Surah 46: Al-Ahqaf (21 – 28)

Kisah Kaum ‘Aad

Surah 46: Al-Ahqaf (21 – 28)


Ayat 21

وَٱذْكُرْ أَخَا عَادٍ إِذْ أَنذَرَ قَوْمَهُۥ بِٱلْأَحْقَافِ وَقَدْ خَلَتِ ٱلنُّذُرُ مِنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦٓ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّا ٱللَّهَ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Dan ingatlah (Hud) saudara kaum ‘Aad, ketika dia memberi peringatan kepada kaumnya di Al-Ahqaf dan sesungguhnya telah terdahulu beberapa orang pemberi peringatan sebelumnya dan sesudahnya (dengan berkata), “Janganlah kamu menyembah selain Allah, sesungguhnya aku khuatir kamu ditimpa azab hari yang besar.”

Ini adalah ayat tasliyah (ayat hiburan) untuk menenangkan hati Rasulullah saw dalam menghadapi penentangan daripada kaumnya. Allah Swt menceritakan pendustaan kaum terdahulu terhadap para rasul yang diutuskan kepada mereka. Ini bererti bukan hanya baginda seorang sahaja yang ditolak oleh kaumnya tetapi juga terjadi kepada para rasul yang lain sebelum baginda dan ini memang telah berlaku sejak dahulu lagi.

“Saudara kaum ‘Aad” yang disebut dalam ayat ini ialah Nabi Hud as. Baginda adalah seorang nabi yang berbangsa Arab. Oleh itu orang-orang musyrik Mekah memang telah mengetahui kisah baginda dengan kaumnya. Ini kerana mereka sering melalui kawasan tempat peninggalan kaum ‘Aad dalam permusafiran mereka, iaitu daerah Al-Ahqaf yang terletak di Hadramaut, Yaman.

Selepas peristiwa banjir yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh as, manusia yang terselamat bersama-sama baginda semuanya beriman. Melalui merekalah keturunan manusia berkembang biak termasuklah kaum ‘Aad. Namun lama-kelamaan kaum ‘Aad mula melakukan syirik. Oleh itu, kaum ‘Aad ini adalah antara kaum yang awal menolak tauhid.

Nabi Hud as diutuskan oleh Allah Swt untuk memberikan peringatan kepada orang-orang yang tinggal di kota-kota di sekitar negeri mereka. Baginda mengajak mereka mentauhidkan-Nya sebagaimana yang dilakukan oleh para rasul sebelum dan selepasnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“…………..maka katakanlah, ‘Aku telah memperingatkan kamu dengan petir, seperti petir yang menimpa kaum ‘Aad dan Thamud.’ Ketika para rasul datang kepada mereka dari hadapan dan belakang mereka (dengan menyerukan), ‘Janganlah kamu menyembah selain Allah.’……………..”

Fussilat 41:13-14

Ayat 22

قَالُوٓا۟ أَجِئْتَنَا لِتَأْفِكَنَا عَنْ ءَالِهَتِنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Mereka menjawab, “Apakah engkau datang kepada kami untuk mencegah kami daripada (menyembah) ilah-ilah kami? Maka datangkanlah kepada kami azab yang engkau ancamkan kepada kami, jika engkau termasuk orang-orang yang benar.”

Namun kaum Nabi Hud as menolak dakwah baginda. Mereka menuduh bahawa kedengkian baginda terhadap sembahan-sembahan mereka, membuatkan baginda menghalang dan memalingkan mereka daripada sembahan-sembahan tersebut.

