Sikap dalam Menghadapi Orang Kafir ketika Perang
Surah 47: Muhammad (4 – 9)
Ayat 4
فَإِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَضَرْبَ ٱلرِّقَابِ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَثْخَنتُمُوهُمْ فَشُدُّوا۟ ٱلْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّۢا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَآءً حَتَّىٰ تَضَعَ ٱلْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ۚ ذَٰلِكَ وَلَوْ يَشَآءُ ٱللَّهُ لَٱنتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَـٰكِن لِّيَبْلُوَا۟ بَعْضَكُم بِبَعْضٍ ۗ وَٱلَّذِينَ قُتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَلَن يُضِلَّ أَعْمَـٰلَهُمْ
Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka penggallah leher mereka. Sehinggalah apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sehingga perang berakhir. Demikianlah apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang gugur (terbunuh) pada jalan Allah, Dia tidak akan mensia-siakan amal mereka.
Allah Swt memberikan bimbingan kepada orang-orang mukmin tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika dalam peperangan. Apabila berhadapan dengan musuh, mereka perlu menyerang dan membinasakan musuh dengan dipenggal leher-leher mereka.
Selepas selesai peperangan dengan memperoleh kemenangan, orang-orang mukmin boleh memilih salah satu daripada yang berikut:
▪️ Membebaskan tawanan tanpa meminta tebusan.
▪️ Membebaskan mereka dengan tebusan seperti menukar mereka dengan kaum mukmin yang tertawan atau membayar tebusan iaitu harta yang digunakan oleh seseorang tawanan untuk membebaskan dirinya daripada tawanan.
Ayat ini turun setelah peristiwa Badar, pada waktu itu Allah Swt memberi teguran kepada kaum mukminin kerana terlalu banyak mengambil tawanan supaya musuh yang ditawan membayar tebusan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Tidaklah patut bagi seorang nabi mempunyai tawanan sebelum dia dapat melumpuhkan musuhnya di atas muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Sekiranya tiada ketetapan yang telah terdahulu daripada Allah, nescaya kamu ditimpa azab yang besar kerana (tebusan) yang kamu ambil.”
Al-Anfal 8:67-68
Seterusnya, Allah Swt menyatakan Dia Berkuasa membinasakan orang-orang kafir dengan azab di sisi-Nya tanpa orang-orang mukmin memerangi mereka seperti mengadakan gempa bumi atau menenggelamkan mereka ke dalam bumi. Namun Dia tidak melakukannya kerana Dia hendak menguji orang-orang yang beriman supaya dapat mengetahui siapakah di antara mereka yang benar-benar berjihad dan bersabar.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga? Padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.”
Ali ‘Imran 3:142
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak akan mensia-siakan pahala para syuhada’ yang berjihad di jalan-Nya. Dia tidak akan menjadikan segala amalan mereka hilang seperti amalan orang-orang kafir.
Rasulullah saw bersabda:
“Orang yang mati syahid diberi enam keistimewaan pada saat titisan pertama darah mereka, iaitu (1) semua kesalahan dihapuskan, (2) dapat melihat tempatnya di syurga, (3) dinikahkan dengan bidadari, (4) aman daripada ketakutan yang dahsyat, (5) selamat daripada seksaan kubur dan (6) dihiasi dengan hiasan iman.”
(HR. Ahmad)
Ayat 5
سَيَهْدِيهِمْ وَيُصْلِحُ بَالَهُمْ
Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan perbaiki keadaan mereka.
Ayat 6
وَيُدْخِلُهُمُ ٱلْجَنَّةَ عَرَّفَهَا لَهُمْ
Dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkan-Nya kepada mereka.
Allah Swt menyatakan Dia akan memberikan taufik untuk mengerjakan amal yang dicintai dan diredhai-Nya serta membimbing mereka beramal dengan amal menuju syurga dan memperbaiki keadaan mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, nescaya diberi petunjuk oleh Rabb mereka kerana keimanan mereka. Mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan, mengalir di bawahnya sungai-sungai.”
Yunus 10:9
Di akhirat mereka diberi petunjuk menuju tempat-tempat mereka di syurga sebagaimana dalam hadis di bawah.
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra, Rasulullah saw telah bersabda:
“Apabila (sebahagian) orang-orang beriman telah selamat daripada neraka, mereka akan ditahan di hujung jambatan yang terletak di antara syurga dan neraka. Maka saling dibalas hak-hak yang dizalimi di antara mereka yang pernah terjadi di dunia sehingga telah dibersihkan barulah mereka diizinkan masuk ke dalam syurga. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya seseorang di antara mereka lebih mengetahui rumahnya di syurga berbanding rumahnya di dunia (dahulu).”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 7
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَنصُرُوا۟ ٱللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
Allah Ta’ala memberikan berita gembira kepada orang-orang yang beriman berupa pertolongan dan kemenangan sekiranya mereka membela agama-Nya dengan berjihad memperjuangkan kebenaran di jalan-Nya. Dia akan menolong mereka dalam menghadapi kesulitan dan meneguhkan kedudukan mereka sehingga mereka dapat mengalahkan kaum kafir.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….Allah pasti akan menolong orang yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Al-Hajj 22:40
Ayat 8
وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَتَعْسًا لَّهُمْ وَأَضَلَّ أَعْمَـٰلَهُمْ
Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menghapuskan amalan mereka.
Ayat 9
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا۟ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَـٰلَهُمْ
Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan oleh Allah (Al-Quran) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amalan mereka.
Kemudian Allah Swt menjelaskan keadaan orang-orang kafir bagi menegaskan dan menguatkan lagi hati orang-orang yang beriman agar berjihad di jalan-Nya.
Orang-orang yang kafir kepada Allah Swt dan rasul-Nya serta mengingkari tuntutan agama-Nya, maka celakalah mereka baik di dunia mahupun di akhirat. Ini kerana Allah Swt akan menghapuskan segala amalan mereka sehingga menjadikan amal mereka itu sia-sia.
Itulah ketetapan Allah Swt kepada orang-orang kafir disebabkan mereka membenci apa yang diturunkan-Nya iaitu Al-Quran. Mereka juga syirik kepada-Nya. Oleh itu, sudah selayaknya Dia menghapuskan segala amal mereka dengan tidak memberikan pahala kepada amal perbuatan mereka.
Rasulullah saw bersabda:
“Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham, celakalah hamba kain sutera. Celakalah dan sengsaralah, padahal apabila dia tertusuk duri, dia tidak mampu mencabutnya.”
(HR. Al-Bukhari dan Ibnu Majah)