Surah 44: Ad-Dukhan (17 – 33)

Kisah Nabi Musa as dan Firaun serta Kaumnya

Surah 44: Ad-Dukhan (17 – 33)


Ayat 17

وَلَقَدْ فَتَنَّا قَبْلَهُمْ قَوْمَ فِرْعَوْنَ وَجَآءَهُمْ رَسُولٌ كَرِيمٌ

Dan benar, sebelum mereka, Kami telah menguji kaum Firaun dan telah datang kepada mereka seorang Rasul (Musa) yang mulia.

Allah Swt menyatakan sebelum Dia menguji orang-orang musyrik Mekah, Dia telah pun menguji kaum Firaun yang berbangsa Qibti. Dia mengutus Nabi Musa as yang merupakan seorang Rasul yang mulia dan memiliki perwatakan yang baik serta perbuatan yang terpuji.

Ayat 18

أَنْ أَدُّوٓا۟ إِلَىَّ عِبَادَ ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ

(Dengan berkata), “Serahkanlah hamba-hamba Allah (Bani Israil) kepadaku. Sesungguhnya aku adalah utusan (Allah) yang dapat kamu percaya.

Nabi Musa as meminta kepada mereka agar membebaskan Bani Israil daripada penindasan Firaun dan kaumnya serta melepaskan mereka untuk pergi bersama-samanya kerana baginda adalah utusan daripada Allah Swt sebagaimana firman-Nya:

“Maka datanglah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah, ‘Sesungguhnya kami berdua adalah utusan Rabbmu, maka lepaskanlah Bani Israil bersama kami dan janganlah kamu menyeksa mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu dengan membawa bukti (atas kerasulan kami) daripada Rabbmu. Dan keselamatan itu dilimpahkan kepada orang yang mengikuti petunjuk.’”

Taha 20:47

Pada ketika itu, Firaun telah melakukan dua kezaliman iaitu:

▪️    Mensyirikkan Allah Swt (dengan mengaku dirinya adalah tuhan).

▪️    Menyeksa Bani Israil (memperlakukan mereka sebagai hamba abdi).

Ayat 19

وَأَن لَّا تَعْلُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّىٓ ءَاتِيكُم بِسُلْطَـٰنٍ مُّبِينٍ

Dan janganlah kamu menyombongkan diri terhadap Allah. Sesungguhnya aku datang kepadamu dengan membawa bukti yang nyata.

Perkataan تَعْلُوا bermaksud mempunyai perasaan lebih tinggi daripada orang lain. Nabi Musa as mengingatkan Firaun supaya tidak sombong dengan meletakkan dirinya lebih tinggi daripada Allah Swt sehingga kufur dan tidak mengikuti syariat-Nya. Baginda juga mengingatkan Firaun dan kaumnya serta Bani Israil agar mengikuti ayat-ayat-Nya dan tunduk kepada hujjah-hujjah-Nya yang nyata.

Ayat 20

وَإِنِّى عُذْتُ بِرَبِّى وَرَبِّكُمْ أَن تَرْجُمُونِ

Dan sesungguhnya aku berlindung kepada Rabbku dan Rabbmu, daripada ancamanmu untuk merejamku.

Namun kaum Firaun mengancam Nabi Musa as untuk merejam baginda. Lalu baginda berlindung kepada Allah Swt dan bertawakkal kepada-Nya.

Ayat 21

وَإِن لَّمْ تُؤْمِنُوا۟ لِى فَٱعْتَزِلُونِ

Dan jika kamu tidak beriman kepadaku, maka biarkanlah aku (memimpin Bani Israil).”

Kemudian Nabi Musa as mengatakan kepada mereka sekiranya mereka tidak menerima kenabiannya dan tidak mahu beriman kepada risalah yang dibawanya dari sisi Allah Swt, maka baginda meminta mereka membiarkannya membawa kaum Bani Israil bersama dengannya.

Ayat 22

فَدَعَا رَبَّهُۥٓ أَنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ قَوْمٌ مُّجْرِمُونَ

Kemudian dia (Musa) berdoa kepada Rabbnya, “Sesungguhnya mereka ini adalah kaum yang berdosa (segerakanlah azab kepada mereka).”