Mereka tidak mempercayai peringatan yang dibawa oleh Nabi Hud as, lalu mereka mencabarnya supaya didatangkan kepada mereka azab yang telah diancamkan. Mereka juga meminta agar azab Allah Swt disegerakan kepada mereka. Ini merupakan kebodohan dan sikap keras kepala mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Orang-orang yang tidak percaya adanya Hari Kiamat meminta agar hari itu segera terjadi………”

Asy-Syura 42:18

Ayat 23

قَالَ إِنَّمَا ٱلْعِلْمُ عِندَ ٱللَّهِ وَأُبَلِّغُكُم مَّآ أُرْسِلْتُ بِهِۦ وَلَـٰكِنِّىٓ أَرَىٰكُمْ قَوْمًا تَجْهَلُونَ

(Dia (Hud) berkata, “Sesungguhnya ilmu (tentang itu) hanya pada sisi Allah, dan aku (hanya) menyampaikan kepadamu apa yang dengannya aku diutus, tetapi aku melihat kamu adalah kaum yang bodoh.”

Lalu Nabi Hud as menyanggah kaumnya dengan mengatakan bahawa baginda tidak mengetahui bila waktu terjadinya azab tersebut. Sesungguhnya pengetahuan tersebut hanya ada di sisi Allah Swt dan Dia-lah yang menentukannya.

Tugas baginda hanyalah menyampaikan kepada mereka apa yang diutuskan kepadanya dan baginda melihat kaumnya adalah kaum yang membodohkan diri sendiri kerana tetap memilih kekufuran daripada memilih petunjuk yang dibawanya.

Ayat 24

فَلَمَّا رَأَوْهُ عَارِضًا مُّسْتَقْبِلَ أَوْدِيَتِهِمْ قَالُوا۟ هَـٰذَا عَارِضٌ مُّمْطِرُنَا ۚ بَلْ هُوَ مَا ٱسْتَعْجَلْتُم بِهِۦ ۖ رِيحٌ فِيهَا عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan menuju ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, “Ini adalah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami.” (Bukan), bahkan itulah azab yang kamu minta agar disegerakan kedatangannya, (iaitu) angin yang mengandungi azab yang pedih.

Allah Swt menyatakan permulaan turunnya azab. Ketika kaum ‘Aad melihat azab atau awan di hadapan mereka bergerak menuju ke lembah-lembah tempat tinggal mereka, mereka menyangka bahawa itu adalah awan yang akan menurunkan hujan dan mereka bergembira dengan kedatangannya. Ini kerana hujan sudah lama tidak turun dan mereka sangat memerlukan hujan.

Ayat 25

تُدَمِّرُ كُلَّ شَىْءٍۭ بِأَمْرِ رَبِّهَا فَأَصْبَحُوا۟ لَا يُرَىٰٓ إِلَّا مَسَـٰكِنُهُمْ ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْقَوْمَ ٱلْمُجْرِمِينَ

Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabbnya, maka jadilah mereka (kaum ‘Aad) tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami berikan balasan kepada kaum yang berdosa.

Namun ternyata itulah angin ribut yang menghancurkan segala sesuatu sama ada nyawa, harta benda, termasuk binatang dan lain-lain dengan izin Allah Ta’ala. Semuanya musnah dan tidak tersisa sesuatu pun kecuali kesan-kesan tempat tinggal mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Angin itu) tidak membiarkan suatu apa pun yang dilandanya, bahkan dijadikannya seperti debu.”

Az-Zariyat 51:42

Ayat 26

وَلَقَدْ مَكَّنَّـٰهُمْ فِيمَآ إِن مَّكَّنَّـٰكُمْ فِيهِ وَجَعَلْنَا لَهُمْ سَمْعًا وَأَبْصَـٰرًا وَأَفْـِٔدَةً فَمَآ أَغْنَىٰ عَنْهُمْ سَمْعُهُمْ وَلَآ أَبْصَـٰرُهُمْ وَلَآ أَفْـِٔدَتُهُم مِّن شَىْءٍ إِذْ كَانُوا۟ يَجْحَدُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah meneguhkan kedudukan mereka dalam hal-hal yang belum pernah Kami berikan kepada kamu, dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka tidak berguna sedikit pun bagi mereka, kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah lalu mereka dikepung (ancaman) azab yang dahulu mereka perolok-olokkan.

