Larangan Mendahului Allah Swt dan Rasulullah saw serta Perintah Bersopan Santun terhadap Baginda
Surah 49: Al-Hujurat (1 – 5)
Ayat 1
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُقَدِّمُوا۟ بَيْنَ يَدَىِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah Swt memulai surah ini dengan menyeru orang-orang beriman agar tidak terburu-buru dalam tindakan mereka sama ada dengan perkataan ataupun perbuatan untuk menetapkan sesuatu hukum, sebelum ada ketetapan daripada Allah dan rasul-Nya. Ini kerana dibimbangi mereka akan memutuskan sesuatu hukuman secara tidak benar.
Seterusnya Allah Swt mengingatkan mereka agar sentiasa bertakwa kepada-Nya dalam segala urusan kerana Dia Maha Mendengar apa yang mereka katakan lagi Maha Mengetahui niat yang tersembunyi di dalam hati.
Ayat 2
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَرْفَعُوٓا۟ أَصْوَٰتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ ٱلنَّبِىِّ وَلَا تَجْهَرُوا۟ لَهُۥ بِٱلْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَن تَحْبَطَ أَعْمَـٰلُكُمْ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian daripada kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedarinya.
Allah Swt mengajarkan hamba-hamba-Nya yang beriman adab bergaul dengan Rasullullah saw iaitu dengan menghormati, memuliakan dan mengikuti baginda dalam segala sesuatu iaitu:
▪️ Apabila bercakap dengan Rasulullah saw, seseorang itu mestilah memastikan bahawa suaranya tidak lebih kuat daripada suara baginda.
Ada beberapa riwayat tentang sebab turunnya ayat ini, antaranya riwayat yang berkaitan dengan peristiwa Abu Bakar ra dan ‘Umar ra. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Mulaikah, dia berkata hampir sahaja dua orang terbaik (Abu Bakar ra dan ‘Umar ra) celaka kerana berkata dengan nada keras di hadapan Rasulullah saw ketika satu rombongan daripada kabilah Bani Tamim datang menemui baginda berkaitan pemilihan ketua Bani Tamim. Abu Bakar ra mengatakan, “Jadikanlah Al-Qa’qa’ bin Ma’bad sebagai ketua mereka.” ‘Umar ra berkata, “Jadikanlah Al-Aqra’ bin Hubais sebagai ketua mereka.” Abu Bakar ra berkata kepada ‘Umar, “Kamu ingin berselisih denganku.” ‘Umar ra menjawab, “Aku tidak ingin berselisih denganmu.” Kedua-duanya berdebat sehingga mereka berdua meninggikan suara. Lalu turunlah ayat ini.
▪️ Allah Swt juga menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu tidak menghormati Nabi saw seperti meninggikan suara di hadapannya dan lain-lain yang tidak sepatutnya, maka segala pahala bagi segala amalan-amalan baik yang telah dilakukannya akan hilang begitu sahaja.
Daripada Anas bin Malik ra, dia mengatakan bahawa ayat ini turun berkaitan dengan Thabit bin Qais ra. Salah satu tabiatnya ialah dia suka meninggikan suaranya di hadapan Rasulullah saw. Ketika turunnya ayat ini, beliau hanya mampu menangis meratapi kesedihannya di rumah. Pada suatu ketika, Rasulullah saw mencari Thabit bin Qais ra. Lalu beberapa orang sahabat datang menemui beliau sambil menyatakan bahawa baginda mencari beliau. Lalu Thabit bin Qais ra mengatakan bahawa dialah orangnya yang meninggikan suaranya melebihi Rasulullah saw sehingga segala amal baiknya gugur dan dia termasuk dalam penghuni neraka. Orang-orang yang datang menemui Thabit bin Qais pun kembali menghadap Rasulullah saw dan menceritakan apa yang dikatakan oleh Thabit bin Qais. Lalu Rasulullah saw bersabda:
“Bukan, tetapi beliau termasuk penghuni syurga.” Anas bin Malik ra mengatakan, “Kami pun melihat Thabit bin Qais berjalan ditengah-tengah kami, dan kami mengetahui bahawa beliau adalah termasuk penghuni syurga.”
(HR. Ahmad)
Ayat 3
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصْوَٰتَهُمْ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱمْتَحَنَ ٱللَّهُ قُلُوبَهُمْ لِلتَّقْوَىٰ ۚ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah, mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertakwa. Mereka akan memperoleh keampunan dan pahala yang besar.
▪️ Orang-orang beriman yang merendahkan suara mereka di hadapan Rasulullah saw akan dipersiapkan oleh Allah Swt agar menjadi orang-orang yang bertakwa.
Daripada Mujahid, ada seseorang mengirim surat kepada ‘Umar bin Al Khattab ra, “Wahai Amirul Mukminin! (Manakah yang lebih tinggi darjatnya), adakah orang yang tidak memiliki keinginan berbuat maksiat dan tidak menuruti keinginannya, atau adakah orang yang memiliki keinginan berbuat maksiat dan tidak melakukannya?” ‘Umar ra menjawab, “Yang terbaik adalah orang yang ingin membuat maksiat tetapi tidak melakukannya, iaitu ‘Mereka itulah orang-orang yang telah diuji hatinya oleh Allah untuk bertakwa. Mereka akan memperolehi keampunan dan pahala yang besar.’”
(HR. Ahmad)
Ayat 4
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُنَادُونَكَ مِن وَرَآءِ ٱلْحُجُرَٰتِ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang memanggil engkau (Muhammad) dari luar bilik(mu), kebanyakan daripada mereka tidak mengerti.
▪️ Seseorang tidak boleh memanggil Nabi saw dengan suara yang nyaring (keras) seperti memanggil orang lain. Layanan kepada baginda juga tidak boleh sama seperti layanan kepada manusia yang lain.
Allah Swt menegur orang-orang yang memanggil Rasulullah saw dari luar bilik baginda.
Ini adalah berkaitan dengan orang-orang Badwi yang telah melaung memanggil-manggil Nabi Muhammad saw semasa baginda sedang melakukan urusan peribadi di dalam bilik rumah baginda. Dia datang dari luar bandar dan masuk ke Kota Madinah, ingin bercakap dengan baginda. Pada waktu itu baginda telah masuk ke dalam bilik rumah (hujurat) baginda. Sahabat-sahabat yang tinggal di Madinah dan telah lama bergaul dengan baginda tidak akan memanggil baginda apabila baginda telah masuk ke dalam rumah sehinggalah baginda keluar sendiri. Orang Badwi ini pula bukan sahaja memanggil baginda dengan suara yang kuat tetapi juga memanggil baginda dengan menyebut nama baginda sahaja iaitu “Wahai Muhammad!” Allah Swt tidak menyukai apa yang dilakukannya itu. Lalu Allah Swt menegurnya di dalam ayat ini.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Janganlah kamu jadikan panggilan rasul (Muhammad) di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain……….”
An-Nur 24:63
Ayat 5
وَلَوْ أَنَّهُمْ صَبَرُوا۟ حَتَّىٰ تَخْرُجَ إِلَيْهِمْ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan sekiranya mereka bersabar sehingga engkau keluar menemui mereka, tentu itu lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Sekiranya mereka bersabar dan menunggu sehingga Rasulullah saw menyelesaikan urusannya, itu adalah lebih baik daripada memanggil-manggil baginda.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat dan Maha Penyayang dengan tidak menyegerakan seksaan. Dia membuka pintu taubat dan memberikan pelajaran kepada mereka dengan teguran yang berhikmah.