
Surah Al-Hujurat
| Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
| Surah: | 49 |
| Juzuk: | 26 |
| Jumlah Ayat: | 18 |
| Maksud Surah: | Bilik-bilik |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Hujurat, diambil daripada perkataan Al-Hujurat yang terdapat pada ayat ke-4 surah ini. Ayat tersebut menegur orang Arab Badwi yang memanggil Nabi Muhammad saw yang sedang berada di dalam bilik rumahnya bersama isterinya. Memanggil Nabi Muhammad saw dengan cara dan dalam keadaan yang demikian menunjukkan sifat kurang hormat kepada baginda dan mengganggu ketenteraman baginda.
Surah ini berpusat kepada pembentukan etika, moral dan persaudaraan masyarakat Islam. Ia menggariskan panduan jelas tentang adab terhadap Rasulullah saw, kewajipan menyemak berita dan prinsip kesaksamaan manusia di sisi Allah Swt.
Isi Kandungan Utama
Adab terhadap Allah Swt dan Rasul (ayat 1-5): Umat Islam ditegah daripada mendahului keputusan Allah dan Rasul-Nya. Adab meninggikan suara juga dilarang bagi memelihara kehormatan Nabi Muhammad saw.
Panduan Berita / Tabayyun (ayat 6-8): Perintah supaya menyiasat (tabayyun) kesahihan sesuatu berita atau khabar yang dibawa oleh orang fasik bagi mengelakkan fitnah dan penyesalan.
Persaudaraan Islam (ayat 9-10): Menegaskan bahawa semua orang mukmin adalah bersaudara. Umat Islam diperintahkan untuk mendamaikan persengketaan dan bersikap adil.
Larangan Berburuk Sangka (ayat 11-12): Larangan mentertawakan, mengejek, memanggil dengan gelaran buruk, mengintip dan mengumpat (ghibah) yang disamakan seperti memakan daging saudaranya sendiri.
Kemuliaan Takwa (ayat 13): Menjelaskan bahawa manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali. Kemuliaan seseorang di sisi Allah Swt tidak dinilai berdasarkan keturunan ayat kaum melainkan tahap takwa.
Hakikat Iman (ayat 14-18): Perbezaan antara Islam (kepatuhan zahir) dan Iman (keyakinan dalam hati). Allah Swt mengingatkan bahawa nikmat hidayah kepada iman adalah satu kurniaan besar yang wajib disyukuri.