Berita Gembira kepada Kaum Muslimin
Surah 48: Al-Fath (4 – 7)
Ayat 4
هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ ٱلسَّكِينَةَ فِى قُلُوبِ ٱلْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوٓا۟ إِيمَـٰنًا مَّعَ إِيمَـٰنِهِمْ ۗ وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dia-lah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin untuk menambahkan keimanan di atas keimanan mereka yang telah ada. Dan kepunyaan Allah-lah tentera langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang memasukkan perasaan tenang dan pendirian yang teguh ke dalam hati orang-orang mukmin ketika Perjanjian Hudaibiyah dilakukan. Oleh itu, hati mereka menjadi tenang dan tunduk serta patuh memenuhi seruan-Nya dan rasul-Nya.
Ketika hati mereka tenang dan tunduk kepada seruan Allah Swt dan rasul-Nya, keimanan mereka pun semakin bertambah daripada yang telah sedia ada sebelumnya. Imam Al-Bukhari menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa iman yang ada dalam hati seseorang mempunyai tingkatan-tingkatan.
Kemudian Allah Swt menyatakan hanya milik-Nya segala tentera langit dan bumi yang terdiri daripada malaikat, jin, manusia, haiwan, gunung, angin, lautan dan lain-lain lagi.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan jika Dia berkehendak tentu Dia boleh mengalahkan orang-orang kafir tanpa campur tangan orang-orang beriman. Seandainya Dia mengutuskan satu malaikat sahaja, pasti mereka semua binasa.
Namun Dia mensyariatkan jihad dan perang kepada hamba-hamba-Nya yang beriman kerana dalam jihad itu terdapat hikmah yang sempurna. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui kemaslahatan para hamba-Nya dan Maha Bijaksana dalam memberikan pertolongan dan keteguhan.
Ayat 5
لِّيُدْخِلَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا وَيُكَفِّرَ عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عِندَ ٱللَّهِ فَوْزًا عَظِيمًا
Supaya Dia memasukkan orang-orang mukmin lelaki dan perempuan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya dan Dia akan menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka. Demikian itu menurut Allah suatu keuntungan yang besar.
Allah Swt menyatakan janji-Nya kepada orang-orang beriman iaitu Dia akan memberikan balasan berupa syurga dan diampunkan segala kesalahan mereka. Ini adalah kemenangan yang besar
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“(Ingatlah) masa Dia menghimpunkan kamu pada Hari Perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari dinampakkan kesalahan-kesalahan. Dan (ingatlah) sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, nescaya Allah akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.”
At-Taghabun 64:9
“………….Sesiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia memperoleh kemenangan. Ingatlah kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”
Ali ‘Imran 3:185
Ayat 6
وَيُعَذِّبَ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَٱلْمُنَـٰفِقَـٰتِ وَٱلْمُشْرِكِينَ وَٱلْمُشْرِكَـٰتِ ٱلظَّآنِّينَ بِٱللَّهِ ظَنَّ ٱلسَّوْءِ ۚ عَلَيْهِمْ دَآئِرَةُ ٱلسَّوْءِ ۖ وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ وَلَعَنَهُمْ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَهَنَّمَ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا
Dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan (juga) orang-orang musyrik lelaki dan perempuan yang berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk dan Allah murka terhadap mereka dan mengutuk mereka, serta menyediakan bagi mereka Neraka Jahannam. Dan (Neraka Jahannam) itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Manakala orang-orang munafik dan musyrik pula akan diberikan azab dengan kesedihan kerana mereka menyaksikan kegemilangan kaum mukmin. Sedangkan di pihak mereka berlaku kekalahan dan ada di kalangan mereka yang terbunuh dan tertawan.
Manakala di akhirat kelak, mereka akan diazab dengan seksaan dalam Neraka Jahannam. Itulah seburuk-buruk tempat buat mereka dan mereka kekal di dalamnya.
Ayat ini juga menjelaskan sifat orang-orang munafik dan orang-orang musyrik baik lelaki mahupun perempuan yang berprasangka bahawa Allah Swt tidak akan menolong rasul-Nya dan orang-orang mukmin serta tidak akan meninggikan kalimah-Nya dan memenangkan agama-Nya. Oleh itu, mereka akan mendapat kemurkaan dan laknat Allah Swt. Akhirnya mereka akan kekal di dalam neraka iaitu seburuk-buruk tempat kembali.
Ayat 7
وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا
Dan kepunyaan Allah-lah bala tentera langit dan bumi. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Allah Swt mengulangi lagi kalimah yang pernah disebutkan-Nya sebelum ini sebagai penegasan terhadap kekuasaan-Nya iaitu tentang bala tentera-Nya. Dia akan menolong dan mengalahkan sesiapa yang Dia kehendaki. Dia Maha Bijaksana dalam setiap urusan dan perbuatan-Nya.