Surah 48: Al-Fath (25 – 26)

Rasulullah saw dan Para Sahabat Dihalang Memasuki Masjidil Haram

Surah 48: Al-Fath (25 – 26)


Ayat 25

هُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَصَدُّوكُمْ عَنِ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ وَٱلْهَدْىَ مَعْكُوفًا أَن يَبْلُغَ مَحِلَّهُۥ ۚ وَلَوْلَا رِجَالٌ مُّؤْمِنُونَ وَنِسَآءٌۭ مُّؤْمِنَـٰتٌ لَّمْ تَعْلَمُوهُمْ أَن تَطَـُٔوهُمْ فَتُصِيبَكُم مِّنْهُم مَّعَرَّةٌۢ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۖ لِّيُدْخِلَ ٱللَّهُ فِى رَحْمَتِهِۦ مَن يَشَآءُ ۚ لَوْ تَزَيَّلُوا۟ لَعَذَّبْنَا ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

Merekalah orang-orang kafir yang menghalang kamu daripada (memasuki) Masjidil Haram dan menghalang haiwan-haiwan korban daripada sampai ke tempat penyembelihannya. Dan kalau tidaklah kerana ada beberapa orang beriman lelaki dan perempuan yang tidak kamu ketahui itu, tentu kamu akan membunuh mereka yang menyebabkan kamu ditimpa kesusahan tanpa pengetahuanmu, (tentulah Allah tidak menahan tanganmu daripada membinasakan mereka), supaya Allah memasukkan sesiapa yang Dia kehendaki ke dalam rahmat-Nya. Sekiranya mereka tidak bercampur baur, tentulah Kami akan mengazab orang-orang yang kafir di antara mereka dengan azab yang pedih.

Orang-orang musyrik Mekah telah kufur kepada Allah Swt dan merekalah yang telah menahan orang mukmin daripada melakukan ibadat. Sepatutnya mereka membenarkan umat Islam untuk datang ke Masjidil Haram pada waktu itu kerana mereka adalah penjaga Kaabah dan sudah sepatutnya etika penjaga Kaabah adalah membenarkan sesiapa sahaja datang untuk beribadat di Kaabah.

Namun disebabkan kebencian mereka kepada umat Islam, mereka sanggup menghalang umat Islam untuk beribadat. Oleh itu, musyrikin Mekah itu memang layak untuk diperangi dan dikalahkan.

Walau bagaimanapun, Allah Swt tidak membenarkan perkara ini berlaku atas sebab-sebab tertentu. Antaranya adalah kerana terdapat orang-orang mukmin lelaki dan perempuan di tengah-tengah orang orang kafir. Mereka ini kaum yang tertindas di Mekah dan mereka merahsiakan keimanan mereka kerana khuatir terhadap keselamatan diri. Oleh sebab itu jikalau orang-orang mukmin dari Madinah masuk dan berperang dengan orang-orang Mekah itu, ada kemungkinan mereka itu akan terbunuh.

Sekiranya orang-orang Islam tersebut terpisah daripada orang-orang kafir dan tidak bercampur dengan mereka, pasti Allah Swt akan menghancurkan orang-orang musyrik Mekah ketika itu juga. Oleh sebab terdapat orang-orang Islam di Mekah, maka Dia tidak menurunkan azab kepada mereka.

Ayat 26

إِذْ جَعَلَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فِى قُلُوبِهِمُ ٱلْحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَعَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَأَلْزَمَهُمْ كَلِمَةَ ٱلتَّقْوَىٰ وَكَانُوٓا۟ أَحَقَّ بِهَا وَأَهْلَهَا ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًا

Ketika orang-orang yang kafir menanamkan kesombongan ke dalam hati mereka (iaitu kesombongan jahiliyah) maka Allah menurunkan ketenangan kepada rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimah takwa dan mereka lebih berhak dengan kalimah takwa itu dan patut memilikinya. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Kalimah الحَمِيَّةَ digunakan di dalam ayat ini adalah untuk menegur musyrikin Mekah yang merasakan diri mereka itu lebih besar dan mulia daripada orang lain. Ini kerana mereka adalah penjaga Kaabah dan pada masa itu penjaga Kaabah dipandang tinggi oleh semua bangsa disebabkan kedudukan tersebut.

Namun perasaan itu berdasarkan kepada fahaman yang jahil. Kesombongan dan keangkuhan itulah yang menyebabkan mereka menghalang Rasulullah saw dan para sahabat memasuki Mekah untuk melakukan umrah. Hal ini menimbulkan rasa marah dan tidak berpuas hati di kalangan kaum mukmin. Ini boleh membawa kepada pertelingkahan malah peperangan.

Kalau bukan kerana pertolongan Allah Swt, pasti akan terjadi peperangan antara mereka pada waktu itu. Akhirnya keadaan yang tegang semasa menulis Perjanjian Hudaibiyah itu menjadi tenang kerana Allah Swt memasukkan ketenangan (sakinah) ke dalam hati Rasulullah saw, dan orang-orang mukmin yang lain pun menjadi tenang, setelah mereka melihat baginda boleh menerimanya.

Daripada Anas ra yang menceritakan bahawa sesungguhnya orang-orang Quraisy berdamai dengan Nabi saw dan di kalangan mereka terdapat Suhail ibnu ‘Amr. Maka Nabi saw memerintahkan kepada ‘Ali ra, “Tulislah, ‘Bismillahirrahmanirrahim (Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang).’ Suhail memotong, ‘Kami tidak mengenal apakah Bismillahirrahmanirrahim itu, tetapi tulislah ‘Dengan nama Engkau ya Allah.’” Rasulullah saw bersabda lagi, “Tulislah daripada Muhammad utusan Allah.” Suhail kembali berkata, “Seandainya kami meyakini bahawa engkau adalah utusan Allah, tentulah kami mengikutimu, tetapi tulislah namamu dan nama ayahmu.” Maka Nabi saw memerintahkan ‘Ali ra, “Tulislah ‘Daripada Muhammad bin ‘Abdullah.’” Lalu mereka (orang-orang musyrik) mengenakan syarat-syarat yang membebankan Nabi saw yang isinya ialah, “Bahawa orang yang datang daripada kalangan kamu maka kami tidak akan mengembalikannya kepadamu, dan orang yang datang kepadamu daripada kalangan kami, kalian hendaklah mengembalikannya kepada kami.” ‘Ali ra bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kami harus menulisnya?” Nabi saw bersabda, “Ya, sesungguhnya orang yang pergi kepada mereka daripada kalangan kami, maka semoga Allah menjauhkannya.”

(HR. Ahmad)

Allah Swt mengetahui apa yang ada dalam hati orang-orang mukmin apabila mereka dihina dan diperlakukan sedemikian oleh pihak musyrikin Mekah. Dia juga mengetahui betapa taatnya mereka kepada Rasulullah saw dan betapa ikhlasnya hati mereka. Oleh itu, Dia telah mengukuhkan kalimah takwa itu ke atas orang-orang mukmin. Maka mereka diberikan kebaikan yang banyak hasil dari kesabaran mereka dan kelak di akhirat mereka akan menjadi ahli syurga dan kekal di dalamnya.