Surah 48: Al-Fath (18 – 19)

Allah Swt Meredhai Orang Mukmin yang Turut Serta dalam Bai’atur Ridhwan

Surah 48: Al-Fath (18 – 19)


Ayat 18

لَّقَدْ رَضِىَ ٱللَّهُ عَنِ ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ ٱلشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِى قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ ٱلسَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَـٰبَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Sesungguhnya Allah telah meredhai orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu (Muhammad) di bawah pohon, Dia mengetahui apa yang ada dalam hati mereka, lalu Dia berikan ketenangan ke atas mereka dan memberi balasan dengan menghampirkan kemenangan kepada mereka.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia meredhai orang-orang mukmin yang berbai’ah kepada Rasulullah saw di Hudaibiyah. Dia mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka iaitu niat yang benar-benar ikhlas lagi setia kepada perintah Allah dan rasul-Nya untuk memerangi musuh. Oleh itu, mereka diberikan rasa tenang dan tenteram semasa mengadakan bai’ah tersebut.

Mereka juga diberikan ganjaran oleh Allah Swt berupa kemenangan menawan kubu kuat orang-orang Yahudi di Khaibar dan membebaskan Mekah dan seterusnya membebaskan seluruh negeri dan daerah yang lain. Ini berlaku tidak beberapa lama selepas Perjanjian Hudaibiyah antara orang-orang mukmin dan musuh-musuh mereka.

Ayat 19

وَمَغَانِمَ كَثِيرَةً يَأْخُذُونَهَا ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

Serta harta rampasan yang banyak yang dapat mereka ambil. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, telah disebut tentang serangan ke atas Khaibar. Allah Swt memberitahu bahawa orang-orang mukmin akan mendapat banyak harta rampasan tanpa bersusah payah kerana Dia memudahkan kemenangan untuk mereka.

Mereka telah mendapat banyak harta pada hari itu kerana Khaibar adalah kubu orang-orang Yahudi yang sememangnya kaya. Harta orang-orang Yahudi ini telah dikumpulkan selama beratus-ratus tahun dan puak Islam yang menyerang mereka itu hanya datang merampas dalam beberapa hari sahaja.

Allah Maha Perkasa bermaksud Allah Swt boleh melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Sekiranya Dia hendak memberikan kejayaan kepada orang-orang muslim, tidak ada sesiapa yang dapat menghalang. Apa sahaja yang Dia lakukan, semuanya berdasarkan kebijaksanaan-Nya.

Allah Swt mengkhaskan harta rampasan ini hanya kepada orang-orang yang mengadakan Bai’atur Ridhwan sahaja tidak kepada golongan lain.