Surah 49: Al-Hujurat (6 – 8)

Perintah agar Memeriksa dengan Teliti Berita-berita yang Dibawa oleh Orang Fasik

Surah 49: Al-Hujurat (6 – 8)


Ayat 6

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana tanpa mengetahui keadaannya, yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu.

Allah Swt memerintahkan orang-orang beriman memeriksa secara teliti berita yang dibawa oleh orang-orang fasik. Mereka hendaklah berhati-hati apabila menerima berita tersebut kerana orang-orang fasik lebih mudah berdusta atau melakukan kesalahan.

Sekiranya tidak berhati-hati dibimbangi seseorang itu membuat keputusan yang salah berdasarkan maklumat yang diterima akan memberi musibah atau kemudharatan terhadap seseorang atau sesuatu kaum, sedangkan hal ini tidak sepatutnya berlaku. Apabila ini terjadi, maka akan berlakulah kekesalan, rasa bersalah, bersedih hati dan mengharapkan semua itu tidak pernah terjadi.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawaban.”

Al-Isra’ 17:36

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta jika dia menceritakan semua yang dia dengar.”

(HR. Muslim)

Ayat 7

وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ ٱللَّهِ ۚ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِى كَثِيرٍ مِّنَ ٱلْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ ٱلْإِيمَـٰنَ وَزَيَّنَهُۥ فِى قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ ٱلْكُفْرَ وَٱلْفُسُوقَ وَٱلْعِصْيَانَ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلرَّٰشِدُونَ

Dan ketahuilah bahawa di tengah-tengah kamu ada Rasulullah. Kalau dia (Nabi) menuruti (kemahuan) kamu dalam beberapa urusan, maka benar-benar kamu akan mendapat kesusahan. Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan (iman) itu indah dalam hati kamu, serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kederhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.

Seterusnya, Allah Swt mengingatkan mereka tentang keberadaan Rasulullah saw ditengah-tengah mereka, supaya mereka menghormati, memuliakan dan tunduk kepada perintah baginda. Ini kerana baginda telah menyampaikan wahyu dan cara-cara kehidupan yang berteraskan agama Islam dan bagindalah yang lebih mengetahui kemaslahatan dan lebih menyayangi mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin berbanding diri mereka sendiri………..”

Al-Ahzab 33:6

Oleh itu, mereka dilarang daripada mengatakan sesuatu yang batil dan tidak tergesa-gesa dalam menyebarkan sesuatu berita terhadap seseorang tanpa diselidiki kebenarannya.

Selanjutnya, Allah Swt menyatakan sekiranya baginda mengikuti semua pilihan mereka, tentu hal tersebut akan menimbulkan kesusahan kepada mereka. Ini kerana pendapat atau pandangan mereka dalam pelbagai urusan adalah sangat lemah.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Seandainya kebenaran itu menuruti keinginan mereka, pasti binasa langit dan bumi dan semua yang ada didalamnya. Bahkan Kami telah memberi peringatan mereka tetapi mereka berpaling daripada peringatan itu.”

Al-Mu’minun 23:71

Kemudian Allah Swt menyatakan Dia telah menjadikan iman itu dicintai oleh hati orang-orang mukmin dan memperindahkannya. Ini bermaksud Dia telah menghiasi hati mereka dengan iman kepada Rasulullah saw sehingga mereka tidak terjerumus dalam sikap menyebarkan berita tanpa diteliti terlebih dahulu.

Allah Swt juga menjadikan hati mereka benci kepada kekafiran, kesyirikan dan kefasikan iaitu dosa-dosa besar serta semua perbuatan derhaka. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus dan terpimpin semasa di dunia lagi. Mereka hidup atas hidayah yang diberikan-Nya.

Ayat 8

فَضْلًا مِّنَ ٱللَّهِ وَنِعْمَةً ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Sebagai kurniaan dan nikmat daripada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang dijadikan-Nya mencintai keimanan dan membenci kekufuran, kefasikan dan kederhakaan adalah merupakan kurniaan dan nikmat dari sisi-Nya.

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat petunjuk dan siapa yang layak berada dalam kesesatan. Dia juga Maha Bijaksana dalam setiap ucapan, perbuatan, syariat dan ketentuan-Nya.