Surah 45: Al-Jathiyah (6 – 11)

Kecelakaan yang Besar bagi Orang yang Mendustakan Ayat-ayat Allah Swt

Surah 45: Al-Jathiyah (6 – 11)


Ayat 6

تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِٱلْحَقِّ ۖ فَبِأَىِّ حَدِيثٍۭ بَعْدَ ٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ يُؤْمِنُونَ

Itulah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kepadamu dengan sebenar-benarnya, maka dengan perkataan manakah lagi mereka akan beriman sesudah (kalam) Allah dan keterangan-keterangan-Nya.

Allah Swt menyatakan itulah ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi hujjah dan penjelasan tentang kebenaran daripada Yang Maha Benar. Ayat-ayat itu merupakan tanda-tanda keesaan dan kekuasaan-Nya dan Dia-lah sahaja yang layak disembah dan satu-satunya tempat memohon pertolongan.

‘Ayat-ayat Allah’ atau ‘tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah’ itu terbahagi kepada dua iaitu:

▪️   Ayat-ayat Al-Quran yang boleh dibaca dan dihayati untuk diambil pelajaran.

▪️   Ayat-ayat atau tanda-tanda kekuasaan Allah Swt yang terdapat pada seluruh alam ini.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan kepada orang-orang yang tidak beriman dan yang tidak mahu tunduk kepada ayat-ayat-Nya, maka keterangan apa lagi yang akan mereka percaya.

Ayat 7

وَيْلٌ لِّكُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ

Kecelakaan besarlah bagi setiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa.

Ayat 8

يَسْمَعُ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ تُتْلَىٰ عَلَيْهِ ثُمَّ يُصِرُّ مُسْتَكْبِرًا كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا ۖ فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya kemudian dia tetap menyombongkan diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka berilah dia khabar gembira dengan azab yang pedih.

Seterusnya dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan kebinasaan dan azab yang paling keras bagi setiap orang yang banyak mendustakan ayat-ayat-Nya. Mereka memiliki dua sifat:

▪️   Bersikap keras kepala dan angkuh.

Mereka ini apabila dibacakan ayat-ayat Allah Swt mereka menyombongkan diri, enggan menerima apa yang disampaikan. Mereka menghina orang yang menyampaikan kebenaran dan tidak mahu mengambil pengajaran daripada ayat-ayat yang disampaikan kepada mereka.

Peringatan daripada Allah Swt dalam ayat di atas menunjukkan betapa besarnya balasan azab kepada mereka yang tidak mengendahkan ayat-ayat-Nya.

Ayat 9

وَإِذَا عَلِمَ مِنْ ءَايَـٰتِنَا شَيْـًٔا ٱتَّخَذَهَا هُزُوًا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Dan apabila dia mengetahui sedikit sahaja tentang ayat-ayat Kami, maka dijadikannya olok-olok. Merekalah yang memperoleh azab yang menghinakan.

▪️   Mencemuh ayat-ayat Allah Swt.

Jikalau mereka dapat mengetahui sedikit daripada ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan, mereka mendustakannya dan menjadikannya sebagai bahan ejekan dan penghinaan kepada Al-Quran.

Ayat 10

مِّن وَرَآئِهِمْ جَهَنَّمُ ۖ وَلَا يُغْنِى عَنْهُم مَّا كَسَبُوا۟ شَيْـًٔا وَلَا مَا ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوْلِيَآءَ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Di hadapan mereka Neraka Jahannam dan tidak akan berguna bagi mereka sedikit pun apa yang telah mereka kerjakan, dan tidak juga berguna apa yang mereka jadikan sebagai sembahan-sembahan (mereka) selain Allah. Dan bagi mereka azab yang besar.

Kemudian Allah Swt menyatakan kepada mereka kini sudah disiapkan Neraka Jahannam dan tidak akan berguna bagi mereka sedikit pun apa yang telah mereka kerjakan, dan tidak juga bermanfaat apa yang mereka jadikan sebagai pelindung-pelindung mereka, iaitu sembahan-sembahan mereka selain Allah Swt. Mereka akan mendapat azab yang besar sebagai akibat daripada perbuatan dosa yang mereka lakukan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan mereka menyembah selain Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudharat kepada mereka dan tidak (pula) dapat memberikan manfaat kepada mereka dan mereka berkata, “Mereka (yang kami sembah itu) adalah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.” Katakanlah (wahai Muhammad), “Adakah kamu akan mengatakan kepada Allah sesuatu yang tidak diketahui-Nya apa yang di langit dan tidak (pula) yang di bumi?” Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia daripada apa yang mereka sekutukan itu.”

Yunus 10:18

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (Nabi-nabi) yang sebelummu, ‘Jika engkau menyekutukan (Allah), nescaya akan terhapuslah amalanmu dan tentulah engkau termasuk orang-orang yang rugi.’”

Az-Zumar 39:65

Ayat 11

هَـٰذَا هُدًى ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمْ لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ

Ini (Al-Quran) adalah petunjuk. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Rabb mereka, bagi mereka azab iaitu seksaan yang sangat pedih.

Allah Swt menjelaskan tentang sifat Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah petunjuk yang hak, pembimbing kepada kebenaran dan membawa kepada cahaya daripada kegelapan dan kesesatan.

Oleh itu, orang-orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah Swt, bagi mereka azab yang keras pada Hari Kiamat kelak.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak dibukakan pintu-pintu langit bagi mereka dan mereka tidak akan masuk syurga, sebelum unta masuk ke dalam lubang jarum. Demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang melakukan kejahatan.”

Al-A’raf 7:40