Surah 45: Al-Jathiyah (16 – 20)

Kurniaan Allah Swt kepada Bani Israil

Surah 45: Al-Jathiyah (16 – 20)


Ayat 16

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحُكْمَ وَٱلنُّبُوَّةَ وَرَزَقْنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَفَضَّلْنَـٰهُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepada Bani Israil kitab (Taurat), kekuasaan dan kenabian, dan Kami anugerahkan kepada mereka rezeki yang baik, dan Kami melebihkan mereka mengatasi bangsa-bangsa lain (pada masa itu).

Bani Israil adalah anak keturunan Nabi Yaakub as yang bergelar Israil dan baginda adalah anak kepada Nabi Ishak as bin Nabi Ibrahim as.

Dalam ayat 16-17 ini Allah Swt menyatakan bahawa Dia benar-benar telah memberikan pelbagai nikmat kepada Bani Israil, antaranya:

▪️   Diturunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa as yang di dalamnya terdapat petunjuk dan syariat agar mereka terpimpin ke jalan yang lurus.

▪️   Diberikan kerajaan yang memiliki kekuasaan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Kami wariskan kepada kaum yang telah tertindas itu, negeri-negeri di bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami berkati. Dan telah sempurnalah kalimah Rabbmu yang baik itu (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dilakukan Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangunkan oleh mereka.”

Al-A’raf 7:137

▪️   Diutuskan kepada mereka Nabi dan Rasul yang ramai, antaranya seperti Nabi Musa as dan Nabi Harun as serta lain-lain daripada kalangan Bani Israil.

▪️   Dikurniakan pelbagai rezeki yang baik-baik dan lazat daripada pelbagai jenis makanan serta minuman seperti manna dan salwa.

▪️   Dimuliakan melebihi umat-umat yang lain yang sezaman dengan mereka, tidak ada satu umat yang mempunyai Nabi dan Rasul sebegitu ramai seperti mereka.

Begitu juga tidak terdapat sesebuah kerajaan yang diperintahkan oleh Nabi seperti Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as yang merupakan Nabi dan Raja memerintah kerajaan. Nabi-nabi daripada bangsa mereka dikurniakan pelbagai mukjizat yang menakjubkan antaranya terbelahnya laut yang menyebabkan mereka terselamat daripada penindasan Firaun dan kaumnya yang berbangsa Qibti.

Oleh itu, mereka merupakan bangsa yang lebih tinggi darjatnya dan lebih mulia di antara bangsa-bangsa yang ada pada masa itu.

Ayat 17

وَءَاتَيْنَـٰهُم بَيِّنَـٰتٍ مِّنَ ٱلْأَمْرِ ۖ فَمَا ٱخْتَلَفُوٓا۟ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِى بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فِيمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Kami berikan kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas tentang urusan (agama), maka mereka tidak berselisih faham kecuali setelah datang ilmu kepada mereka kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Sesungguhnya, Rabbmu akan memberi keputusan kepada mereka pada Hari Kiamat terhadap apa yang selalu mereka perselisihkan.

▪️   Mereka diberikan hujjah yang cukup jelas tentang urusan agama yang disyariatkan dalam kitab Taurat dan juga tentang kenabian Nabi Muhammad saw.

Setelah Rasulullah saw diutuskan dengan membawa Al-Quran, mereka mula berselisih tentang berita seorang Nabi yang akan datang pada akhir zaman dan apa yang Allah Swt wariskan kepada baginda juga umatnya yang akan membawa kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Hal inilah yang membuatkan mereka berasa dengki, lalu mereka mengingkari dan mendustakan dakwah yang dibawa oleh baginda.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menjelaskan kepada Rasulullah saw bahawa kelak pada Hari Akhirat, Dia akan memutuskan semua perkara yang mereka perselisihkan sewaktu di dunia dahulu dan memberikan balasan yang setimpal terhadap perbuatan yang mereka lakukan.

Ayat 18

ثُمَّ جَعَلْنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ ٱلْأَمْرِ فَٱتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Kemudian Kami jadikan engkau (Muhammad) mengikut syariat (peraturan) dalam urusan agama, maka ikutilah (syariat itu) dan janganlah engkau ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.

Kemudian setelah terjadi perselisihan di antara mereka, Allah Swt menjadikan Nabi Muhammad saw berada di atas jalan yang benar dan agama yang membawa kepada kebenaran.

Apabila Allah Swt berfirman bahawa Dia yang mengutuskan Nabi di atas landasan syariat, itu bermaksud syariat adalah daripada Allah Swt, sementara Nabi saw hanyalah pembawa risalah dan tugasnya adalah menyampaikannya.

Oleh itu, Allah Swt memerintahkan baginda agar mengikuti perintahnya sesuai dengan apa yang diwahyukan-Nya dan mengamalkannya di tengah-tengah umatnya dan tidak mengikuti keinginan orang-orang kafir Quraisy dan orang-orang bodoh yang tidak mengetahui kebenaran, keesaan-Nya dan syariat yang di turunkan kepada baginda.

Ayat ini juga adalah merupakan peringatan untuk umat Islam agar tidak meniru cara-cara Bani Israil.

Ayat 19

إِنَّهُمْ لَن يُغْنُوا۟ عَنكَ مِنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا ۚ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ ۖ وَٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menolak daripada kamu sedikit pun daripada (seksaan) Allah. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu sebahagian mereka menjadi pelindung ke atas sebahagian yang lain, dan Allah adalah pelindung orang-orang yang bertakwa.

Allah Swt melarang Rasulullah saw mengikuti hawa nafsu orang-orang kafir Quraisy adalah kerana andaikata baginda mengikuti orang-orang yang kafir lalu baginda mendapat seksaan maka mereka tidak akan dapat memberikan pertolongan kepada baginda sedikit pun atau menolak seksaan yang ditimpakan kepada baginda.

Maksud ‘zalim’ dalam ayat ini ialah berbuat syirik. Mereka saling menolong di dunia dalam melakukan kebatilan dan kejahatan. Sedangkan di akhirat kelak mereka tidak lagi dapat berbuat seperti itu dan tidak ada seorang pun yang akan menolong mereka daripada seksaan Allah Swt.

Ayat 20

هَـٰذَا بَصَـٰٓئِرُ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

(Al-Quran) ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.

Kemudian Allah Swt menerangkan kemuliaan Al-Quran yang mengandungi syariat-syariat-Nya yang kekal dan bersesuaian sehingga Hari Kiamat. Selain itu di dalamnya terdapat berita gembira dan ancaman kepada hamba-hamba-Nya agar terselamat daripada azab-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Ikutilah apa yang telah diwahyukan Rabbmu kepadamu (Muhammad), tidak ada Ilah selain Dia, dan berpalinglah daripada orang-orang musyrik.”

Al-An’am 6:106

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang melakukan amal soleh bahawa mereka mendapat pahala yang besar.”

Al-Isra’ 17:9