Allah Swt menyebutkan bahawasanya kaum ‘Aad itu telah dijadikan-Nya suatu umat yang berbadan kuat, tidak sebagaimana penduduk-penduduk di Mekah dan mereka juga diberikan kemewahan hidup.

Pendengaran, penglihatan dan hati yang dikurniakan oleh Allah Swt dengan harapan mereka dapat menggunakannya untuk mengenali-Nya tidak digunakan ke arah mendapatkan manfaat dan menolak azab. Mereka hanya mensia-siakan nikmat tersebut dan menggunakannya semata-mata untuk mencari kepuasan hidup di dunia. Lalu pancaindera mereka ini tidak dapat digunakan untuk mendapatkan nikmat syurga dan mengelakkan azab di akhirat kelak. Oleh itu, kaum ‘Aad telah memperolok-olokkan azab yang dijanjikan.

Ini kerana mereka tidak mempercayai azab yang akan ditimpakan kepada mereka dan menganggapnya sebagai mustahil. Namun mereka telah ditimpakan azab dan pembalasan yang telah mereka ejek-ejekkan dan dustakan itu di dunia lagi. Kelak di akhirat mereka akan dikenakan lagi azab dan pembalasan yang lebih lagi seperti apa yang telah Allah Swt janjikan.

Ayat 27

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا مَا حَوْلَكُم مِّنَ ٱلْقُرَىٰ وَصَرَّفْنَا ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan sesungguhnya telah Kami binasakan negeri-negeri di sekitarmu dan juga telah Kami tunjukkan berulang-ulang kali tanda-tanda (kebesaran Kami), agar mereka kembali (bertaubat).

Maksud “negeri-negeri di sekitarmu” ialah negeri-negeri yang ada di sekitar kota Mekah seperti negeri-negeri Al-Hijr, Sadum, Ma’rib dan lain-lain lagi.

Maka dalam ayat ini, Allah Swt menjelaskan kepada penduduk Mekah bahawa Dia telah membinasakan umat-umat yang telah mendustakan rasul-rasul-Nya yang berada di sekitar Mekah seperti kaum ‘Aad yang tinggal di Al-Ahqaf di Hadramaut, iaitu di negeri Yaman. Dia juga membinasakan kaum Thamud yang tinggal di tempat yang terletak di antara Mekah dan negeri Syam.

Selain itu, Dia juga telah membinasakan penduduk Saba’ yang tinggal di negeri Yaman, penduduk kota Madyan yang tinggal di tempat yang berada di tengah jalan yang biasa dilalui oleh penduduk Mekah menuju ke Gaza (Palestin) dan kaum Nabi Lut as yang tempat tinggal mereka telah diubah menjadi tasik. Tempat-tempat ini adalah hampir dengan penduduk Mekah dan mereka telah biasa melalui tempat-tempat tersebut.

Allah Swt telah menerangkan dan menjelaskannya kepada mereka berulang-berulang kali supaya mereka mengambil pengajaran daripada kisah-kisah kebinasaan umat-umat terdahulu akibat mendustakan para rasul.

Ayat 28

فَلَوْلَا نَصَرَهُمُ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ قُرْبَانًا ءَالِهَةًۢ ۖ بَلْ ضَلُّوا۟ عَنْهُمْ ۚ وَذَٰلِكَ إِفْكُهُمْ وَمَا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ

Maka mengapa yang mereka sembah selain Allah sebagai Ilah untuk mendekatkan diri (kepada Allah) tidak dapat menolong mereka? Bahkan ilah-ilah itu telah lenyap daripada mereka, dan itulah akibat daripada pendustaan mereka dan apa yang dahulu mereka ada-adakan.

Kemudian Allah Swt bertanya mengapa ilah-ilah yang mereka jadikan sembahan selain-Nya itu sedikit pun tidak dapat memberikan pertolongan atau menyelamatkan mereka daripada kebinasaan. Maka itulah akibat daripada perbuatan mereka yang mengadakan kebohongan terhadap-Nya.