Segala Ciptaan Allah Swt Tiada yang Sia-sia
Surah 44: Ad-Dukhan (38 – 39)
Ayat 38
وَمَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَـٰعِبِينَ
Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara kedua-duanya dengan bermain-main.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak menciptakan alam dan semua yang ada padanya itu dengan main-main atau sia-sia. Alam ini bukanlah dicipta sebagai tempat untuk makhluk-Nya tinggal sebentar, lalu mati begitu sahaja tanpa ada apa-apa tujuan. Semua penciptaan-Nya adalah untuk menegakkan yang hak berupa mengesakan-Nya dan mentaati-Nya. Ayat ini juga merupakan dalil tentang adanya Hari Kebangkitan dan Pembalasan.
Ayat 39
مَا خَلَقْنَـٰهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Kami tidak menciptakan kedua-duanya melainkan dengan hak (benar), tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Namun kebanyakan manusia tidak memikirkan dan memahami tujuan alam ini diciptakan. Alam yang begini hebat lagi teratur ini pasti ada yang menciptanya dan tidak mungkin terjadi dengan sendiri. Oleh itu sekiranya mereka memikirkannya, tentu mereka akan dapat menerima kebenaran bahawa ada Tuhan yang menjadikan mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara kedua-duanya dengan sia-sia. Itu anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang yang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka.”
Sad 38:27
“Adakah kamu fikir, bahawa Kami menciptakan kamu main-main tanpa ada maksud dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya, tidak ada Ilah yang berhak disembah selain Dia, Rabb yang memiliki ‘Arasy yang mulia.”
Al-Mu’minun 23:115-116