Surah 49: Al-Hujurat (14 – 18)

Ciri-ciri Iman yang Sebenar

Surah 49: Al-Hujurat (14 – 18)


Ayat 14

قَالَتِ ٱلْأَعْرَابُ ءَامَنَّا ۖ قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا۟ وَلَـٰكِن قُولُوٓا۟ أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ ٱلْإِيمَـٰنُ فِى قُلُوبِكُمْ ۖ وَإِن تُطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَـٰلِكُمْ شَيْـًٔا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Orang-orang Arab Badwi itu berkata, “Kami telah beriman.” Katakanlah (wahai Muhammad), “Kamu belum beriman, tetapi kamu katakanlah, ‘Kami telah tunduk (Islam),’ kerana iman itu belum lagi masuk ke dalam hati kamu dan jika kamu taat kepada Allah dan rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun (pahala) amalan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Allah Swt menyangkal pengakuan orang-orang Arab Badwi yang mengatakan bahawa mereka telah beriman pada saat mereka baru memeluk Islam. Ini kerana mereka adalah orang-orang muslim yang belum lagi tertanam keimanan yang sebenar dalam hati mereka.

Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas ra, Rasulullah saw memberikan bahagian kepada beberapa orang dan tidak kepada yang lain. Sa’ad bertanya, “Wahai Rasulullah! Engkau memberi fulan dan fulan tetapi tidak kepada fulan padahal dia mukmin.” Rasulullah saw bertanya, “Ataukah muslim?” Sa’ad mengulangi pertanyaan yang sama sebanyak tiga kali dan baginda memberi jawapan yang sama iaitu “Ataukah muslim?” Kemudian baginda bersabda:

“Sesungguhnya aku benar-benar memberi bahagian kepada beberapa orang dan tidak kepada orang yang lebih aku sukai daripada mereka (tidak diberi), kerana aku khuatir mereka dihempaskan ke dalam neraka dengan muka di bawah.”

(HR. Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Dalam riwayat tersebut, Rasulullah saw membezakan antara muslim dan mukmin yang menunjukkan bahawa iman itu lebih khusus daripada Islam. Oleh itu, ayat ini merupakan teguran yang bertujuan mendidik orang-orang Badwi, bahawa mereka yang baru memeluk Islam sama sekali belum mencapai hakikat keimanan yang sebenar.

Namun Allah Swt tidak akan mengurangi pahala kepada mereka sekiranya mereka taat kepada-Nya dan rasul-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ayat 15

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.

Seterusnya, Allah Swt menjelaskan bahawa kaum mukmin yang beriman itu hanyalah orang-orang yang memiliki sifat-sifat berikut:

▪️   Percaya kepada Allah Swt dan rasul-Nya.

▪️   Dalam hati mereka tidak ada sedikit pun perasaan ragu-ragu, tidak bergoncang keimanan bahkan mereka tetap teguh dalam sesuatu pendirian.

▪️   Berjihad pada jalan Allah Swt dengan membelanjakan harta dan mengorbankan jiwa yang mereka sayang untuk ketaatan kepada Allah bagi mendapatkan keredhaan-Nya.

Mereka itulah orang-orang yang benar atau tulen keimanan mereka. Apabila mereka mengaku beriman, mereka tidaklah sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian orang-orang Arab Badwi yang iman mereka masih belum meresap ke dalam hati kecuali hanya pada mulut sahaja.

Ayat 16

قُلْ أَتُعَلِّمُونَ ٱللَّهَ بِدِينِكُمْ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), “Apakah kamu akan memberitahu Allah tentang agamamu (keyakinanmu)? Padahal Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Ayat yang berbentuk pertanyaan ini merupakan celaan yang bermaksud tidak patut bagi orang-orang Arab Badwi itu memberitahu kepada Allah Swt tentang agama yang mereka yakini, sedangkan apa yang mereka zahirkan itu amat berbeza dengan apa yang tersimpan di dalam hati mereka.

Allah Swt mengingatkan mereka bahawa Dia Maha Mengetahui apa yang mereka sembunyikan kerana tidak ada sesuatu pun yang ada di langit dan yang ada di bumi yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.

Ayat 17

يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا۟ ۖ قُل لَّا تَمُنُّوا۟ عَلَىَّ إِسْلَـٰمَكُم ۖ بَلِ ٱللَّهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَىٰكُمْ لِلْإِيمَـٰنِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Mereka berasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah, “Janganlah kamu berasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah-lah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjukkan kepada kamu keimanan, jika kamu adalah orang-orang yang benar.”

Ayat ini masih lagi berkaitan dengan orang-orang Arab Badwi yang berasa mereka telah berjasa disebabkan keislaman mereka dan mereka ikut serta menolong Rasulullah saw.

Lalu Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyangkal dakwaan mereka kerana manfaat keislaman mereka hanya kembali kepada diri mereka sendiri. Sedangkan segala kurniaan adalah milik-Nya dan Dia-lah yang sebenarnya memberikan nikmat kepada mereka dengan menunjukkan mereka kepada Islam.

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa Bani Asad pernah mengunjungi Rasulullah saw seraya berkata, “Wahai Rasulullah! Kami telah Islam. Orang-orang Arab memerangimu tetapi kami tidak memerangimu.” Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya pengetahuan mereka sedikit dan sesungguhnya syaitan berkata dengan lidah mereka.” Lalu turunlah ayat ini.

(HR. An-Nasa’i)

Ayat 18

إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ غَيْبَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Allah Swt mengakhiri surah ini dengan mengulangi pernyataan-Nya bahawa Dia mengetahui semua makhluk-Nya dan melihat semua perbuatan mereka dan tiada suatu pun yang tersembunyi daripada-Nya.