Allah Swt adalah Pelindung kepada Orang Beriman
Surah 47: Muhammad (10 – 11)
Ayat 10
أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ دَمَّرَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ ۖ وَلِلْكَـٰفِرِينَ أَمْثَـٰلُهَا
Maka apakah mereka tidak pernah mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka. Allah telah membinasakan mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) yang seperti itu.
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang kafir. Ini kerana mereka tidak percaya kepada wahyu yang Allah Swt turunkan. Mereka diminta berjalan dan memerhatikan keadaan tempat-tempat orang-orang terdahulu yang telah dimusnahkan seperti tanah kawasan kaum ‘Aad, Thamud, kaum Nabi Lut as dan lain-lain lagi.
Tempat-tempat tersebut dikekalkan dengan kesan-kesan peninggalan kaum yang dibinasakan itu untuk memberi pengajaran kepada manusia yang mendustakan ayat-ayat-Nya.
Ayat 11
ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ مَوْلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَأَنَّ ٱلْكَـٰفِرِينَ لَا مَوْلَىٰ لَهُمْ
Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung bagi orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia adalah Pelindung dan Penolong bagi orang-orang beriman serta Dia akan mempermudahkan segala urusan mereka baik di dunia mahupun di akhirat.
Manakala orang-orang kafir, tiada pelindung bagi mereka dan mereka mendapat penghinaan daripada Allah Swt. Sesiapa yang dihinakan oleh Allah Swt maka tiada seorang pun yang akan dapat menolongnya.
Semasa berperang dengan orang-orang Islam, orang-orang kafir itu memohon pertolongan daripada berhala dan ilah-ilah mereka. Rasulullah saw memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai penolong mahupun pelindung. Ini kerana pelindung yang sebenarnya adalah Allah Swt.
Daripada Abu Darda’ ra, dia berkata, Abu Sufyan pergi sambil mendendangkan syair, “Tinggilah Hubal, tinggilah Hubal!” (Hubal adalah nama berhala yang mereka sembah). Oleh itu Rasulullah saw bersabda,
“Mengapa kalian (para sahabat) tidak menjawabnya?” Mereka bertanya, “Apakah yang harus kami katakan?” Rasulullah saw bersabda, “Allah lebih tinggi dan lebih agung.” Abu Sufyan berkata lagi, “Kami mempunyai Uzza, dan tiada Uzza bagi kalian.” (maksudnya kejayaan yang namanya kebetulan sama dengan berhala sembahan mereka). Rasulullah saw bersabda (kepada para sahabatnya), “Mengapa kalian tidak menjawabnya?” Mereka bertanya, “Apakah yang harus kami katakan, wahai Rasulullah?” Rasulullah bersabda, “Allah adalah Pelindung kami, dan tiada pelindung bagi kalian.”
(HR. Al Bukhari)