Surah 43: Az-Zukhruf (43 – 45)

Perintah untuk Berpegang Teguh kepada Al-Quran

Surah 43: Az-Zukhruf (43 – 45)


Ayat 43

فَٱسْتَمْسِكْ بِٱلَّذِىٓ أُوحِىَ إِلَيْكَ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Maka berpegang teguhlah engkau kepada (agama) yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar berpegang teguh kepada Al-Quran yang diwahyukan kepadanya. Ini kerana apa yang terkandung di dalamnya adalah hak dan di jalan yang lurus.

Ayat 44

وَإِنَّهُۥ لَذِكْرٌ لَّكَ وَلِقَوْمِكَ ۖ وَسَوْفَ تُسْـَٔلُونَ

Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar suatu peringatan bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan diminta bertanggungjawab.

Kemudian Allah Swt menerangkan kedudukan Al-Quran yang merupakan penghormatan agung buat Rasulullah saw, suku Quraisy dan seluruh bangsa Arab kerana ia diturunkan dalam bahasa Arab.

Sesungguhnya mereka akan diminta bertanggungjawab tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Al-Quran, bagaimana mereka mengamalkannya, memenuhi seruannya dan menunaikan haknya yang menjadi kewajipan buat mereka dan juga seluruh umat manusia.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya Kami telah turunkan kepada kamu sebuah kitab (Al-Quran) yang di dalamnya terdapat peringatan bagimu. Maka adakah kamu tidak mengerti?”

Al-Anbiya’ 21:10

Ayat 45

وَسْـَٔلْ مَنْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رُّسُلِنَآ أَجَعَلْنَا مِن دُونِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ءَالِهَةً يُعْبَدُونَ

Dan tanyalah (Muhammad) kepada Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus sebelum engkau, “Apakah Kami menentukan tuhan-tuhan selain (Allah) Yang Maha Pemurah untuk disembah?”

Allah Swt mengingatkan bahawa dakwah kepada mentauhidkan-Nya dan menghapuskan kesyirikan sudah ada sejak dahulu. Ini bermaksud semua Rasul menyeru kepada penyembahan kepada Allah Swt semata-mata dan larangan penyembahan kepada selain-Nya.

Orang-orang mukmin daripada kalangan ahli kitab mengetahui akidah yang telah dibawa oleh para Rasul terdahulu di dalam kitab Taurat dan Injil. Oleh itu, Rasulullah saw diminta bertanya kepada mereka adakah Allah Swt menjadikan tuhan-tuhan selain-Nya untuk disembah. Sudah tentu jawapannya adalah tidak. Dia-lah Allah, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. Hal ini adalah untuk mengingatkan orang-orang musyrik atas kesalahan mereka menyembah selain-Nya.