Surah 46: Al-Ahqaf (15 – 18)

Perintah Berbuat Baik kepada Ibu Bapa dan Kesengsaraan bagi Anak yang Derhaka kepada Ibu Bapa

Surah 46: Al-Ahqaf (15 – 18)


Ayat 15

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ إِحْسَـٰنًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُۥ وَفِصَـٰلُهُۥ ثَلَـٰثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُۥ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَـٰلِحًا تَرْضَىٰهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِىٓ ۖ إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungkannya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata, “Wahai Rabbku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).”

Allah Swt memerintahkan manusia agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dengan memberikan kasih sayang, berbakti, memenuhi segala keperluan mereka dan berakhlak mulia kepada mereka.

Berbakti kepada kedua ibu bapa merupakan satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan oleh seorang anak. Mencuaikannya bererti dia menderhaka kepada kedua ibu bapanya dan berdosa besar kerana dia telah melanggar perintah daripada Allah Swt. Berbakti kepada mereka bukanlah sahaja ketika mereka masih hidup tetapi juga setelah mereka meninggal dunia.

Kemudian Allah Swt menyebutkan pula secara khusus segala kesusahan dan pengorbanan seorang ibu sejak dia mengandung sehinggalah saat melahirkan dan menyusukan anaknya.

Dalam tempoh mengandung, seorang ibu banyak mengalami kesusahan seperti mengidamkan sesuatu makanan, berasa mual, pening, muntah-muntah, berat badan bertambah dan lain-lain lagi. Pada saat melahirkan kandungan ibu merasai kesakitan, kemudian menyusukan pula. Para ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil supaya anak itu berbakti, patuh, menghormati, melindungi dan melakukan pelbagai kebaikan kepada kedua orang tuanya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Rabbmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik-baik kepada mereka.”

Al-Isra’ 17:23

Tempoh mengandung termasuk tempoh menceraikan susu bagi seseorang anak ialah dalam masa 30 bulan. Mengikut pendapat yang kuat, masa paling pendek (minimum) bagi seseorang itu mengandung sehingga melahirkan anak adalah selama 6 bulan. Manakala masa menyusu pula selama 2 tahun iaitu 24 bulan. Ini kerana masa menyusu yang disarankan paling lama adalah 2 tahun, maka 30 bulan dikurangi 2 tahun (24 bulan) bakinya adalah 6 bulan untuk masa mengandung.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang tersangat-sangat, dan menyusukannya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.”

Luqman 31:14

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan……………….”

Al-Baqarah 2:233

Apabila seseorang itu telah berumur 40 tahun, dikatakan bahawa akal, pemahaman dan kesabarannya telah sempurna. Oleh itu, apabila mencapai umur ini dia wajib memperbaharui taubat dan tidak mengulangi kesilapan sama seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini. Kemudian dia berdoa seperti doa dalam ayat di atas. Dalam doa ini dia memohon kepada Allah Ta’ala tiga perkara:

▪️   Agar Allah Ta’ala membimbingnya menjadi orang yang mensyukuri nikmat yang telah diberikan-Nya kepadanya dan kepada kedua ibu bapanya.

▪️  Agar dia mudah untuk taat dalam perkara-perkara yang diredhai Allah.

▪️  Menjadikannya orang soleh sehingga diikuti oleh zuriat keturunannya.

Ibnu Kathir mengatakan ayat ini merupakan petunjuk bagi orang yang telah mencapai usia 40 tahun agar memperbaharui taubatnya kepada Allah Swt dan berpegang teguh pada taubatnya.

Ayat 16

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ نَتَقَبَّلُ عَنْهُمْ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا۟ وَنَتَجَاوَزُ عَن سَيِّـَٔاتِهِمْ فِىٓ أَصْحَـٰبِ ٱلْجَنَّةِ ۖ وَعْدَ ٱلصِّدْقِ ٱلَّذِى كَانُوا۟ يُوعَدُونَ

Mereka itulah orang-orang yang Kami terima daripada mereka amal yang baik yang telah mereka kerjakan dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka, bersama penghuni-penghuni syurga, sebagai janji yang benar yang telah dijanjikan kepada mereka.

Kemudian Allah Swt memuji orang-orang yang berbuat baik kepada orang tua. Dia menyatakan bahawa mereka itulah orang-orang yang mensyukuri nikmat dan berbuat kebaikan. Amalan baik mereka itu diterima dan mereka akan dianugerahkan pahala yang besar sebagai balasan terhadap amalan mereka.

Mereka adalah orang-orang yang dimaafkan kesalahan-kesalahan, maka tiada azab atas mereka. Kelak di akhirat, mereka akan menjadi penghuni-penghuni syurga. Itulah janji-Nya yang benar kepada mereka yang telah dijanjikan melalui para utusan-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang baik di syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar. Itulah kemenangan yang besar.”

At-Taubah 9:72

Ayat 17

وَٱلَّذِى قَالَ لِوَٰلِدَيْهِ أُفٍّ لَّكُمَآ أَتَعِدَانِنِىٓ أَنْ أُخْرَجَ وَقَدْ خَلَتِ ٱلْقُرُونُ مِن قَبْلِى وَهُمَا يَسْتَغِيثَانِ ٱللَّهَ وَيْلَكَ ءَامِنْ إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ فَيَقُولُ مَا هَـٰذَآ إِلَّآ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ

Dan orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya, “Ah! Patutkah kamu berdua (ibu bapa) memperingatkan aku bahawa aku akan dihidupkan semula (dari kubur), padahal beberapa umat sebelumku telah berlalu (tiada yang datang kembali)?” Lalu kedua-dua orang tuanya itu memohon pertolongan daripada Allah, “Celaka kamu, berimanlah! Sesungguhnya, janji Allah itu benar.” Lalu anak itu berkata, “Ini hanyalah dongeng orang-orang dahulu.”

Allah Swt menyebutkan ucapan seorang anak yang kufur kepada-Nya dan derhaka kepada kedua ibu bapanya setelah mereka memberikannya nasihat kerana dia tidak mempercayai adanya Hari Kebangkitan dan Pembalasan.

Namun perasaan kasih sayang yang ada pada kedua ibu bapa ini menyebabkan mereka berdoa kepada Allah Swt agar Dia memberikan taufik kepada anak mereka. Di samping itu mereka terus memberikan nasihat dan amaran tentang janji-Nya yang pasti akan berlaku, malangnya anak ini tetap tidak mahu mempercayainya.

Ayat 18

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَقَّ عَلَيْهِمُ ٱلْقَوْلُ فِىٓ أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ خَـٰسِرِينَ

Mereka itulah orang-orang yang telah pasti dikenakan (azab) bersama umat-umat terdahulu sebelum mereka, daripada (golongan) jin dan manusia. Mereka adalah orang-orang yang rugi.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa anak yang derhaka kepada orang tuanya akan dibalas dengan azab neraka. Ini adalah ketetapan seksaan-Nya iaitu Dia akan mengazab mereka bersama-sama umat-umat terdahulu daripada bangsa jin dan manusia yang mengingkari-Nya. Oleh itu, tidak ada kerugian yang paling besar bagi seorang hamba terhadap dirinya dan keluarganya selain hidup dalam Neraka Jahannam yang kekal buat selama-lamanya.