Kekayaan dan Perhiasan Hanyalah Kesenangan Hidup Duniawi
Surah 43: Az-Zukhruf (29 – 35)
Ayat 29
بَلْ مَتَّعْتُ هَـٰٓؤُلَآءِ وَءَابَآءَهُمْ حَتَّىٰ جَآءَهُمُ ٱلْحَقُّ وَرَسُولٌ مُّبِينٌ
Tetapi Aku telah memberikan kenikmatan hidup kepada mereka dan nenek moyang mereka sehingga kebenaran (Al-Quran) datang kepada mereka bersama seorang rasul yang memberi penjelasan.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah memberikan kenikmatan kepada orang-orang musyrik dan nenek moyang mereka sejak dahulu, memanjangkan umur mereka dan menganugerahkan pelbagai nikmat. Namun mereka lalai dalam kenikmatan tersebut dan terpengaruh dengan hawa nafsu lalu menuruti jejak langkah syaitan dan melupakan kalimah tauhid.
Di antara keturunan Nabi Ibrahim as ada yang melupakan tauhid dan Allah Swt tidak mengazab mereka, tetapi memberikan kenikmatan dan kehidupan kepada mereka yang seharusnya mereka syukuri. Namun mereka tidak bersyukur, bahkan menuruti keinginan sendiri. Oleh itu, Dia menurunkan Al-Quran dan mengutuskan seorang rasul untuk membimbing mereka.
Ayat 30
وَلَمَّا جَآءَهُمُ ٱلْحَقُّ قَالُوا۟ هَـٰذَا سِحْرٌ وَإِنَّا بِهِۦ كَـٰفِرُونَ
Dan tatkala kebenaran (Al-Quran) itu datang kepada mereka, mereka berkata, “Ini adalah sihir dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengingkarinya.”
Seterusnya, Allah Swt menyatakan apabila telah datang kepada musyrikin Mekah agama yang benar, Al-Quran dan Nabi Muhammad saw memberikan penjelasan dan peringatan kepada mereka, mereka menyombongkan diri, mengingkari dan menolak penjelasan serta peringatan tersebut.
Walaupun mereka yakin bahawa bacaan itu bukanlah syair dan juga bukan kata-kata biasa kerana mereka sendiri terpegun dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Nabi Muhammad saw itu. Namun mereka tidak juga mahu menerimanya kerana hati mereka telah tertutup. Oleh itu, mereka mengatakan bahawa apa yang dibacakan itu adalah sihir semata-mata dan Al-Quran yang dibaca oleh baginda itu adalah ajaran yang sesat. Inilah hujjah mereka yang menandakan kekufuran mereka.
Ayat 31
وَقَالُوا۟ لَوْلَا نُزِّلَ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانُ عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنَ ٱلْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ
Dan mereka berkata, “Mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada orang besar (kaya dan berpengaruh) dari salah satu dua negeri ini (Mekah dan Thaif)?”
Mereka menghina Nabi Muhammad saw dengan mengatakan bahawa baginda tidak layak menerima wahyu.
Ini kerana baginda miskin dan tidak ada pengaruh walaupun mereka sudah pun mengenali baginda sebagai seorang yang jujur. Kebanyakan ulama tafsir mengatakan, yang diingini oleh orang-orang musyrik ialah sepatutnya wahyu itu mesti diturunkan kepada orang yang mempunyai pengaruh, seperti Al-Walid bin Al-Mughirah di Mekah atau ‘Urwah bin Mas’ud di Thaif barulah orang-orang di sekeliling menerimanya. Pada anggapan mereka pangkat kenabian dan wahyu hanya layak diberikan kepada orang yang berpengaruh.
Ayat 32
أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۚ وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَـٰتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا ۗ وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
Apakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Rabbmu? Kami-lah yang menentukan penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian daripada mereka ke atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat memanfaatkan sebahagian yang lain. Dan rahmat Rabbmu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.
Ayat ini merupakan penolakan Allah Swt terhadap kejahilan orang-orang musyrik tersebut dengan mempersoalkan adakah mereka yang berhak dalam menentukan kenabian seseorang dengan memilih orang yang mereka sukai. Padahal Dia memilih orang yang memiliki darjat kerohanian yang tinggi bukan memandang kepada kemewahan dan kesenangan hidup yang dimilikinya.
