Nabi Isa as Merupakan Tanda Dekatnya Hari Kiamat dan Baginda Mengajak Kaumnya Beriman kepada Allah Swt
Surah 43: Az-Zukhruf (61 – 65)
Ayat 61
وَإِنَّهُۥ لَعِلْمٌ لِّلسَّاعَةِ فَلَا تَمْتَرُنَّ بِهَا وَٱتَّبِعُونِ ۚ هَـٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ
Dan sesungguhnya dia (‘Isa) benar-benar memberikan pengetahuan tentang kedatangan Hari Kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (Hari Kiamat) itu, dan turutlah (petunjuk-Ku). Inilah jalan yang lurus.
Allah Swt menyatakan Nabi ‘Isa as akan diturunkan dari langit pada akhir zaman dan ini merupakan salah satu tanda bahawa kiamat itu telah dekat. Sebelum baginda diwafatkan, setiap orang Yahudi dan Nasrani akan beriman kepadanya dan mengaku bahawa baginda adalah utusan Allah, bukan anak Allah. Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Tidak ada seorang pun di antara ahli kitab yang tidak beriman kepadanya (‘Isa) menjelang kematiannya. Dan pada Hari Kiamat dia (‘Isa) akan menjadi saksi mereka.”
An-Nisa’ 4:159
Seterusnya, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menyeru kaumnya agar tidak meragui adanya Hari Kiamat dan mengikuti petunjuk serta syariat yang dibawa oleh baginda dari sisi-Nya. Apa yang dibawa oleh baginda adalah agama yang benar, lurus dan tidak membawa kepada kesesatan.
Ayat 62
وَلَا يَصُدَّنَّكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ ۖ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Dan janganlah sekali-kali kamu dipalingkan oleh syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
Rasulullah saw juga diperintahkan mengingatkan kaum musyrik agar tidak sekali-kali terpedaya dengan godaan syaitan yang ternyata menjadi musuh kepada manusia.
Ayat 63
وَلَمَّا جَآءَ عِيسَىٰ بِٱلْبَيِّنَـٰتِ قَالَ قَدْ جِئْتُكُم بِٱلْحِكْمَةِ وَلِأُبَيِّنَ لَكُم بَعْضَ ٱلَّذِى تَخْتَلِفُونَ فِيهِ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ
Dan ketika ‘Isa datang membawa keterangan, dia berkata, “Sesungguhnya aku datang kepadamu dengan membawa hikmah dan untuk menjelaskan kepadamu sebahagian daripada apa yang kamu perselisihkan, maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.
Ayat 64
إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ فَٱعْبُدُوهُ ۚ هَـٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ
Sesungguhnya Allah Dia-lah Rabbku dan Rabbmu maka sembahlah Dia. Ini adalah jalan yang lurus.”
Allah Swt menjelaskan bahawa ketika Nabi ‘Isa as diutus-Nya kepada kaumnya dengan membawa keterangan-keterangan dan mukjizat-mukjizat, baginda menyatakan kepada kaumnya, sesungguhnya baginda membawa hikmah iaitu syariat agama yang membawa kebaikan kepada manusia.
Nabi ‘Isa as menyeru kaumnya agar menyembah hanya kepada Allah Swt, bertakwa kepada-Nya dan mengikuti ajaran yang disampaikannya kerana itulah jalan yang lurus.
Ayat 65
فَٱخْتَلَفَ ٱلْأَحْزَابُ مِنۢ بَيْنِهِمْ ۖ فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنْ عَذَابِ يَوْمٍ أَلِيمٍ
Maka berselisihlah golongan-golongan (yang ada) di antara mereka, lalu kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang zalim iaitu azab hari yang pedih (kiamat).
Mereka berselisih dan berpecah menjadi beberapa golongan:
▪️ Golongan yang mengaku bahawa Nabi ‘Isa as adalah hamba dan Rasul Allah. Inilah pendapat yang benar
▪️ Golongan yang mengatakan bahawa baginda adalah anak Allah.
▪️ Golongan yang mengatakan bahawa baginda adalah Allah.
Sesungguhnya Maha Suci Allah daripada ucapan mereka. Maka kepada golongan kedua dan ketiga ini, Allah Swt bersumpah bahawa mereka akan mendapat azab yang pedih di akhirat kelak kerana mengada-adakan hal tersebut.