Keadaan Orang yang Bertakwa di dalam Syurga
Surah 44: Ad-Dukhan (51 – 59)
Ayat 51
إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى مَقَامٍ أَمِينٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam tempat yang selamat.
Setelah menyebutkan keadaan orang-orang yang sengsara, Allah Swt menyebutkan pula keadaan orang-orang yang berbahagia. Mereka bebas daripada kesedihan, ketakutan dan keletihan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Tidak ada balasan untuk kebaikan selain kebaikan (juga).”
Ar-Rahman 55:60
Ayat 52
فِى جَنَّـٰتٍ وَعُيُونٍ
Iaitu di dalam taman-taman dan mata air-mata air.
Ayat 53
يَلْبَسُونَ مِن سُندُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُّتَقَـٰبِلِينَ
Mereka memakai sutera yang halus dan sutera yang tebal, dan duduk berhadap-hadapan.
Ayat 54
كَذَٰلِكَ وَزَوَّجْنَـٰهُم بِحُورٍ عِينٍ
Kemudian Kami berikan kepada mereka pasangan bidadari yang bermata indah.
Ayat 55
يَدْعُونَ فِيهَا بِكُلِّ فَـٰكِهَةٍ ءَامِنِينَ
Di dalamnya mereka meminta pelbagai jenis buah-buahan dengan aman (daripada segala kebimbangan).
Allah Swt menyebutkan beberapa kenikmatan yang diberikan-Nya kepada orang-orang yang beriman ketika di akhirat kelak iaitu:
▪️ Mereka mendapat tempat tinggal di taman-taman syurga yang ada sumber mata air yang mengalir.
▪️ Pakaian mereka daripada sutera halus dan tebal yang sangat indah lagi menarik.
▪️ Mereka saling duduk berhadap-hadapan sehingga mereka saling memandang dan beramah mesra.
▪️ Dianugerahkan pasangan yang cantik terdiri daripada bidadari-bidadari yang putih bersih dan bermata jeli.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….yang tidak pernah disentuh oleh manusia mahupun jin.”
Ar-Rahman 55:56
“Seakan-akan mereka itu permata delima dan marjan.”
Ar-Rahman 55:58
▪️ Segala keinginan mereka dipenuhi dan mereka juga aman daripada sebarang ancaman ketakutan, kelaparan, penyakit dan godaan syaitan.
Ayat 56
لَا يَذُوقُونَ فِيهَا ٱلْمَوْتَ إِلَّا ٱلْمَوْتَةَ ٱلْأُولَىٰ ۖ وَوَقَىٰهُمْ عَذَابَ ٱلْجَحِيمِ
Mereka tidak akan merasai mati di dalamnya, selain kematian pertama (di dunia). Allah melindungi mereka daripada azab neraka.
Kemudian Allah Swt menyatakan kehidupan orang-orang beriman di dalam syurga adalah kekal.
Mereka tidak akan merasakan mati lagi di dalam syurga untuk selama-lamanya. Selain mendapat nikmat yang besar lagi kekal ini, mereka juga dipelihara daripada azab yang pedih. Allah Swt menyelamatkan mereka serta menjauhkan mereka daripada azab itu. Dengan demikian, bererti mereka memperoleh apa yang diinginkan dan diselamatkan daripada perkara-perkara yang mereka takuti.
Disebutkan di dalam kitab Sahihain, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Kematian didatangkan dalam rupa seekor kambing biri-biri putih dengan sedikit tompok-tompok hitam, lalu diletakkan di antara syurga dan neraka, kemudian disembelih. Lalu Allah Swt berfirman, ‘Wahai ahli syurga, kalian semua abadi dan tiada kematian lagi selama-lamanya. Wahai ahli neraka, kalian abadi dan tiada kematian lagi selama-lamanya.’”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah akan masuk syurga, mendapat kenikmatan di dalamnya dan tidak akan sengsara, dan dia hidup kekal di dalamnya tidak akan mati, pakaiannya tidak akan usang serta kemudaannya tidak akan luntur (hilang).”
(HR. Muslim)
Ayat 57
فَضْلًا مِّن رَّبِّكَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Sebagai kurniaan daripada Rabbmu. Demikian itulah kemenangan yang besar.
Semua kenikmatan dan keselamatan yang dikurniakan oleh Allah Swt kepada orang-orang beriman itu merupakan kurniaan dan kebaikan dari sisi-Nya kepada mereka. Itulah kejayaan yang besar yang akan diperoleh di akhirat kelak kerana ketaatan mereka kepada-Nya ketika di dunia dahulu.
Rasulullah saw bersabda:
“Beramallah, tepatlah dalam beramal, beramallah dengan pertengahan, dan ketahuilah bahawa seseorang tidak akan dapat dimasukkan ke dalam syurga kerana (nilai) amalnya.” Para sahabat bertanya, “Dan tidak juga engkau, wahai Rasulullah?” Rasulullah saw menjawab, “Tidak juga aku, kecuali jika Allah melimpahkan rahmat dan kurniaan-Nya kepadaku.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 58
فَإِنَّمَا يَسَّرْنَـٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
Sesungguhnya, Kami mudahkan Al-Quran itu dengan bahasamu agar mereka mendapat pengajaran.
Setelah itu, Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah memudahkan Rasulullah saw membacakan Al-Quran kepada kaum musyrik Mekah. Ini kerana Al-Quran yang diturunkan-Nya itu adalah dalam bahasa pertuturan baginda iaitu bahasa Arab sehingga kaum baginda yang juga berbangsa Arab mudah memahami dan memikirkan pengajarannya.
Ayat 59
فَٱرْتَقِبْ إِنَّهُم مُّرْتَقِبُونَ
Maka tunggulah, sesungguhnya, mereka itu (juga sedang) menunggu.
Perkataan رقب bermaksud tunggu, bukan sekadar tunggu sahaja tetapi bermaksud ‘tunggu sesuatu yang akan berlaku’. Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan mendapat pertolongan, kemenangan di dunia dan di akhirat.
Meskipun setelah diturunkan Al-Quran dengan begitu jelas dan terang, ternyata masih ada sebahagian manusia yang tetap kufur, membangkang dan menentang Allah Swt.
Oleh itu, Allah Swt menghibur hati Rasulullah saw dengan menjanjikan kepada baginda dan kaum mukmin kemenangan dengan pertolongan-Nya. Manakala kepada orang-orang yang mendustakan baginda akan kalah dan binasa.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya Kami menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (Hari Kiamat), (iaitu) hari yang tidak berguna bagi orang-orang zalim permintaan maafnya dan bagi merekalah laknat dan bagi merekalah tempat tinggal yang buruk.”
Ghafir 40:51-52