Kemudian Allah Swt menjelaskan betapa silapnya mereka kerana bukan mereka yang membahagi-bahagikan kurniaan-Nya itu, sebaliknya Dia-lah yang membahagi-bahagikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Apa yang dikurniakan itu berbeza antara satu sama lain dan masing-masing dapat memberikan manfaat sesama mereka.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya adalah lebih baik bagi mereka daripada harta kekayaan dan kenikmatan hidup yang ada pada mereka.
Ayat 33
وَلَوْلَآ أَن يَكُونَ ٱلنَّاسُ أُمَّةً وَٰحِدَةً لَّجَعَلْنَا لِمَن يَكْفُرُ بِٱلرَّحْمَـٰنِ لِبُيُوتِهِمْ سُقُفًا مِّن فِضَّةٍ وَمَعَارِجَ عَلَيْهَا يَظْهَرُونَ
Dan sekiranya bukan kerana hendak menghindari manusia menjadi umat yang satu (dalam kekafiran), tentulah kami buatkan bagi orang-orang yang kafir kepada (Allah) Yang Maha Pemurah, bumbung-bumbung rumah mereka daripada perak, demikian pula tangga-tangga yang mereka naiki.
Allah Swt menegaskan sekiranya bukan kerana Dia hendak menghindarkan kebanyakan manusia yang jahil menjadi umat yang bersatu dalam kekafiran, pasti Dia akan jadikan rumah-rumah mewah mereka diperbuat daripada emas dan perak, namun Dia menghendaki keimanan mereka. Ini kerana orang-orang yang jahil itu menyangka bahawa melimpahnya harta kekayaan adalah bukti Allah Swt mencintai mereka, padahal tidak demikian.
Ayat 34
وَلِبُيُوتِهِمْ أَبْوَٰبًا وَسُرُرًا عَلَيْهَا يَتَّكِـُٔونَ
Dan (Kami buatkan juga) pintu-pintu (perak) bagi rumah-rumah mereka dan (begitu juga) pelamin-pelamin tempat mereka bersandar.
Ayat 35
وَزُخْرُفًا ۚ وَإِن كُلُّ ذَٰلِكَ لَمَّا مَتَـٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۚ وَٱلْـَٔاخِرَةُ عِندَ رَبِّكَ لِلْمُتَّقِينَ
Dan (Kami buatkan juga) perhiasan-perhiasan daripada emas. Dan semuanya itu tidak lain hanyalah kesenangan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan akhirat itu di sisi Rabbmu disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.
Allah Swt boleh sahaja memberikan kekayaan yang melimpah-limpah kepada orang-orang kafir iaitu kekayaan yang tidak dapat difikirkan oleh akal sesiapa pun. Namun Dia tidak berbuat demikian, kerana jika seorang yang kafir itu diberikan dunia walaupun jelas kekafirannya, nescaya semua orang akan condong kepada keduniaan dan mereka mencarinya dengan kekufuran. Oleh itu terjadilah umat yang satu dalam kekafiran.
Allah Swt juga menyatakan bahawa kekayaan dunia tidak bernilai langsung kepada-Nya sedangkan kehidupan akhirat di sisi-Nya iaitu syurga dan kenikmatannya adalah kekal dan abadi bagi orang-orang yang bertakwa. Beberapa hadis yang berkaitan dengan ayat-ayat ini:
“Sekiranya dunia itu setara dengan berat sayap nyamuk di sisi Allah (menunjukkan betapa hinanya dunia), tentu Dia tidak memberi minum seorang kafir pun, meskipun seteguk air.”
(HR. At-Tirmizi)
Ketika ‘Umar bin Al-Khattab ra melihat bekas tikar pada tubuh Rasulullah saw, beliau menangis dan berkata, “Wahai Rasulullah, Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Rom) berada dalam kemewahan, sedangkan engkau manusia pilihan Allah berkeadaan begini.” Lalu baginda bersabda:
“Apakah kamu berada dalam keraguan wahai Umar? Mereka itu adalah kaum yang disegerakan kebaikan mereka dalam kehidupan dunia.” Dalam riwayat lain, “Tidakkah kamu redha dunia itu milik mereka dan akhirat menjadi milik kita?”
(HR. Muslim)
“Janganlah kalian meminum dari bekas yang dibuat daripada emas dan perak, dan janganlah kalian menggunakan piring daripada kedua-duanya kerana kedua-duanya itu diperuntukkan kepada mereka (orang-orang kafir) di dunia dan diperuntukkan bagi kita di akhirat.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)