Kehidupan Orang Mukmin Tidaklah Sama dengan Kehidupan Orang Kafir
Surah 45: Al-Jathiyah (21 – 22)
Ayat 21
أَمْ حَسِبَ ٱلَّذِينَ ٱجْتَرَحُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن نَّجْعَلَهُمْ كَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَوَآءً مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ ۚ سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ
Apakah orang-orang yang melakukan kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal yang soleh, iaitu sama dengan kehidupan dan kematian mereka? Amat buruklah apa yang mereka sangkakan itu.
Allah Swt menyatakan betapa buruknya anggapan orang-orang musyrik terhadap-Nya kerana menyangka bahawa kedudukan mereka yang mensyirikkan-Nya adalah sama dengan orang-orang yang beriman.
Ini adalah kerana amat mustahil bagi Allah Swt untuk menyamakan orang-orang yang bertakwa dengan orang-orang yang menderhakai-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Tidaklah sama bagi ahli neraka dan ahli syurga, kerana ahli syurga adalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).”
Al-Hasyr 59:20
Ayat 22
وَخَلَقَ ٱللَّهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ وَلِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
Dan Allah menciptakan langit dan bumi dengan tujuan yang benar, agar setiap jiwa diberikan balasan sesuai dengan apa yang dikerjakannya, dan mereka tidak akan dirugikan.
Seterusnya, Allah Swt menegaskan bahawa Dia yang menciptakan langit dan bumi dengan tujuan yang benar dan sebelum ini telah pun disebutkan bagaimana langit dan bumi itu telah ditundukkan untuk kegunaan manusia.
Oleh itu sekiranya langit dan bumi pun dijadikan oleh Allah Swt mempunyai tujuan, tentulah penciptaan manusia yang lebih utama daripada kedua-duanya juga mempunyai tujuan.