Nabi Musa as berdakwah kepada Firaun dan kaumnya melalui pelbagai cara dan pelbagai mukjizat dalam waktu yang cukup lama. Firaun dan kaumnya juga telah ditimpakan oleh Allah Swt pelbagai bala untuk menundukkan ego mereka, namun mereka masih lagi tidak mahu beriman. Apabila mereka semakin kufur barulah baginda berdoa kepada Allah Swt supaya berbuat sesuatu kepada Firaun dan kaumnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Musa berkata, ‘Wahai Rabb kami, Engkau telah memberikan kepada Firaun dan para pembesar kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia. Wahai Rabb kami, (akibatnya) mereka menyesatkan (manusia) daripada jalan-Mu. Wahai Rabb, binasakanlah harta mereka dan kuncilah hati mereka sehingga mereka tidak beriman, sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.’ Dia Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, telah diperkenankan permohonanmu berdua, oleh itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus………’”

Yunus 10:88-89

Ayat 23

فَأَسْرِ بِعِبَادِى لَيْلًا إِنَّكُم مُّتَّبَعُونَ

(Allah berfirman), “Maka berjalanlah kamu dengan membawa hamba-hamba-Ku pada malam hari, sesungguhnya kamu akan dikejar.

Kemudian Allah Swt memerintahkan Nabi Musa as keluar dengan membawa Bani Israil bersama-samanya secara diam-diam pada malam hari pergi meninggalkan Firaun dan kaumnya. Ini kerana Firaun dan pengikutnya akan mengejar mereka sekiranya mereka mengetahui pemergian mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya telah Kami wahyukan kepada Musa, ‘Pergilah kamu dengan hamba-hamba-Ku (Bani Israil) pada malam hari, maka pukullah (buatlah) untuk mereka jalan yang kering di laut itu, kamu tidak usah khuatir akan dikejar dan tidak usah takut (akan tenggelam).’”

Taha 20:77

Ayat 24

وَٱتْرُكِ ٱلْبَحْرَ رَهْوًا ۖ إِنَّهُمْ جُندٌ مُّغْرَقُونَ

Dan biarkanlah laut itu tetap terbelah. Sesungguhnya mereka adalah tentera yang akan ditenggelamkan.”

Ketika Nabi Musa as bersama kaumnya sampai di Laut Merah, maka Allah Swt memerintahkan baginda memukul laut tersebut dengan tongkatnya, lalu laut itu terbelah menjadi jalan untuk mereka menyeberangi laut tersebut.

Apabila mereka telah tiba di seberang laut, baginda diperintahkan agar membiarkan laut itu tetap terbelah sehingga Firaun dan bala tenteranya menyeberangi laut itu. Sesungguhnya Firaun dan bala tentera akan di tenggelamkan ketika mereka berada di tengah-tengah laut tersebut.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka Firaun dengan bala tenteranya mengejar mereka, lalu mereka ditutup oleh laut yang menenggelamkan mereka. Dan Firaun telah menyesatkan kaumnya dan tidaklah dia membawa mereka ke jalan yang benar.”

Taha 20:78-79

Ayat 25

كَمْ تَرَكُوا۟ مِن جَنَّـٰتٍ وَعُيُونٍ

Alangkah banyaknya taman dan mata air yang mereka tinggalkan.

Ayat 26

وَزُرُوعٍ وَمَقَامٍ كَرِيمٍ

Dan kebun-kebun serta tempat-tempat yang indah-indah.

Ayat 27

وَنَعْمَةٍ كَانُوا۟ فِيهَا فَـٰكِهِينَ

Dan kesenangan-kesenangan yang mereka menikmatinya.

Firaun dan bala tenteranya semuanya ditenggelamkan dengan meninggalkan segala kekayaan mereka di Mesir. Kota Mesir dan penempatan mereka tidak dimusnahkan oleh Allah Swt. Peninggalan mereka berupa taman-taman, perkebunan yang subur dengan tanam-tanaman yang beraneka jenis, luas lagi indah mata mata memandang. Taman-taman dan perkebunan itu diairi oleh sungai dan mata air-mata air yang mengalir.

