Surah 43: Az-Zukhruf (57 – 60)

Kaum Quraisy Meremehkan Nabi Isa as

Surah 43: Az-Zukhruf (57 – 60)


Ayat 57

وَلَمَّا ضُرِبَ ٱبْنُ مَرْيَمَ مَثَلًا إِذَا قَوْمُكَ مِنْهُ يَصِدُّونَ

Dan ketika putera Maryam (‘Isa) dijadikan perumpamaan, tiba-tiba kaummu (Quraisy) bersorak-sorak gembira kerananya.

Allah Swt menyebutkan sikap keras kepala orang-orang Quraisy yang kekal dalam kekafiran, penentangan dan pembantahan

Ketika putera Maryam iaitu Nabi ‘Isa as dijadikan perumpamaan, tiba-tiba kaum Quraisy bersorak gembira mendengarnya

Hal ini berlaku tatkala dibacakan kepada orang-orang musyrik Mekah, ayat 98 daripada Surah Al-Anbiya; yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu (orang kafir) dan apa yang kamu sembah selain Allah, adalah bahan bakar Neraka Jahannam. Kamu pasti masuk ke dalamnya.” Mereka bersorak gembira kerana perbuatan mereka yang menyembah berhala-berhala itu menyamai perbuatan orang-orang Nasrani yang menjadikan Nabi ‘Isa as sebagai tuhan mereka. Jadi sudah tentu sekiranya tuhan-tuhan yang mereka sembah itu berada di dalam neraka maka Nabi ‘Isa as juga akan dimasukkan ke neraka.

Ayat 58

وَقَالُوٓا۟ ءَأَـٰلِهَتُنَا خَيْرٌ أَمْ هُوَ ۚ مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًۢا ۚ بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

Dan mereka berkata, “Adakah tuhan-tuhan kami yang lebih baik atau dia (‘Isa)?” Mereka tidak memberikan (perumpamaan itu) kepadamu melainkan dengan maksud membantah sahaja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan kaum musyrikin Mekah mengatakan tidakkah tuhan-tuhan yang mereka sembah itu lebih baik daripada Nabi ‘Isa as yang disembah oleh orang-orang Nasrani. Ini kerana sekiranya sebenarnya Nabi ‘Isa as dimasukkan ke dalam neraka, maka tuhan-tuhan mereka juga akan bersama dengannya. Ucapan mereka yang menyamakan hal ini bukanlah untuk mencari kebenaran tetapi untuk membantah sahaja.

Daripada Abu Umamah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah sesat suatu kaum setelah mereka berada di dalam petunjuk, melainkan (disebabkan) mereka diwarisi sifat (suka) berdebat.” Kemudian baginda membaca ayat, “Mereka tidak memberikan (perumpamaan itu) kepadamu melainkan dengan maksud membantah sahaja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar.”

(HR. Ahmad)

Ayat 59

إِنْ هُوَ إِلَّا عَبْدٌ أَنْعَمْنَا عَلَيْهِ وَجَعَلْنَـٰهُ مَثَلًا لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ

Dia (‘Isa) tidak lain hanyalah seorang hamba yang Kami berikan kenabian kepadanya dan Kami jadikan dia sebagai contoh bagi Bani lsrail.

Allah Swt menegaskan bahawa Nabi ‘Isa as adalah salah seorang daripada hamba-hamba-Nya, bukan anak-Nya dan bukan juga sembahan sesiapa. Baginda merupakan hamba-Nya yang dimuliakan-Nya dengan diberikan kenabian dan kerasulan serta dijadikannya sebagai salah satu tanda kebesaran-Nya dan merupakan pelajaran bagi Bani Israil.

Nabi ‘Isa as diciptakan oleh Allah Swt tanpa seorang ayah agar manusia dapat melihat kekuasaan-Nya, bahawasanya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu terhadap apa yang Dia kehendaki.

Ayat 60

وَلَوْ نَشَآءُ لَجَعَلْنَا مِنكُم مَّلَـٰٓئِكَةً فِى ٱلْأَرْضِ يَخْلُفُونَ

Sekiranya Kami kehendaki, nescaya ada di antara kamu yang Kami jadikan malaikat-malaikat (yang turun temurun) sebagai pengganti kamu di bumi.

Sekiranya Allah Swt berkehendak, nescaya Dia akan membinasakan mereka semuanya tanpa tersisa seorang pun. Lalu dijadikan-Nya para malaikat sebagai pengganti mereka untuk memakmurkan bumi ini dengan hanya beribadah dan mengesakan-Nya.