Panggilan untuk Berjihad Dikecualikan kepada Orang yang Ada Uzur Syar’ie
Surah 48: Al-Fath (17)
Ayat 17
لَّيْسَ عَلَى ٱلْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْمَرِيضِ حَرَجٌ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبْهُ عَذَابًا أَلِيمًا
Tiada dosa atas orang-orang yang buta dan atas orang-orang yang tempang dan atas orang yang sakit (apabila tidak ikut berperang). Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, tetapi sesiapa yang berpaling, nescaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih.
Allah Swt memberikan pengecualian kepada tiga golongan disebabkan mereka mempunyai keuzuran yang sangat jelas dan tidak berdosa jika tidak ikut berperang iaitu:
▪️ Orang buta yang bersifat tetap.
▪️ Orang tempang yang tidak dapat disembuhkan.
▪️ Orang yang ditimpa sakit beberapa hari sebelum peperangan.
Sesiapa yang taat kepada Allah Swt dan rasul-Nya dengan berjihad pada jalan-Nya, dia akan mendapat kurniaan-Nya. Sebaliknya sesiapa yang tidak mahu berjihad kerana membangkang dan lebih memilih kesibukan mencari kehidupan dunia, dia akan mendapat kehinaan di dunia dan di akhirat kelak dia akan dimasukkan ke neraka. Wal’iyazubillahi min zalik!