Kebahagiaan yang Dinikmati oleh Penghuni Syurga
Surah 43: Az-Zukhruf (68 – 73)
Ayat 68
يَـٰعِبَادِ لَا خَوْفٌ عَلَيْكُمُ ٱلْيَوْمَ وَلَآ أَنتُمْ تَحْزَنُونَ
“Wahai hamba-hamba-Ku, tidak ada ketakutan bagimu pada hari itu, dan tidak pula kamu bersedih hati.
Ayat 69
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَكَانُوا۟ مُسْلِمِينَ
Iaitu orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami dan mereka yang berserah diri.
Allah Swt menggambarkan keadaan orang-orang beriman yang memperoleh pelbagai kenikmatan. Mereka tidak berasa takut dan tidak pula bersedih hati dalam menghadapi apa pun keadaan pada hari tersebut. Ini kerana ketika di dunia dahulu, mereka tunduk dan patuh kepada-Nya, melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhkan larangan-Nya.
Ayat 70
ٱدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ أَنتُمْ وَأَزْوَٰجُكُمْ تُحْبَرُونَ
Masuklah dan gembiralah kamu ke dalam syurga bersama pasanganmu.”
Mereka diberikan penghormatan dengan dipersilakan untuk masuk ke dalam syurga dan bergembira bersama dengan pasangan masing-masing seperti yang telah dijanjikan-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman (syurga) dalam keadaan bersuka ria.”
Ar-Rum 30:15
Ayat 71
يُطَافُ عَلَيْهِم بِصِحَافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ ۖ وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ ٱلْأَنفُسُ وَتَلَذُّ ٱلْأَعْيُنُ ۖ وَأَنتُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Kepada mereka diedarkan piring-piring dan gelas-gelas daripada emas, dan di dalam syurga itu terdapat apa yang diinginkan oleh hati dan segala yang sedap (dipandang) mata. Dan kamu kekal di dalamnya.
Setelah mereka menetap di dalam syurga, diedarkan kepada mereka piring-piring daripada emas berisi hidangan yang beraneka macam dan pelbagai rasa yang lazat. Mereka juga dihidangkan dengan minuman yang menyegarkan dalam gelas-gelas berupa piala juga dibuat daripada emas.
Mereka akan mendapat apa sahaja makanan atau minuman yang mereka ingini yang terlintas dalam fikiran mereka. Mereka tidak akan dikeluarkan dari syurga dan tidak juga ingin berpindah darinya.
Ayat 72
وَتِلْكَ ٱلْجَنَّةُ ٱلَّتِىٓ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kamu kerana perbuatan yang telah kamu kerjakan.
Ayat 73
لَكُمْ فِيهَا فَـٰكِهَةٌ كَثِيرَةٌ مِّنْهَا تَأْكُلُونَ
Di dalam syurga itu terdapat banyak buah-buahan untukmu yang sebahagiannya kamu makan.
Itulah gambaran syurga yang diwariskan kepada orang yang benar-benar beriman dan melakukan amal soleh.
Di dalam syurga mereka mendapat pelbagai macam buah-buahan syurga. Mereka makan sebahagian sahaja daripada buah-buahan yang ada mengikut pilihan dan keinginan mereka, sedangkan sebahagian yang lain masih lagi bergayutan di pokok-pokok.