Surah 46: Al-Ahqaf (35)

Perintah agar Bersabar seperti Sabarnya Para Rasul

Surah 46: Al-Ahqaf (35)


Ayat 35

فَٱصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْعَزْمِ مِنَ ٱلرُّسُلِ وَلَا تَسْتَعْجِل لَّهُمْ ۚ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوٓا۟ إِلَّا سَاعَةً مِّن نَّهَارٍۭ ۚ بَلَـٰغٌ ۚ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Maka bersabarlah engkau (Muhammad) seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati daripada rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka. Pada hari mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka, mereka (berasa) seolah-olah tidak tinggal (di dunia) melainkan sesaat pada siang hari. (Inilah) suatu pelajaran yang cukup, maka tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik.

Pada akhir surah ini, Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw bersabar menghadapi pendustaan dan pelbagai perbuatan buruk kaumnya termasuk cubaan membunuhnya dan tidak meminta disegerakan azab kepada mereka. Ini kerana azab itu pasti akan menimpa mereka akhirnya.

Nabi Muhammad saw juga diminta mencontohi kesabaran para rasul Ulul ‘Azmi. Rasul-rasul Ulul ‘Azmi (yang mempunyai keteguhan hati) adalah seramai lima orang iaitu Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as, Nabi ‘Isa as termasuk baginda sendiri. Mereka itu memiliki ketabahan, keteguhan dan nekad dalam menyampaikan dakwah.

Kemudian Allah Swt menyatakan apabila orang-orang kafir melihat azab yang telah diancamkan kepada mereka, mereka merasakan seakan-akan tinggal di dunia hanya sesaat sahaja kerana kengerian yang luar biasa ketika itu.

Sesungguhnya mereka yang ditimpakan azab Allah Swt adalah mereka yang keluar daripada ketaatan serta berada dalam kemaksiatan dan kemusyrikan kepada-Nya. Ini adalah keadilan-Nya bahawa Dia tidak mengazab kecuali kepada yang berhak untuk diazab.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Allah mengumpulkan mereka, (mereka berasa) seakan-akan tidak pernah tinggal (di dunia) kecuali sesaat sahaja pada siang hari, (pada waktu) mereka saling berkenal-kenalan……….”

Yunus 10:45