. Demi Al-Quran yang sangat mulia.

Qaf termasuk salah satu huruf hijaiyyah yang disebutkan pada permulaan surah, sama seperti ‘Sad’, ‘Nun’, ‘Alif Lam Mim’ dan yang lainnya. Penjelasannya telah dinyatakan pada awal surah Al-Baqarah.

Kalimah ٱلْمَجِيدِ bermaksud sesuatu yang sangat mulia lagi sangat agung dan memiliki banyak kebaikan serta keberkatan.

Allah Swt bersumpah dengan Al-Quran yang sangat mulia lagi sangat agung ini kerana ia mengandungi banyak kebaikan dan keberkatan. Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

“……………Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kitab yang mulia. Yang tidak datang kepadanya (Al-Quran) kebatilan baik dari hadapan mahupun dari belakangnya, yang diturunkan daripada Rabb Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.”

Fussilat 41:41-42

Ayat 2

بَلْ عَجِبُوٓا۟ أَن جَآءَهُم مُّنذِرٌ مِّنْهُمْ فَقَالَ ٱلْكَـٰفِرُونَ هَـٰذَا شَىْءٌ عَجِيبٌ

(Mereka tidak menerimanya) bahkan mereka hairan kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan daripada (kalangan) mereka sendiri, maka berkatalah orang-orang kafir, “Ini adalah sesuatu yang sangat ajaib.”

Ayat ini adalah jawapan kepada sumpah Allah Swt dalam ayat sebelum ini yang menegaskan bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang rasul yang jujur. Oleh itu sepatutnya kaum musyrikin Mekah terus menerima apa yang disampaikannya.

Namun tidaklah terjadi sedemikian kepada orang-orang musyrik Mekah itu. Mereka tidak dapat menerima kenyataan ini malah mereka berasa hairan bagaimana manusia biasa ditugaskan memberi peringatan kepada mereka tentang Hari Kebangkitan dan Pembalasan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Sad. Demi Al-Quran yang mengandungi peringatan. Tetapi orang-orang yang kafir (berada) dalam kesombongan dan permusuhan.”

Sad 38:1-2

“Patutkah menjadi kehairanan bagi manusia bahawa Kami mewahyukan kepada seorang lelaki di antara mereka, ‘Berilah peringatan kepada manusia…………’”

Yunus 10:2

Ayat 3

أَءِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا ۖ ذَٰلِكَ رَجْعٌۢ بَعِيدٌ

Apakah kami setelah mati dan setelah menjadi tanah (kami akan kembali lagi)? Itu adalah suatu pengembalian yang tidak mungkin.

Orang-orang musyrik juga tidak percaya bahawa manusia akan dibangkitkan semula selepas mati. Bagi mereka adalah sesuatu yang sangat menghairankan dan tidak masuk akal apabila seseorang yang telah meninggal dunia dan menjadi tanah, akan dibangkitkan kembali, dihisab dan diberikan balasan. Malah mereka berkeyakinan bahawa proses manusia yang telah mati dihidupkan kembali adalah sesuatu yang sangat mustahil.

Ayat 4

قَدْ عَلِمْنَا مَا تَنقُصُ ٱلْأَرْضُ مِنْهُمْ ۖ وَعِندَنَا كِتَـٰبٌ حَفِيظٌ

Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang dihancurkan oleh bumi daripada (tubuh-tubuh) mereka, dan pada sisi Kami pun ada kitab yang memelihara (catatannya).

Ayat ini merupakan satu bukti yang jelas bagi membantah sangkaan mereka dan juga sebagai penegasan tentang adanya Hari Kebangkitan dan pada hari itu manusia akan dibangkitkan dari alam kubur.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia mengetahui segala perkara yang akan terjadi kepada tubuh-tubuh manusia setelah mereka dikuburkan. Daging dan tulang akan dihancurkan oleh bumi manakala amalan-amalan mereka tetap tertulis di dalam kitab-kitab amalan yang akan dibentangkan di hadapan-Nya pada Hari Akhirat kelak. Segalanya lengkap dan tidak ada satu pun yang berkurang.

Ayat 5

بَلْ كَذَّبُوا۟ بِٱلْحَقِّ لَمَّا جَآءَهُمْ فَهُمْ فِىٓ أَمْرٍ مَّرِيجٍ

Sebenarnya, mereka telah mendustakan kebenaran tatkala kebenaran itu datang kepada mereka, maka mereka berada dalam keadaan kacau bilau.

Kemudian Allah Swt menerangkan sebab kekufuran dan pengingkaran mereka serta sikap mereka yang lain malah lebih buruk daripada pengingkaran mereka terhadap Hari Kebangkitan manusia daripada alam kubur ialah mereka mendustakan Al-Quran dan menafikan Rasulullah saw sebagai utusan Allah Swt. Sedangkan Al-Quran dan wahyu yang disampaikan oleh baginda adalah daripada-Nya.

Mereka sebenarnya berada dalam keadaan kebingungan dan kacau bilau mengenai urusan agama. Kadang-kadang mereka mengatakan baginda seorang penyihir, penyair dan pendusta. Mereka juga mengatakan Al-Quran adalah dongengan orang-orang terdahulu. Mereka tidak mengetahui apa yang patut mereka katakan dan yakin sebagaimana dalam firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya, kamu (orang-orang musyrikin) dalam keadaan berbeza-beza pendapat. Dipalingkan daripadanya (Al-Quran dan rasul) bagi mereka yang dipalingkan.”

Az-Zariyat 51:8-9