Selain itu, mereka meninggalkan tempat kediaman berupa istana-istana, bangunan yang besar, tinggi dan tersergam indah lagi menyenangkan serta segala kesenangan-kesenangan hidup yang telah mereka nikmati sebelum ini. Itulah kesenangan yang sementara.

Ayat 28

كَذَٰلِكَ ۖ وَأَوْرَثْنَـٰهَا قَوْمًا ءَاخَرِينَ

Demikianlah, dan Kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain.

Kemudian Allah Swt menyatakan begitulah Dia membinasakan, merampas dan menghancurkan para pendusta para Rasul-Nya.

Semua harta kekayaan milik mereka yang ditinggalkan itu diwariskan kepada Bani Israil.

Ayat 29

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ ٱلسَّمَآءُ وَٱلْأَرْضُ وَمَا كَانُوا۟ مُنظَرِينَ

Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka dan mereka pun tidak diberi tangguh.

Allah Swt meremehkan dan menghina mereka dengan mengatakan tidak ada suatu pun makhluk baik yang ada di langit atau di bumi yang bersedih atas kebinasaan Firaun dan bala tenteranya kerana mereka telah banyak melakukan penganiayaan dan kerosakan.

Firaun dan bala tenteranya tidak diberi tangguh untuk bertaubat. Bahkan hukuman ke atas mereka disegerakan di dunia lagi. Ini kerana begitu rosaknya kekufuran dan kerasnya pembangkangan mereka.

Ayat 30

وَلَقَدْ نَجَّيْنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ مِنَ ٱلْعَذَابِ ٱلْمُهِينِ

Dan sesungguhnya Kami telah selamatkan Bani Israil daripada seksaan yang menghinakan.

Ayat 31

مِن فِرْعَوْنَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ عَالِيًا مِّنَ ٱلْمُسْرِفِينَ

Daripada (penindasan) Firaun, sesungguhnya dia adalah orang yang sombong, salah seorang daripada orang-orang yang melampaui batas.

Allah Swt mengingatkan Bani Israil betapa mereka telah diberikan rahmat dengan diselamatkan daripada penindasan Firaun. Mereka dahulunya menjadi hamba abdi kepada Firaun dan kaum Qibti. Mereka juga dikerah untuk melakukan kerja-kerja yang berat, antaranya membina piramid yang kita boleh lihat sehingga hari ini. Mereka bukan sahaja diperhambakan, malah turut dikenakan seksaan yang sangat teruk. Selain itu, Firaun juga telah membunuh bayi-bayi lelaki mereka.

Ayat 32

وَلَقَدِ ٱخْتَرْنَـٰهُمْ عَلَىٰ عِلْمٍ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan sesungguhnya, Kami telah memilih mereka (Bani Israil) dengan ilmu (Kami) melebihi semua bangsa (pada waktu itu).

Kemudian Bani Israil itu telah dimuliakan oleh Allah Swt dengan menjadikan mereka umat pilihan iaitu melebihi umat-umat lain yang sezaman dengan mereka.

Ayat 33

وَءَاتَيْنَـٰهُم مِّنَ ٱلْـَٔايَـٰتِ مَا فِيهِ بَلَـٰٓؤٌا۟ مُّبِينٌ

Dan Kami telah berikan kepada mereka di antara tanda-tanda (kebesaran Kami) sesuatu yang di dalamnya terdapat ujian yang nyata.

Allah Swt memberikan hujjah dan bukti-bukti berupa pelbagai mukjizat yang luar biasa kepada mereka. Segala mukjizat tersebut adalah sebagai ujian kepada mereka untuk membuktikan sama ada mereka akan dapat petunjuk ataupun sebaliknya.

Antara mukjizat yang dikurniakan oleh Allah Swt kepada Bani Israil ialah naungan awan, turunnya manna dan salwa, terpancarnya air dari batu dan terbelahnya Laut Merah.