Sifat Orang Mukmin
Surah 48: Al-Fath (29)
Ayat 29
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ ٱللَّهِ ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلْكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَىٰهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنًا ۖ سِيمَاهُمْ فِى وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ ٱلسُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِى ٱلْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْـَٔهُۥ فَـَٔازَرَهُۥ فَٱسْتَغْلَظَ فَٱسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِۦ يُعْجِبُ ٱلزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ ٱلْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Muhammad adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia bersikap keras terhadap orang-orang kafir, namun berkasih sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya. Pada wajah mereka terlihat tanda-tanda bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti benih yang mengeluarkan tunasnya, kemudian tunas itu menjadikan tanaman itu kuat, lalu menjadi besar dan tegak lurus di atas batangnya, tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya, kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar.
Pada akhir surah ini, Allah Swt menerangkan dan mempertegaskan kesaksian-Nya bahawa Nabi Muhammad saw adalah utusan-Nya yang benar dan tidak perlu diragui. Seterusnya pujian-Nya kepada para sahabat baginda yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir yang menentang Islam. Oleh sebab itu mereka menyahut seruan jihad tanpa berbelah bahagi. Namun mereka berlemah lembut sesama mereka lagi berkasih sayang. Inilah sifat orang-orang mukmin.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Wahai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang kafir yang di sekitar kamu, dan hendaklah mereka merasakan sikap tegas daripada kamu………”
At-Taubah 9:123
Rasulullah saw telah bersabda:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang dan kecintaan mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila ada salah satu anggotanya rasa sakit, maka rasa sakitnya itu menjalar ke seluruh tubuh hingga terasa demam dan tidak dapat tidur.”
(HR. Muslim)
Sifat-sifat orang-orang mukmin lain yang disebutkan oleh Allah Swt dalam ayat ini ialah mereka banyak beramal soleh dan banyak mengerjakan solat yang merupakan amalan yang terbaik. Allah Swt menggambarkan bahawa mereka lakukan hal itu dengan tulus ikhlas dan memohon pahala yang melimpah dari sisi-Nya, iaitu syurga yang merupakan kurniaan daripada-Nya. Tanda-tanda keimanan dan sifat-sifat mereka terpancar daripada wajah-wajah yang putih bersinar disebabkan kesan wuduk. Juga tanda-tanda ketakwaan, kesolehan, rendah hati, lembut dan penyayang. Seseorang mukmin apabila hatinya tulus ikhlas kepada-Nya, maka Dia memperbaiki penampilan lahiriahnya pada mata orang lain, seperti apa yang diriwayatkan daripada ‘Umar bin Al-Khattab ra yang mengatakan bahawa sesiapa yang memperbaiki hatinya, maka Allah Swt akan memperbaiki penampilan lahiriahnya.
Allah Swt menjanjikan kepada para sahabat baginda dengan keampunan dan pahala yang besar, iaitu syurga. Mereka memiliki kesempurnaan yang tidak dimiliki oleh seorang pun daripada kalangan umat ini kerana merekalah yang pertama membela Islam. Sesiapa yang mengikuti jejak para sahabat maka mereka juga dijanjikan oleh Allah Swt kebaikan seperti mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh, (bahawa) mereka akan mendapat keampunan dan pahala yang besar.”
Al-Ma’idah 5:9
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw pernah bersabda:
“Janganlah kalian mencaci sahabat-sahabatku, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, seandainya seseorang daripada kalian menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud, tidaklah hal itu dapat menyamai satu mud (infak) seseorang daripada mereka dan tidak pula separuhnya.”
(HR. Muslim)