Surah 48: Al-Fath (10)

Peristiwa Bai’atur Ridhwan dan Keistimewaannya

Surah 48: Al-Fath (10)


Ayat 10

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ ۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِمَا عَـٰهَدَ عَلَيْهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada engkau (Muhammad) sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka sesiapa yang melanggar janji itu, nescaya akibat dia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri, maka sesiapa menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar.

Kalimah bai’ah (berjanji setia) asalnya daripada kalimah ب ي ع yang bermaksud ‘menjual’ dan digunakan dalam erti kata mereka sanggup ‘menjual’ diri dan sanggup mengorbankan nyawa mereka demi memperjuangkan agama bersama dengan Rasulullah saw.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang mukmin, baik diri mahu pun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.”

At-Taubah 9:111

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang berbai’ah iaitu bersumpah janji setia kepada Nabi Muhammad saw adalah sama halnya dengan bersumpah janji setia kepada-Nya. Sesungguhnya Dia mendengar perkataan mereka dan melihat apa yang mereka lakukan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesiapa yang mentaati rasul itu (Muhammad), sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang berpaling (daripada ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.”

An-Nisa’ 4:80

Peristiwa ba’iah ini terjadi pada tahun ke-6 Hijrah ketika Nabi Muhammad saw dan para sahabat hendak mengunjungi Mekah untuk menunaikan umrah. Sesampainya baginda di Hudaibiyah, baginda berhenti dan mengutuskan ‘Uthman bin ‘Affan ra terlebih dahulu ke Mekah untuk menyampaikan tujuan kunjungan baginda dan kaum muslimin kepada penduduk Mekah. Mereka menanti-nanti kembalinya ‘Uthman tetapi tidak juga datang kerana ditahan oleh kaum musyrikin. Kemudian tersebar berita bahawa beliau telah dibunuh. Oleh itu, Nabi Muhammad saw mencadangkan agar kaum muslimin melakukan bai’ah kepada baginda dan mereka pun melakukannya.

Allah Swt meredhai mereka dan bai’ah atau janji setia ini dikenali sebagai Bai’atur Ridhwan. Bai’ah ini berlangsung di bawah pohon Samurah di Hudaibiyah. Dia menyatakan bahawa sebenarnya bai’ah yang mereka lakukan itu adalah bai’ah dengan-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya Allah telah meredhai orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu (Muhammad) di bawah pohon, Dia mengetahui apa yang ada dalam hati mereka, lalu Dia berikan ketenangan ke atas mereka dan memberi balasan dengan menghampirkan kemenangan kepada mereka.”

Al-Fath 48:18

Ahli Bai’atur Ridhwan di Hudaibiyah ini mendapat keistimewaan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis di bawah:

Daripada Jabir ra, Rasulullah saw bersabda:

“Tidak akan masuk neraka seorang pun yang berbai’ah di bawah pohon.”

(HR. Ahmad)

Daripada Jabir ra, dia berkata ada seorang hamba milik Hathib bin Abi Balta’ah pergi mengadu kepada Rasulullah saw perihal tuannya itu, “Wahai Rasulullah! Hathib patut masuk neraka.” Lalu Rasulullah saw bersabda:

“Engkau berdusta, Hathib tidak akan masuk neraka kerana dia turut dalam Perang Badar dan (bai’ah) Hudaibiyah.”

(HR. Muslim)