Bantahan terhadap Orang Musyrik yang Tidak Percaya kepada Hari Kebangkitan
Surah 44: Ad-Dukhan (34 – 37)
Ayat 34
إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ لَيَقُولُونَ
Sesungguhnya mereka (kaum musyrik) itu benar-benar berkata,
Ayat 35
إِنْ هِىَ إِلَّا مَوْتَتُنَا ٱلْأُولَىٰ وَمَا نَحْنُ بِمُنشَرِينَ
“Tidak ada kematian selain kematian di dunia ini. Dan kami sekali-kali tidak akan dibangkitkan.
Allah Swt menyatakan kaum musyrik Mekah, tidak mempercayai adanya kehidupan selepas kematian. Mereka hanya mempercayai kehidupan di dunia ini sahaja. Mereka berhujjah bahawa tidak ada seorang pun di antara nenek moyang mereka yang telah pergi meninggalkan mereka terlebih dahulu pernah kembali ke dunia.
Ayat 36
فَأْتُوا۟ بِـَٔابَآئِنَآ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
Maka datangkanlah (kembali) nenek moyang kami jika kamu memang orang-orang yang benar.”
Lalu mereka mencabar Nabi Muhammad saw agar membawa kepada mereka nenek moyang mereka yang dihidupkan setelah mereka mati sekiranya baginda bercakap benar. Jika ini berlaku barulah mereka akan percaya.
Hal ini merupakan hujjah yang batil kerana Allah Swt mengatakan Hari Kebangkitan sesudah mati itu berlaku pada Hari Kiamat iaitu setelah berakhirnya kehidupan di dunia ini. Dunia akan musnah dan akan digantikan dengan alam semesta yang baru, ketika inilah semua manusia yang telah mati akan dibangkitkan semula.
Ayat 37
أَهُمْ خَيْرٌ أَمْ قَوْمُ تُبَّعٍ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ أَهْلَكْنَـٰهُمْ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ مُجْرِمِينَ
Apakah mereka (kaum musyrikin) yang lebih baik atau kaum Tubba’ dan orang-orang yang sebelum mereka? Kami telah membinasakan mereka kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.
Kaum Tubba’ adalah satu kaum yang menyekutukan Allah Swt. Mereka juga termasuk orang-orang yang mendustakan Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka. Mereka mengingkari adanya Hari Kebangkitan.
Ayat ini menjelaskan bahawa mereka dan juga kaum-kaum terdahulu yang menentang para Rasul semuanya dibinasakan oleh Allah Swt. Menurut sebahagian pentafsir, kaum Tubba’ ini sememangnya lebih hebat dari segi tamadunnya jika dibandingkan dengan kaum musyrik Mekah itu.
Oleh itu, Allah Swt memberitahu bahawa kaum yang lebih hebat ini pun Dia boleh binasakan kerana tidak menerima hakikat Hari Akhirat. Jadi adakah orang-orang musyrik Mekah ini yakin bahawa mereka tidak akan dibinasakan jika dibandingkan dengan kaum Tubba’?
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan penduduk Aikah serta kaum Tubba’ semuanya telah mendustakan Rasul-rasul, maka berlakulah ancaman-Ku (seksaan) ke atas mereka.”
Qaf 50:14