Al-Quran Diturunkan pada Malam yang Penuh dengan Keberkatan
Surah 44: Ad-Dukhan (1 – 8)
Ayat 1
حمٓ
Ha Mim.
Ayat 2
وَٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُبِينِ
Demi kitab (Al-Quran) yang menjelaskan.
Allah Swt bersumpah untuk menguatkan pernyataan-Nya dengan kitab Al-Quran yang memberikan penerangan sejelas-jelasnya tentang petunjuk-petunjuk daripada-Nya untuk manusia agar mereka sentiasa berada di jalan yang benar. Ini menunjukkan kehebatan dan kepentingan Al-Quran.
Ayat 3
إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةٍ مُّبَـٰرَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ
Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.
Allah Swt menurunkan Al-Quran pada malam yang penuh kebaikan iaitu pada Lailatul Qadar sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar).”
Al-Qadr 97:1
Malam Al-Qadar (Lailatul Qadar) adalah salah satu malam dalam bulan Ramadhan iaitu malam yang diturunkan Al-Quran, seperti firman-Nya:
“Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk ……..”
Al-Baqarah 2:185
Al-Quran itu diturunkan secara keseluruhan pada malam Al-Qadar dari Lauh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Kemudiannya barulah diturunkan secara berperingkat-peringkat sehingga selesai selama 23 tahun.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia memberikan peringatan dengan Al-Quran kepada manusia dengan seksaan azab yang pedih apabila mereka mensyirikkan-Nya dan berbuat kemaksiatan. Dia juga mengajar mereka tentang pelbagai hal yang bermanfaat dan hal yang memberikan kemudharatan kepada mereka.
Ayat 4
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.
Pada malam itu dijelaskan dan diperincikan oleh Allah Swt segala urusan hamba-hamba-Nya berkaitan dengan rezeki, ajal dan pelbagai perkara lain yang akan berlaku dalam masa satu tahun.
Segala urusan yang ditetapkan-Nya pada malam yang diberkati itu adalah menjadi suatu ketetapan kepada hamba-hamba-Nya dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Ketetapan ini adalah datang daripada Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Ayat 5
أَمْرًا مِّنْ عِندِنَآ ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Iaitu urusan yang besar dari sisi kami. Sesungguhnya Kami-lah yang mengutus Rasul-Rasul.
Allah Swt menerangkan bahawa Dia-lah juga yang mengutuskan para Rasul untuk membawa syariat-Nya, membaca ayat-ayat-Nya dan memberi penerangan-penerangan kepada manusia agar mereka mendapat petunjuk.
Ayat 6
رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Sebagai rahmat daripada Rabbmu. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Penurunan Al-Quran dan pengutusan para Rasul-Nya dari sisi-Nya itu merupakan rahmat dan belas kasihan-Nya kepada mereka. Ini bertujuan agar jelas bagi manusia segala perkara yang dapat mendatangkan manfaat dan segala perkara yang boleh mendatangkan mudharat.
Sesungguhnya Allah Swt Maha Mendengar perkataan manusia dan Maha Mengetahui keadaan mereka dan apa yang terbaik buat mereka. Oleh itu, Dia menurunkan rahmat untuk memenuhi keperluan mereka.
Ayat 7
رَبِّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَآ ۖ إِن كُنتُم مُّوقِنِينَ
Rabb (yang memelihara) langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya, jika kamu orang-orang yang meyakini.
Rabb ( رَبِّ ) bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’, tetapi juga memberikan makna ‘Yang Mencipta, Memelihara dan Mengurus’. Ini bermaksud, Allah Swt bukan sahaja mencipta tetapi Dia juga memelihara dan mentadbir segala ciptaan-Nya dan Dia adalah Tuhan kepada seluruh alam.
Ayat 8
لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۖ رَبُّكُمْ وَرَبُّ ءَابَآئِكُمُ ٱلْأَوَّلِينَ
Tidak ada Ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menghidupkan dan yang mematikan (Dia-lah) Rabbmu dan Rabb nenek moyang kamu yang terdahulu.
Kemudian Allah Swt menyatakan beberapa sifat lain iaitu keesaan dan kekuasaan-Nya. Sesungguhnya hanya Dia-lah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. Kuasa itu adalah milik mutlak-Nya dan tidak dimiliki oleh mana-mana makhluk.
Allah Swt juga yang berkuasa mengurus dan memelihara seluruh ciptaan-Nya. Dia bukan sahaja Rabb kepada umat sekarang tetapi termasuklah kepada umat-umat terdahulu.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dia (Musa) berkata, ‘(Dia) Rabbmu dan juga Rabb nenek moyangmu terdahulu.’”
Asy-Syu’ara’ 26:26