Seksaan kepada Orang Musyrik di dalam Neraka
Surah 44: Ad-Dukhan (43 – 50)
Ayat 43
إِنَّ شَجَرَتَ ٱلزَّقُّومِ
Sesungguhnya Pohon Zaqqum itu.
Ayat 44
طَعَامُ ٱلْأَثِيمِ
Makanan bagi orang yang banyak berdosa.
Allah Swt memberi ancaman dan peringatan kepada orang-orang kafir yang mengingkari-Nya dengan azab neraka. Sesungguhnya Allah Swt menciptakan pohon dalam Neraka Jahannam yang buahnya menjadi makanan penghuni neraka.
Inilah seburuk-buruk makanan bagi penghuni neraka. Apabila mereka minta makanan, mereka akan diberikan buah dari Pokok Zaqqum. Inilah satu-satunya pokok yang dapat hidup dalam neraka.
Ayat 45
كَٱلْمُهْلِ يَغْلِى فِى ٱلْبُطُونِ
Seperti lelehan tembaga yang mendidih di dalam perut.
Ayat 46
كَغَلْىِ ٱلْحَمِيمِ
Seperti mendidihnya air yang sangat panas.
Makanan ini tersangat panas seperti tembaga yang telah dipanaskan sehingga menjadi cair. Oleh sebab pekat dan liat, ia akan melekat kepada tubuh. Sebaik sahaja buah Zaqqum itu dimakan, ia akan bertukar menjadi minyak yang mendidih dengan kepanasan yang amat luar biasa.
Ayat 47
خُذُوهُ فَٱعْتِلُوهُ إِلَىٰ سَوَآءِ ٱلْجَحِيمِ
“Peganglah dia, kemudian seretlah dia sampai ke tengah-tengah neraka.
Allah Swt akan memerintahkan malaikat menangkap ahli neraka padahal mereka tidak boleh ke mana-mana. Ini merupakan azab emosi kepada mereka. Kemudian mereka diikat dengan besi dan diseret ke tengah-tengah neraka kerana mereka akan dikenakan seksaan.
Ayat 48
ثُمَّ صُبُّوا۟ فَوْقَ رَأْسِهِۦ مِنْ عَذَابِ ٱلْحَمِيمِ
Kemudian tuangkanlah di atas kepalanya azab daripada air yang sangat panas.”
Selain buah Zaqqum telah mendidih di dalam perut mereka, mereka ditambahkan azab dengan dicurahkan ke atas kepala mereka berupa air yang sangat panas. Oleh itu, terdapat azab dari dalaman dan luaran.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dengan air yang mendidih itu akan menghancurluluhkan apa yang ada di dalam perut dan pada kulit mereka.”
Al-Hajj 22:20
Ayat 49
ذُقْ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْكَرِيمُ
“Rasakanlah, sesungguhnya kamu benar-benar orang yang perkasa lagi mulia.”
Inilah kata-kata penghinaan dan celaan Allah Swt kepada mereka bahawa mereka tidaklah perkasa dan tidaklah mulia.
Ayat 50
إِنَّ هَـٰذَا مَا كُنتُم بِهِۦ تَمْتَرُونَ
Inilah azab yang dahulu kamu ragukan.
Dikatakan kepada mereka inilah azab yang mereka ragu-ragukan dahulu sehingga mereka tidak membuat persiapan untuk mengelakkan diri daripadanya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Pada hari itu mereka ditolak-tolak ke Neraka Jahannam dengan sekuat-kuatnya. (Dikatakan kepada mereka), ‘Inilah neraka yang dahulunya kamu dustakan. Maka apakah ini sihir? Atau apakah kamu tidak melihat?’”
At-Tur 52:13-15